Berkongsi keceriaan.....

>> Friday, December 31, 2010

Alhamdulillah, syukur pada Allah swt kerana sejak menghuni rumah baru di Ipoh ini, ia menjadi sumber keceriaan buat diri dan keluarga serta rakan-rakan sekelian. Seringkali rumah ini dikunjungi dan tertaut kembali perasaan mahabbah bersama rakan-rakan yang sudah lama terpisah.

Sesungguhnya, terasa sekali nikmat Allah swt ini adalah untuk dikongsi bersama dan bukan untuk kemegahan dan sanjungan. Kunjungan kalian sesungguhnya membawa erti yang besar buat saya sekeluarga memahami maksud hadis yang menyebutkan bahawa tetamu membawa berkat.

Semoga Allah swt merahmati kediaman baru ini serta menghiasi ahli rumah ini dengan segala sifat mahmudah dan menjauhi sifat mazmumah.

Amin, Ya rabbal Alamin....

Read more...

Institut Sofar : Your burning desire!!!!!

>> Wednesday, December 29, 2010

Kenangan hampir 28 tahun yang lalu tersirat kejap diingatan bila diberi kesempatan untuk berbicara santai bersama guru-guru Sekolah Rendah Islam ABIM seramai 46 orang pada 28 Disimber 2010 yang lalu.

Kuliah santai yang lebih merupakan sesi "ice breaking" mengambil masa selama hampir 4jam setengah telah membuka era baru kepada guru-dan bakal guru yang bakal memulakan sesi pengajaran tidak berapa lama lagi.

Kesempatan bersama para guru tersebut telah digunakan untuk menjentik minda mereka bagaimana membina personaliti keguruan. Pengalaman yang dibina selama ini telah diturunkan sedikit demi sedikit untuk mereka membina motivasi diri supaya sejajar dengan aspirasi ABIM.

Sesungguhnya, 4 jam setengah itu terasa seperti hanya beberapa minit yang lalu kerana seronok melihat gelagat guru-guru tersebut ceria sepanjang sesi tersebut berjalan. Kertas feedback yang dikumpul selepas sesi selesai membuktikan bahawa teknik dan approach yang diguna boleh diaplikasi lagi kerana ternyata berkesan untuk mereka menjana pemikiran baru. Lebih menyeronokkan, apabila terdapat komen-komen yang minta sesi itu disambung lagi pada masa hadapan.. Alhamdulillah.......

Percayalah , diri ini akan memberikan kesemua kemahiran pedagogi jika sesi seperti itu dijalankan lagi. Sesungguhnya, ilmu serta pengetahuan bersama Institut Sofar pada tahun 1981-82 sebagai pelajar Tingkatan Enam ,28 tahun yang lalu menjadi burning desire untuk berbakti kepada alma matar!!!! VIVA INSTITUT SOFAR!!!!!!

Read more...

Wacana Perdebatan..........(3)

"Mereka semua meletakkan karya-karya yang hanya memberikan justifikasi dan berbagai-bagai alasan, yang justeru menghalang usaha yang terencana bagi membentuk perubahan sosial dalam proses pembangunan kebudayaan..."

Itulah pendapat Malik Bennabi terhadap kecenderungan sebahagian besar ummat Islam dalam menghadapi perubahan.

Malik Bennabi menjelaskan bahawa fenomena berdebat di kalangan ummat Islam sama ada dalam perdebatatan sesama mereka atau dalam menghadapi cabaran agama lain, sering menggunakan hujah yang lebih merupakan alasan untuk bela diri. Mereka menggunakan hujah untuk mencipta berbagai alasan dan bukannnya menganjurkan satu pandangan baru yang boleh dibanggakan. Hujah ummat Islam lebih menampakkan unsur alasan dan huraian yang nyata tidak merangsang perubahan budaya.

