Menangani ujian...

>> Monday, December 20, 2010

Sengaja saya menuliskan entri ini untuk memberikan peringatan buat diri yang kerdil ini dalam melakukan sebanyak mungkin kerja-kerja amal agar mensejahterakan masyarakat. Dengan kekuatan yang didasari keyakinan dengan janji-janji Allah swt yang sentiasa bersama hambaNya yang berjuang di jalanNya, kita harus melihat segala cabaran dan ganjaran adalah ujian sebenarnya.

Kesempatan untuk menggarapakan segala pengalaman dan pengetahuan untuk menjalankan fungsi sebagai penggerak kepada pengurusan modal insan di kalangan kanak-kanak dan remaja dalam komuniti di tepian bandar ini sering menuntut kebijaksanaan dan kebolehan mengatur strategi. Merapatkan barisan ke arah menjana komuniti yang menjadikan surau dan masjid sebagai pusat tarbiah menjadikan keyakinan bahawa Allah swt sentiasa bersamaku.

Komuniti yang terbina sejak awal 1980an dulu ini bukanlah dihuni oleh golongan terpelajar sahaja . Tetapi komuniti ini menghimpunkan berbagai kekuatan untuk diolah agar menjadi sebuah masyarakat Islam contoh di pinggir sebuah bandar yang dikenali sebagai pintu masuk ke hutan khazanah negara.

Sungguhpun komuniti taman perumahan ini telah wujud sejak puluhan tahun yang lalu, namun terdapat bebberapa sisi kehidupan yang masih boleh diberi penambahbaikan. Maka, di saat orang lain merasakan semua sisi telah siap, saya merasakan komuniti ini perlu digerakkan semula supaya zon selesa mereka dilepaskan buat sementara waktu.

Lantas, pendidikan adalah asas utama yang perlu diberi penumpuan semula. Dengan sedikit kekuatan dan keyakian , perkara ini telah saya utarakan dalam beberapa sesi "kuliah" pagi subuh yang lebih menumpukan para jemaah untuk berfikir kembali situasi ahli kariah taman ini. Dengan niat hanya untuk "menjentik minda", dan bukannya untuk mengajar "itik berenang", sudah tersirna unsur-unsur ke arah mengisi ruang waktu dengan aktiviti-aktiviti tazkirah daripada kalangan ahli kariah yang berilmu.

Sesungguhnya, perkara ini sepatutnya diberikan perhatian kerana manusia ini sering perlu di beri peringatan sejajar dengan ingatan dan ajaran Islam yang suci itu. Seharusnya tidak timbul soal siapa yang lebih hebat dalam menyampaikan kuliah, sebaliknya, kenapa selama ini kita kurang terlibat?. Adakah ilmu yang kita miliki belum mantap sedangkan Rasullulah saw sendiri menggalakkan umatnya untuk berdakwah walaupun dengan sepotong ayat!!!

Apakah kita tidak yakin dengan ilmu yang ada pada kita? Adakah ilmu itu hanya berfungsi jika didasari dengan motif kewangan? Berfungsi bila ada ganjaran di akhir sesi ceramah? Berapa RMnya yang bakal diterima selepas selesai mengupas sesuatu isu? Adakah begitu penilaian kita terhadap ilmu? Adakah ilmu harus berindikatorkan jumlah bayaran yang diterima setelah menyampaikan sesuatu kupasan yang padanya cukup hebat?

Bukanlah suatu yang salah jika ilmuan sebegitu meletakkkan nilaian yang melampaui ribuan ringgit. Kerana mereka juga manusiawi. Mereka juga mahukan mobil besar dan selesa, pakaian yang hebat dan bergaya, memiliki tempat tinggal sesuai dengan status penjawat tugasan bidang keagamaan. Mereka tidak harus dihalang untuk memilikinya.

Cumanya, dalam konteks membina dan membaiki masyarakat yang parah ini, kita harus mengoreksi diri, adakah gejala tersebut juga berlaku akibat kecuaian kita mendidik generasi muda dahulu dengan nilai-nilai yang kekal abadi!! Kita terkesima dengan hujah bahawa subjek akademik perlu diutamakan. Penguasaan subjek akademik menentukan masa depan generasi pada masa hadapan!!!Itulah pegangan kukuh para pendidik, masyarakat dan negara dan aspek agama hanyalah tempelan bukan perlu perhatian serius. Sisi agama kononnya, boleh dikemudiankan!!

Peperiksaan UPSR, PMR, SPM, STPM dan sebagainya, lebih diutamakan itu kononnya kehendak SKT jabatan, PPD, zon, dan sekolah sendiri hatta ibubapa . Pemantauan oleh pihak atasan sering menggantikan pemantauan oleh Allah swt hingga generasi muda dialpakan dengan kepentingan mengisi dada dengan ilmu agama yang mendalam dan mendasar.

Sedangkan para agamawan, melihat suasana ini dengan logik akal sahaja tanpa memikirkan bahawa kekuatan agamalah yang mensejahteraan sesbuah komuniti untuk sepanjang zaman hingga kiamat. Bukankah itu kesilapan yang harus dibaiki oleh semua pihak? Dan sewajarnya, sikap menunding jari ke sana ke sini harus dikudungkan...Fikirkanlah!!!!!

1 comments:

Anonymous December 21, 2010 at 2:15 PM  

waktu dinihari merupakan waktu yang hebat dan diiktiraf oleh Allah swt.
Waktu dinihari pasti membangkitkan semangat dan kekuatan.
Bermunajat pada waktu dinihari pasti memperoleh sesuatu keluarbiasaan.
semoga berjaya......

Penang86

Blog Widget by LinkWithin