Gurindam 12 Fasal 4

>> Sunday, December 19, 2010

Gurindam 12 "buah tangan" Raja Ali Haji (RAH) bukan sahaja menumpukan kepada sesuatu bidang kehidupan manusia malahan menyentuh hampir semua aspek kehidupan. Walaupun gurindam ini tidak meletakkan hadis dan Al Quran sebagai latar luaran, tetapi patah-patah perkataan menunjukkan unsur-unsur ajaran dan petikan daripada kedua-dua sumber tersebut dicerna dengan halus dan mendalam.

Kali ini, saya ingin menguji pemerhatian saya terhadap Fasal 4 daripada kumpulan dalam Gurindam 12 yang antaranya berbunyi;

Bakhil jangan diberi singgah,
Itulah perompak yang amat gagah

Umum mengetahui, bahawa bakhil membawa maksud kedekut, kikir dan apa-apa situasi yang boleh memberi makna betapa berkiranya seseorang jika wang ringgitnya, hartanya, masanya, ilmunya , buah fikirannya dan sebagainya yang dimilikinya diminta oleh orang lain.
Jika diminta menyumbang atau menderma sedikit sebanyak hartanya, dia /seseorang mengambil waktu yang lama dan berkali-kali memikirkannya, sama ada hendak memberinya atau tidak.

Persoalan bakhil yang diumpamakan oleh RAH sebagai perompak yang paling gagah harus diberi penelitian. Bagaimana sikap bakhil boleh menjadi perompak yang gagah? Gagah yang bagaimana dimaksudkan oleh RAH? Sejauhmana benarnya sifat mazmumah ini boleh dikategorikan sebagai gagah? Itulah persolan yang boleh dijadikan asas pemikiran kita. Analisa yang mendalam serta penakulan berdasarkan realiti masyarakat haruslah diberi ruang yang segar untuk dibahaskan.

Bagi membuktikan resolusi RAH adalah suatu yang sukar disangkal, saya ingin menawarkan sebuah realiti buat tamsil kita bersama. Sewaktu menganjurkan agar dibentuk sebuah pasukan kompang di kalangan para remaja yang tinggal di sebuah taman di sebuah bandar kecil beberapa musim yang lalu, ramai penduduk dewasa bersetuju untuk mengumpul dana bagi membeli beberapa kompang untuk digunakan dalam kumpulan tersebut. Saya telah menuliskan kertas kerja dan menerangkan akan rasional penubuhan kumpulan tersebut. Saya terangkan betapa perlunya golongan remaja ini "diuruskan" dengan aktiviti tertentu. Semua penduduk yang ditemui menyatakan kebenaran dan perlunya kumpulan tersebut diwujudkan. Persoalannya, di manakah dana tersebut perlu diperolehi. Lantas mereka menunding harapan tersebut kepada para YB, Kontraktor tertentu, Individu tertentu malahan diambil saja wang yang ada pada pihak-pihak tertentu. Masa terus berjalan hingga idea murni menubuhkan kumpulan tersebut hilang dari ingatan penduduk.Mereka hanya nampak wang ringgit orang lain sahaja yang patut diminta untuk membeli alat tersebut. Akhirnya idea menubuhkan kumpulan kompang berkubur begitu sahaja. Peliknya, setiap kali majlis kenduri kahwin diadakan, mereka menjemput kumpulan kompang dari luar taman untuk membuat persembahan dengan membayar sejumlah dana dan diiringi pula berbagai cenderamata.

Keadaan ini terus berjalan hampir tiga tahun hinggalah saya mengambil keputusan untuk membuat langkah drastik dengan mengeluarkan sedikit simpanan dan meminjam alat kompang daripada sebuah sekolah berhampiran taman. Dengan sedikit langkah agresif serta terus menimbulkan rasional di sebalik perlunya badan tersebut dibiayai, akhirnya, apa yang diimpikan telah menjadi kenyataan. Alhamdulillah, wang derma terus diterima untuk melengkapkan bilangan kompang yang ingin dimiliki. Lantas, saya menetapkan bahawa, janganlah kita mengharapakan orang lain akan menderma selagi kita sendiri tidak mahu mengeluarkan sedikit ongkos yang kita miliki. Ternyata kini, benih yang ditanam mula menampakkan pucuk-pucuk muda yang bakal menghijaukan taman yang terus gah di tepi bandar yang semakin berkembang.

Justeru , benarkah bakhil adalah perompak yang paling gagah? Memang benarlah jawapannya. Jika semua mengharapkan orang lain sahaja yang menyumbang, kita yang punya pendapatan yang lumayan tidak harus bersifat kikir terhadap rezeki yang Allah swt berikan. Sedikit harta yang kita sumbangkan boleh membunuh sifat bakhil yang sedia bersarang di hati kita. Kenapa untuk kebaikan bersama kita selalu bersifat kikir? Kenapa perlu memikirkan orang lain sahaja yang patut menderma? Kenapa kita sanggup membayar kepada perkara yang membazir seperti merokok sedangkan untuk melabur dalam usaha membina modal insan , kita terlalu berkira? Kenapa wang atau harta kita menjadi sangat peribadi hingga masyarakat tidak langsung berhak atasnya? Benarkan wang /harta tersebut benar-benarkan akan menjadi milik kita? Atau itukan saja pinjaman dari Yang Maha Kuasa dan ianya harta bersifat sementara?

Ternyata jua , sifat bakhil tersebut telah berjaya merompak sifat insaniah kita. Naluri manusia sentiasa ingin melakukan sesuatu kebajikan tetapi sering terhalang oleh sifat BAKHIL!!!. Sifat itu seperti mendindingi kita agar berwaspada terhadap semboyan yang menuntut sedikit pengorbanan. Benarlah kata RAH, bahawa bakhil dalam semua aspek masa, harta benda, wang ringgit, pangkat dan kuasa, hatta jika boleh ilmu yang dimiliki juga tidak ingin dikongsi dengan orang lain. Dia lebih rela ilmu yang dimilikinya terus kekal dalam dirinya dan tak mampu untuk dikongsi dengan orang ramai. Jiwanya terasa tertekan jika ada orang lain yang lebih mengetahui daripadanya jika ilmu itu dikongsi secara luas!!!! Dia merasakan ijazah yang berjela-jela itu tanda orang berilmu dan berpengetahuan tetapi mata hati jelas menampakkan bahawa beliau hanyalah hamba kepada sifat BAKHIL yang durjana itu!!!!Nauzubillah.....

0 comments:

Blog Widget by LinkWithin