Dalam kontek s perkembangan media dan dunia penulisan, umum mengetahui bahawa di negara kita sejak dahulu hingga kini suasana itu masih wujud. Sejarah perdebatan melalui media boleh diikuti melalui akhbar dan majalah yang dikeluarkan oleh Kaum Tua dan Kaum Muda. Perbincangan dan perdebatan tentang isu-isu seperti bacaan qunud, talkin, wirid dan sebagainya dibahaskan panjang lebar dalam akhbar dan majalah pada masa itu. Walaupun dari satu segi, ia menampakkan dunia intelektual Melayu Islam yang hebat, tetapi isu yang dibincangkan hanyalah bersifat furuk dan bukannya cara bagaimana menganjurkan cara meningkatkan taraf ekonomi ummat Melayu Islam kepada yang lebih baik pada masa itu. Kelekaan para intelektual Islam Melayu dalam membahaskan su furuk langsung tidak menjejaskan kekuatan penjajah Inggeris pada masa itu. Disitulah Inggeris yang memerintah Tanah Melayu ini sentiasa memberi ruang buat para pendebat Melayu Islam ini "berhujah" seluas-luasnya dan pada masa yang sama tiada gangguan terhadap hegemoni kolonialisme mereka. Ternyata ummat Islam tertipu dengan taktik licik Inggeris itu.

Persoalannya, adakah tragedi itu masih berlaku di negara kita pada hari ini? Saya amat yakin budaya itu masih berlaku. Apa tidaknya, selain akhbar arus perdana, akhbar alternatif berhujah itu dan ini, di sana juga ada blog, facebook, twitter dan lain-lain yang turut menghangatkan dunia perdebatan dalam berbagai isu . Masing-masing dengan hujah dan ulasan serta pandangan tetapi "tsunami sosial" masih berleluasa.

Ummat Islam Melayu masih menjuarai budaya rempit, gadis Melayu masih menjuarai kes rogol dan buang anak, orang Melayulah yang paling ramai menghantar ibu bapa yang tua dan uzur ke Rumah-rumah Kebajikan, kakitangan kerajaan bangsa Melayulah yang banyak terlibat dengan rasuah, penagih dadah pun orang Melayulah juaranya!!!

Sesungguhnya , ingatan dan pesanan Malik Bennabi kepada ummat Islam tidak kesampaian ke pengetahuan ummat Islam sepenuhnya kerana rasa jinggosme sebahagian daripada sarjana dan intelektual kita dengan pandangan tokoh-tokoh Barat. Mereka sangat menyanjung tinggi Bandura, Augustu Comte, Kahn dan lain-lain tetapi tokoh-tokoh sarjana Islam yang melihat Islam daripada perspekstif Islam diketepikan. Hujah sarjana-sarjana Islam seolah-olah tidak releven dengan persoalan semasa sedangkan para sarjana tersebut menjadikan ajaran Al quran dan Sunnah sebagai asas perbincangan.

Apakah Al Quran dan Sunah Nabi tidak relevan? Apakah ajaran yang dibawa oleh Rasulullah saw bersifat jumud dan tidak sanggup meghadapi cabaran zaman? Wajarkah kita terus berdebat dengan seribu satu alasan sedangkan sudah tersedia jalan penyelesaian? Benarkah sarjana Barat lebih hebat daripada sarjana Islam? Bagaimanakah sarjana Islam seharusnya berfungsi sejajar dengan kesarjanaannya?

Fikir-fikirkanlah....!!!

Read more...

Terkesima dengan keagungan silam........(3)

>> Monday, December 27, 2010

Bicara Malik Bennabi mengenai faktor kelesuan yang dialami oleh ummat Islam juga terarah kepada sikap terbawa-bawa dengan kenangan keagungan Islam suatu ketika dahulu. Mereka masih terasa bahawa dunia Islam masih menguasai pembentukan peradaban yang semakin maju dan bertambah kompleks pada setiap hari.

Terkesimanya ummat Islam dengan keunggulan yang di bina oleh Rasulullah saw , para sahabat serta zaman Khulafa Ar Rasyidin dan kerajaan-kerajaan Islam sebelum Perang Dunia Kedua, menjadikan mereka alpa bahawa dunia Barat dan Eropah serta beberapa negara Timur Jauh sudah jauh meninggalkan kita dalam berbagai aspek kemajuan.

Sains dan teknologi, perkomputeran, perubatan, perekonomian, perindustrian dunia Barat dan Timur jauh sudah terlalu sukar untuk disaingi oeleh dunia Islam. Teknologi nuklear, kewangan antarabangsa, saham dan takful didominasi oleh orang bukan Islam. Hatta, teknologi mengorek hasil bumi dunia Islam pun dikuasai oleh dunia Barat dan Eropah.

