Fenomena kebudayaan yang tidak dinamik....(1)
>> Wednesday, December 22, 2010
Mengupas isu kebudayaan negatif dan tidak dinamik ini bukan suatu perkara yang mudah. Perkataan dinamik itu sendiri sudah menggambarkan amalan budaya yang sudah tersebar secara meluas di kalangan masyarakat kita. Perbuatan yang sudah mendarah daging itu kita lakukan dengan tanpa menyedari ianya mengundang budaya yang menuju ke arah budaya fikir dan budaya kerja yang tidak bersifat dinamik.
Malik Bennabi, ahli pemikira Islam moden kelahiran Algeria (1905-1973), telah menyedari tentang budaya cakap banyak yang merosakkan daya fikir dan daya juang ummat Islam. Penjelasan yang beliau maksudkan adalah berdasarkan pemerhatiannya terhadap kegemaran ahli-ahli masyarakat bersosial dan tidak menunjukkan unsur kedinamikan yang menegak. Sebaliknya, budaya cakap banyak yang dibawa oleh para ustaz dan para intelektual tradisi dalam menafsirkan ayat-ayat suci terlalu romantik dan melekakan.
Kenapa Malik Bennabi berkata demikian? Apakah hujah dan ulasan yang boleh menggambarkan suasana demikian? Apakah fenomena ini masih berlaku dan terus berlaku walaupun sudah ternyata di kategorikan di bawah budaya tidak dinamik?
Seperti kata Malik Bennabi, para ustaz mengambil masa sehingga setengah jam untuk menghuraikan satu perkataan "rahmah Allah". Begitu juga seorang pensyarah terus membuka lembaran demi lembaran nota untuk menghuraikan sejenis tanaman!!! Sedangkan kedua-dua fenomena itu hanya boleh difahamkan kepada para pendengarnya dengan suatu aktiviti berdasarkan pengalaman hidup mereka.
Adakah para pendengar tidak pernah mengalami unsur "rahmah Allah" dalam kehidupan mereka? Adakah terlalu sukar untuk menghuraikan "kerahmahan Allah" dalam kehidupan mereka? Bukankah satu pembaziran jika untuk menghuraikan maksud perkataan"rahmah", kita perlu membazirkan masa selama setengah jam ? Bayangkanlah juga berapa banyak perkataan digunakan untuk selama tempoh itu. Itupun kita belum bertanya, adakah segala ikhtiarnya selama setengah jam itu berbaloi? Sejauhmanakah pula para pendengar memahaminya maksud perkataan rahmah itu?
Begitu juga gelagat "akademik" seorang pensyarah yang terpaksa menyediakan puluhan slaid atau power piont untuk menggambarkan kehebatan isi kuliahnya. Sedangkan isu yang besar itu hanya memerlukan suatu jentikan minda para pelajarnya. Bukankah lebih bermanafaat jika para pelajar yang sudah dewasa itu menghuraikan segala tabiat dan keperluan biologi sesuatu jenis tanaman berbanding dengan menyalurkan berbagai maklumat. Sedangkan bagi semua pelajar itu, keperluan dan minat mereka terhadap sesuatu maklumat adalah relatif.
Ternyata di sana, budaya cakap banyak sangat subur dalam masyarakat. Kehebatan bersastera dengan bermain dengan kata-kata menjadikan masyarakat terus dibuai nostalgia masa lampau dan kejumudan daya berfikir. Natijah yang merangsang penafian kemahiran berfikir para ummat Islam itulah yang sering membawa kepada keyakianan pihak luar untuk menjajah ummat Islam. Daya fikir mereka telah dilesukan di semua peringkat pendidikan. Natijah ini boleh dikesan bila ajakan untuk berubah sering diakhiri dengan berebah (tidor) sahaja.
Secara realitinya, pengalaman mengendalikan kursus yang adakalanya hingga melampaui masa yang rasmi menjadikan gagasan Malik Bennabi ini suatu kebenaran. Tempoh masa berkuliah selama empat atau lima jam seringkali menjadikan para peserta kuliah terbabas waktu untuk makan . Dan lebih mengujakan, mereka seperti mendapat petunjuk baru dalam kerjaya harian mereka dan tidak merasa menyesal berada bersama untuk slot tempoh yang melangkaui 300 minit" bersamamu. ".
Benarlah kata Malik Bennabi, maklumat yang banyak belum tentu membawa kebaikan jika maklumat tersebut tidak diproses kembali. Jentikan minda terhadap berbagai isu akan memberikan ruang dan perspektif baru para pendokong wawasan. Dalam ertikata yang lain, berikanlah sedikit ruang dan peluang untuk para pendengar dan pengikut kita meluahkan pemahaman mereka terhadap sesuatu isu berdasarkan pemikiran mereka. Dari situlah akan terbentuk" sense of belonging". Para pengikut dan pendengar akan berkongsi citra yang sama setelah idea mereka juga turut diberikan tempat sewajarnya. Keberadaan mereka dalam komuniti diberikan tempat sewajarnya bukan lagi ibarat "melukut di tepi gantang". Sikap berlapang dada dan hormat menghormati terhadap sumber ilmu dan tradisi keilmuan seharusnya menjadikan landasan pembentukan unsur-unsur manusia dan kemanusiaan.
Justeru itu, bagi mengejar tempoh masa yang sentiasa mencabar, dunia yang sudah "tua" ini memerlukan gaya pemikiran semula. Dan hal itu lebih ketara, dalam usaha kita ummat Islam mengungguli kedudukan kita pada setiap aspek kehidupan pada mata masyarakat bukan Islam. Kekayaan, pangkat, penghormatan, kemewahan seharusnya memberikan kita sebuah gagasan untuk dikongsi dengan alam sekitar dan bukannya alam kita tersendiri. Melupakan hakikat kekayaan adalah pinjaman semata-matalah seringkali melupakan dirinya dengan "habblun minnan nas".
Anjakan paradigma bagi proses mencari dan mengumpul maklumat perlu direkonstrasikan semula. Budaya ledakan maklumat yang lebih bersifat "spoon feed" sudah tidak relevan dalam menghadapi cabaran zaman. Maklumat perlu dicari dan dianalisakan supaya maklumat baru yang tercerna adalah hasil daripada kewujudan hubungan idea dan benda telah sebati. Dengan kemampuan baru itulah kebudayaan positif semakin menyubur.
Adakah kita tidak punya jalan keluar untuk mengubati penyakit cakap banyak tanpa faedah ini diubati.?? Wajarkah ia dibenarkan terus merebak? Bagaimanakah pula kita harus belajar dari pengalaman silam untuk dijadikan suri teladan?
Fikir-fikirkanlah.......
2 comments:
mbaca hasil buah tgn anda ini..serasa sy kembali berada di zaman usrah n tamrin kira2 28 thn dulu..anda benar2 mjadi "pulau" n "gunung" itu..
Alhamdulillah....InsyaAllah, saya akan cuba menjadi gunung yang memuntahkan larvanya bagi menyuburkan tanaman dan menjadi pulau buat nelayan berlindung daripada tiupan ribut dan gelora di laut...
Post a Comment