Ummat Islam yang masih terkesima dengan keagungan kebudayaan Islam suatu ketika dahulu masih melagu dan menyanyikan cerita basi seperti kehebatan pelayaran Ibn Batutah, ketokohan perubatan Ibnu Sina, keunggulan AlKhawarizmi, Ibnu Rush dan lain-lain lagi. Malik Bennabi tidak menafikan kehebatan tokoh-tokoh tersebut melalui sumbangan masing-masing, tetapi soalnya, adakah kita harus berbanggga di takuk itu sahaja. Sedangkan ummat bukan Islam mengambil pengetahuan yang diperolehi hasil pertembungan dunia Islam dan dunia Kristian lalu menjana pengetahuan baru.

Dunia mula melihat perubahan yang berlaku di Eropah selepas berlakunya sisri Perang Salib. Penganut dan pendokong Kristian yang berusaha menawan Palestin telah menumui berbagai maklumat baru dan terbnetuklah suasana Enlightenment (zaman Pencerahan ) di dunia Eropah setelah berlakunya peristiwa tersebut.

Bukti terdekat adalah negara Jepun. Kekalahan mereka dalam Perang Dunia Kedua akibat hentaman bom atom di Yokohama dan Nagasaki telah membangkitkan keazaman baru untuk terus melakukan perubahan. Ummat Jepun sangat mengerti bahawa maruah negara akan terbela jika mereka mempunyai kekuatan sejarah jati dan jatidiri. Pendekatan peniruan terhadap segala produk dari Barat telah merangsang budaya penyelidikan dan pembangunan dalam penjanaan ekonomi baru negara Jepun. Natijahnya, Jepun kini adalah sebuah kuasa besar ekonomi dan menguasai sebahagian besar pengeluaran produkbaranagan keperluan pennguna dengan berbagai jenama. Dunia kenderaan, alat perkakas rumah , baranagan elektrik dan elektronik keluaran negara matahari terbit ini menguasai sebahgian besar kedai dan emporium di seluruh dunia!!!

Ironinya, sebahgian besar ummat Islam masih seronok menyanyikan lagu lama dengan nada baru!!!!

Kenapa kelesuan ini terus berlaku? Adakah pembanguan dan kemajuan yang kita cipta tidak menepati aliran kapitalis, lesser faire atau kita tidak menggunakan paksi yang betul dalam merangsang kemajuan? Al Quran dan Al Hadis hanya sebagai pemanis kata tetapi hakikatnya kita masih merasa yakin dengan perekonomian ajaran mazhab kapitalisisme, sosialisme, dan sebagainya!!!!

Fikir-fikirkanlah!!!!!!

Read more...

Anggapan kita sudah sempurna......(2)

>> Thursday, December 23, 2010

Pemerhatian Malik Bennabi terhadap kelesuan ummat Islam juga terarah kepada suatu isu lagi. Pemahaman bahawa "Islam itu sempurna", "kita orang Islam", "Islam itu tinggi dan tiada yang tinggi melainkan Islam", sering disalah tafsirkan!!

Nampaknya budaya berfikir sebahagian besar ummat Islam masih terbawa dengan fenomena itu. Mereka beranggapan bahawa Islam sudah sempurna dan kesempurnaan itu tidak perlu diperbaiki lagi. Tiada perlu difikirkan aspek penambahbaikan kerana kita sudah sempurna. Anggapan kita orang Islam tambah mengukuhkan hujjah mereka bahawa tidak perlu risau lagi untuk memikirkan tentang kemajuan dan kehebatan orang Islam kerana kedua-dua potong ayat tadi sudah menggambarkan kehebatan Islam dan penganutnya!!!

Dalam istilah sekarang ia disebut sebagai zon selesa (comfort zone). Keselesaan itu menjadikan mereka tidak merasa perlu untuk berbuat sesuatu supaya Islam terus tegak di bumi Allah ini. Mungkin juga anggapan kesempurnaan Islam itu boleh ditamsilkan dengan hujjah rapuh pejuang nasionalis. Keberadaan kita di bumi ini sejak ratusan tahun yang lalu tidak perlu dirisaukan lagi kerana kita sering berlindung di bawah premis "bahawa ini tanahair kita", "warisan berkurun lamanya", keturunan kita telah menduduki bumi ini sejak dahulukala lagi!!. Itulah hujjah-hujjah pejuang nasionalis tanpa memikirkan bahawa dunia sedang berubah.

Malik Bennabi menyarankan agar kita mentafsirkan semula erti "Islam itu sempurna ". Apakah yang dimaksudkan dengan sempurna? Adakah sempurna hidup ummat Islam hari ini? Sejauhmanakah sempurna ummat Islam hari ini? Apakah kesempurnaan ummat Islam yang boleh dibanggakan di mata dunia?

Dalam konteks yang lebih mikro, adakah ummat Islam di negara ini yang kebetulan majoritinya orang Melayu sudaj cukup sempurna? Adakah ummat Islam Malaysia memiliki kuasa ekonomi yang sempurna? Kuasa politik yang semurna? Taraf sosial yang sempurna? Taraf pendidikan yang sempurna? Sistem perumahan yang sempurna? Pemilikan ekuiti dan saham sudah sempurna? Sistem kehakiman dan mahkamah kita sudah sempurna? Pelaksanaan arahan mahkamah Syariah dalam Undang-Undang Keluarga Islam sudah sempurna?

Itu antara persoalan yang seharusnya membangkit perasaan bahawa perjuangan menegakkan Islam itu masih belum sempurna. Ini kerana bedasarka stastik pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sendiri bilangan penduduk miskin masih ramai di kalangan orang Melayu dan Bumiputera, gejala sosial masih diungguli oleh orang Melayu Islam, penagih dadah pun "orang kita", si Tanggang Moden ( buang ibu bapa) pun orang kita dan banyak lagi kes orang kita sentiasa di hadapan dalam hal yang mendukacitakan.

Maka timbul persoalan di sini benarkah Islam itu sempurna? Justeu Malik Bennabi menegaskan bahawa Allah swt telah sekian lama membenarkan Islam itu sempurna. Cuma yang berlaku adalah ummat Islam itu yang belum sempurna. Dan lebih malang, hampir semua aspek keseluruhan kesempurnan itu diambil oleh penganut agama lain. Jepun dengan budaya kerja yang produktif, Eropah dengan budaya R & Dnya, China dengan kuasa ekonominya, India dengan kuasa nuklearnya, Amerika dengan kuasa polis dunianya dan begitu jugaKorea dengan kuasa permotoran Hyundainya. Thailand yang berada berhampiran dengan kita pun hebat dengan teknologi pertanian. Maka , di mana kesempurnaan negara ummat Islam?

Arab Saudi yang kaya dengan minyak tidak mampu menjadikannya senjata melawan Israel yang sekangkang kera. Minyak yang menjadi penggerak kepada ekonomi dan politik dunia hanya menjadi barang mainan untuk kuasa Barat memperkotak-katikkan ummat Islam. Isu Palesin hanya enjadi bahan "hangat-hangat tahi ayam" Persidanagan Negara-negara Islam (OIC), Negara Arab akan menggunakan isu Palestin hanya untu kepentingan politik jangka pendek dan hanya menjadi isu kembali selepas terperuk sekian lama dalam jubah gamis para pemimpin Arab Islam. Suara garang pemimpin-pemimpin Arab hanya terkedu jika penjaga Rumah Putih berdehem!!!!

Bukankah zalim namanya bila Mesir menutup segala pintu untuk ummat Palestin menyelamat nyawa dan harta benda daripada kekekjaman rejim Zionis? Ditegah masuk ke bumi ambiya walaupun dari bangsa Arab yang sama!! Apakah Arab Palestin tidak sama dengan Arab Mesir? Sedih dan pilu mengenang saudara seagama dizalimi oleh negara yang juga dikuasai oleh saudara seagama tetapi bersikap talam dua muka, gunting dalam lipatan dan sanggup menjadi singa sarkas kepada tuan politiknya di Washington, London, Paris dan Geneva!!!

Jadi apa diharap kuasa minyak untuk dapat menyelamatkan ummat Islam Palestin jika begitu situasinya. Lebih malang , harga minyak pun ditentukan oleh USA dan Britain walaupun ia disedut daripada bumi ummat Islam. Sempurnakah ummat Islam kalau begitu keadaannya.

Hanya kepada negara Iran dengan pimpinan Ahmad Bennejad di harap dapat mengangkat maruah ummat Islam. Maruah ummat Islam tidak mampu dijaga oleh penjaga "dua tanah haram" lagi kerana wang minyak hanya mampu membesarkan ego dan budaya hedonisme penguasa timah hitam itu sahaja . Roh ukhuwah keislaman itu seperti semakin kabur di bawa arus individualistik!!

Fikir-fikirlah.....

Read more...

Fenomena kebudayaan yang tidak dinamik....(1)

>> Wednesday, December 22, 2010

Mengupas isu kebudayaan negatif dan tidak dinamik ini bukan suatu perkara yang mudah. Perkataan dinamik itu sendiri sudah menggambarkan amalan budaya yang sudah tersebar secara meluas di kalangan masyarakat kita. Perbuatan yang sudah mendarah daging itu kita lakukan dengan tanpa menyedari ianya mengundang budaya yang menuju ke arah budaya fikir dan budaya kerja yang tidak bersifat dinamik.

Malik Bennabi, ahli pemikira Islam moden kelahiran Algeria (1905-1973), telah menyedari tentang budaya cakap banyak yang merosakkan daya fikir dan daya juang ummat Islam. Penjelasan yang beliau maksudkan adalah berdasarkan pemerhatiannya terhadap kegemaran ahli-ahli masyarakat bersosial dan tidak menunjukkan unsur kedinamikan yang menegak. Sebaliknya, budaya cakap banyak yang dibawa oleh para ustaz dan para intelektual tradisi dalam menafsirkan ayat-ayat suci terlalu romantik dan melekakan.

Kenapa Malik Bennabi berkata demikian? Apakah hujah dan ulasan yang boleh menggambarkan suasana demikian? Apakah fenomena ini masih berlaku dan terus berlaku walaupun sudah ternyata di kategorikan di bawah budaya tidak dinamik?

Seperti kata Malik Bennabi, para ustaz mengambil masa sehingga setengah jam untuk menghuraikan satu perkataan "rahmah Allah". Begitu juga seorang pensyarah terus membuka lembaran demi lembaran nota untuk menghuraikan sejenis tanaman!!! Sedangkan kedua-dua fenomena itu hanya boleh difahamkan kepada para pendengarnya dengan suatu aktiviti berdasarkan pengalaman hidup mereka.

Adakah para pendengar tidak pernah mengalami unsur "rahmah Allah" dalam kehidupan mereka? Adakah terlalu sukar untuk menghuraikan "kerahmahan Allah" dalam kehidupan mereka? Bukankah satu pembaziran jika untuk menghuraikan maksud perkataan"rahmah", kita perlu membazirkan masa selama setengah jam ? Bayangkanlah juga berapa banyak perkataan digunakan untuk selama tempoh itu. Itupun kita belum bertanya, adakah segala ikhtiarnya selama setengah jam itu berbaloi? Sejauhmanakah pula para pendengar memahaminya maksud perkataan rahmah itu?

Begitu juga gelagat "akademik" seorang pensyarah yang terpaksa menyediakan puluhan slaid atau power piont untuk menggambarkan kehebatan isi kuliahnya. Sedangkan isu yang besar itu hanya memerlukan suatu jentikan minda para pelajarnya. Bukankah lebih bermanafaat jika para pelajar yang sudah dewasa itu menghuraikan segala tabiat dan keperluan biologi sesuatu jenis tanaman berbanding dengan menyalurkan berbagai maklumat. Sedangkan bagi semua pelajar itu, keperluan dan minat mereka terhadap sesuatu maklumat adalah relatif.

Ternyata di sana, budaya cakap banyak sangat subur dalam masyarakat. Kehebatan bersastera dengan bermain dengan kata-kata menjadikan masyarakat terus dibuai nostalgia masa lampau dan kejumudan daya berfikir. Natijah yang merangsang penafian kemahiran berfikir para ummat Islam itulah yang sering membawa kepada keyakianan pihak luar untuk menjajah ummat Islam. Daya fikir mereka telah dilesukan di semua peringkat pendidikan. Natijah ini boleh dikesan bila ajakan untuk berubah sering diakhiri dengan berebah (tidor) sahaja.

Secara realitinya, pengalaman mengendalikan kursus yang adakalanya hingga melampaui masa yang rasmi menjadikan gagasan Malik Bennabi ini suatu kebenaran. Tempoh masa berkuliah selama empat atau lima jam seringkali menjadikan para peserta kuliah terbabas waktu untuk makan . Dan lebih mengujakan, mereka seperti mendapat petunjuk baru dalam kerjaya harian mereka dan tidak merasa menyesal berada bersama untuk slot tempoh yang melangkaui 300 minit" bersamamu. ".

Benarlah kata Malik Bennabi, maklumat yang banyak belum tentu membawa kebaikan jika maklumat tersebut tidak diproses kembali. Jentikan minda terhadap berbagai isu akan memberikan ruang dan perspektif baru para pendokong wawasan. Dalam ertikata yang lain, berikanlah sedikit ruang dan peluang untuk para pendengar dan pengikut kita meluahkan pemahaman mereka terhadap sesuatu isu berdasarkan pemikiran mereka. Dari situlah akan terbentuk" sense of belonging". Para pengikut dan pendengar akan berkongsi citra yang sama setelah idea mereka juga turut diberikan tempat sewajarnya. Keberadaan mereka dalam komuniti diberikan tempat sewajarnya bukan lagi ibarat "melukut di tepi gantang". Sikap berlapang dada dan hormat menghormati terhadap sumber ilmu dan tradisi keilmuan seharusnya menjadikan landasan pembentukan unsur-unsur manusia dan kemanusiaan.

Justeru itu, bagi mengejar tempoh masa yang sentiasa mencabar, dunia yang sudah "tua" ini memerlukan gaya pemikiran semula. Dan hal itu lebih ketara, dalam usaha kita ummat Islam mengungguli kedudukan kita pada setiap aspek kehidupan pada mata masyarakat bukan Islam. Kekayaan, pangkat, penghormatan, kemewahan seharusnya memberikan kita sebuah gagasan untuk dikongsi dengan alam sekitar dan bukannya alam kita tersendiri. Melupakan hakikat kekayaan adalah pinjaman semata-matalah seringkali melupakan dirinya dengan "habblun minnan nas".

Anjakan paradigma bagi proses mencari dan mengumpul maklumat perlu direkonstrasikan semula. Budaya ledakan maklumat yang lebih bersifat "spoon feed" sudah tidak relevan dalam menghadapi cabaran zaman. Maklumat perlu dicari dan dianalisakan supaya maklumat baru yang tercerna adalah hasil daripada kewujudan hubungan idea dan benda telah sebati. Dengan kemampuan baru itulah kebudayaan positif semakin menyubur.

Adakah kita tidak punya jalan keluar untuk mengubati penyakit cakap banyak tanpa faedah ini diubati.?? Wajarkah ia dibenarkan terus merebak? Bagaimanakah pula kita harus belajar dari pengalaman silam untuk dijadikan suri teladan?

Fikir-fikirkanlah.......

Read more...

Memuji hingga timbul rasa 'ujub....

>> Tuesday, December 21, 2010

Raja Ali Haji(RAH) tidak melepaskan aspek kejiwaan atau psikologi manusia dalam garapannya melalui kumpulan Gurindam 12.Selaian soal keperluan menjaga agnggota badan, dia juga mengingatakn para ummah agar berhati-hati dengan ujian yang berupa umpatan dan pujian.

Mengumpat dengan kata dasarnya umpat juga membawa maksud mengata, menyebut keburukan orang lain di belakang, Mengunjeng juga disebut orang dengan membawa maksud yang sama. Bagi menggambarkan betapa bahaya tabiat mengumpat ini, Rasulullah saw menyebutkannya sebagai memakan daging saudara sendiri!!!

Dalam konteks masyarakat hari ini, mengumpat adalah satu saluran kritikan sosial terhadap sesuatu pihak yang tidak disukainya. Ketidak sukaannya pada sesuatu pihak mungkin didorong faktor aliran pemikiran atau cara pembawaan dalam pergaualan harian.

Berlawanan dengan mengumpat, RAH juga mengingatakan agar kita tidak leka bila menerima pujian. Ucapan penuh sopan dengan sususnan kata yang tersusun rapi sering juga menjerumuskan manusia ke lembah kesombongan, keangkuhan, kebebalan, kesembroan, keakuan, keegoan yang melampau dan yang paling menakutkan jika sanggup memakai sifat Yang Maha Esa iaitu 'ujub.

Senjata iblis yang bernada lembut ini sering mempesonakan khalayak. Pujian sering membawa manusia untuk lupa membuat refleksi diri, mengintrospeksi diri. mengoreksi amalan harian dan sering membawa kesesatan. Bukti keujuban manusiawi ini sering didedahkan dengan amalan tarikat yang jauh menyimpang, tasauf yang merosakkan akidah, dan amat malang membiarkan diri 'ditelanjangi" oleh mata dan fikiran para ilmuan. adalah suatu yang malang dan sedih jika dalam zaman mutakhirin ini masih ada pengikut mazhab yang amat ketara kesesatannya. Kerajaan Langit Ayah Pin, Rasul Melayu di Gombak, ajaran HassanAnak Harimau (sekadar menyebut beberap nama) adalah bukti bahawa pujian telah memakan diri.

Pujian dan sanjungan juga adalah salah satu keperluan psikologi sebenarnya. dalam konteks pendidikan, konsep berkembar ini disebut ganjaran dan dendaan. Konse p telah mafhum lagi ijtimak di kalanagan seluruh pemikir dan pekerja di bidang pendidikan. Para pendidik sering disaran menggunakan konsep ini secara psikologi atau fisiologi.

Memberi ganjaran yang berupa sepotong ayat seperi "hebat awak", pandainya, bijaknya, bertuahnya dan sebagainya akan mendorong pencapaian. Tiada kos dikenakan bagi mengeluarkan kata-kata motivasi tadi. Sebaliknya, jika pihak yang mengusahannya, mungkin disana Allah menunggu dengan pujian dan pelukan yang penuh hangat.

Ternyata kedua-dua amalan ini ada "kelas" yang tersendiri dalam kalangan masyarakat. Budaya mengumpat disebarkan dalam setiap segi kehidupan. Seolah-olah menhgumpat mesti dilaksanakan dalam rukun kehidupan seharian. Walaupun, semua orang amat arif tentang kevurukan seperti yang terpapar dalam kisah Israk dan Mikraj,disusuli hadis keburukan bergunjing, bergosip juga adalah nama baru budaya berhujah secara "betina". Justeru, telitilah kebali, pasal 4, Gurindam 12 yang berbunyi;
mengumpat dan memuji hendaklah pikir,
disitulah banyak orang tergelincir

Read more...

Perjalanan pulang.....

Setelah selesai imam surau taman menghabiskan bacaan doanya pada subuh tadi, lantas aku memberikan salam "terakhir" keran emapat dari itu , bumi taman yang ku huni sejak tiga tahun yang lalu akan ku tinggalkan buat sementara waktu. Dengan penuh keinsafan, aku melontarkan patah-patah kata terakhir buat sidang jemaah pada Subuh yang diiringi gerimis pagi. Bukankah sekarang monson timur laut? Aku sendiri tidak dapat menahan air yang panas menitis dari kelopak mata ini kerana budi dan bahasa yang mereka taburkan sepanjang bergelar perantau. Kesediaan mereka menerima keberadaanku di sisi mereka sangat besar maknanya.

Pada kesempatan pada pagi itu, aku memohon agar segala tutur kata, budi bahasa yang melanggar susila, berlawanan dengan citra mereka, mengganggu minda mereka dengan hujah-hujah yang menjolok budaya fikir yang mudah serta selesa dengan sikap berpada apa yang ada, aku menyusun jari memohon diri ini diperbetulkan kerana niatku adalah kerana Ilahi.

Bukanlah mudah untuk aku menuturkannya, kerana kerja merangsang minda ini hanya Allah yang Maha Kuasa boleh menentukannya. Namun keyakinan, bahawa tugas kita adalah berusaha, aku teruskan butir-butir perkara yang ingin kunyatakan. Pada pemimpin surau, aku pulangkan amanah agar generasi kecil yang aku namkan Rakan Muda Surau diberi perhatian serius. Ibarat Rasulullah saw berwasiat dengan dua perkara ( Al Quran dan AsSunnah) sebelum wafat , menjaga generasi muda pula adalah wasiatku yang pertama. Aku bermohon kepada mereka bahawa generasi tua yang menjadi rakan surau hari ini juga adalah juga rakan muda masa kecilnya. Didikan ibu bapa adalah asas utama dalam pembentukan insan sebelum ianya berpindah kepada sekolah dan guru atau pendidik.

Dalam setiap kali hujahku, ibubapa mesti menjadi benar-benar raja di rumahnya. Membangun anak mengerjakan solat dan menyuruhnya berjemaah di surau sememangnya satu tugas yang mencabar. Apa taknya? Adakalanya kita seperti meredai kelewatan anak-anak tidur kerana menyiapak kerja sekolah, merasakan dia masih kecil untuk disuruh ke surau, alasan hujanlah, kena jalan kaiklah, nak cepat ke sekolah, dan berbagai alasan remeh menampakkan kita lupa pada pesan Rasulullah saw tentang bagaimana mendidik anak dalm bersolat. Semua maklumat tentang suruhan Rasul hanya menjadi khazah ilmu tetapi mamapu memimpin diri mendidik anak-anak sendiri. Apakah anak-anak tidak menjadi persoalan di akhirat nanti? adakah anak-anak sekadar penyeri hidup? Adakah anak-anak hanya untuk menjadi indikator "kejantanan" si bapa saja? ternyata, bukan ilmu yang diperlukan kini, tetapi budaya berfikir dengan memproses ilmu menjadi semakin tumpul di kalangan ummah masa kini.

Rakan kompang pula adalah amanah ku yang kedua buat warga taman itu. Sekian lama, kalangan remaja di taman ini kekurangan aktiviti secara tersusun. Kedudukannya di pinggir bandar memberi ruang dan peluang untuknya terlibat dengan berbagai gejala. Kajian akademik jelas menunjukkan SES (status ekonomi dan sosial) adalah faktor latar belakang utama yang mempengaruhi pencapaian akademik dan kesejahteraan diri.Selain SES, persiktaran menjadi mauduk yang dibahaskan oleh sarjana-sarjana pendidikan dalam menentukan hala tuju generasi akan datang. Apakah kita tidak melihat dan mengkaji fenomena tsunami sosial sekarang? Kenapa musibah itu berlaku di saat kita memiliki sistem pendidikan bertaraf dunia? Apakah kita berfikir bahawa musibah ini berlaku daripada kes-kes kecil yang sering dianaggap terpencil?

Hujah awal aku hingga sampai bila kita harus mengambil pasukan dari luar taman untuk meraikan majlis kenduri kahwin? Sedangkan aset remaja kita terbiar dan tidak diurus dengan baik. Ternyata hujah mudah ini pun sukar diterima sedangkan logiknya sangat jelas. Dengan sedikit kekuatan ekonomi, serta terus menggesa pungutan wang secara rela paksa, akhir terkumpullah sejumlah dana. Lebih mengujakan, kaum wanita juga turut menyumbang hasil pendengaran kuliah Subuh serta waktu bual bicara ala si Joyah dalam sebarang aktiviti gotong royong. Kini impian penduduk taman ini untuk memiliki "aset" yang berwawasan dan berjiwa warga taman sedang dibajai oleh nilai-nilai murni aktiviti budaya ini.

Namun sudah menjadi adat perjuangan, bukan mudah untuk merintis sebuah kejayaan kerana di sana sudah ada kotak fikiran yang jumud dan zon selesa(comfortable zone) dan tak mahu dicabar. Namun keyakinan bahawa sebuah kejayaan masih boleh dibina jika Sunnah Nabi dipelihara dan adat resam tidak dikesampingkan. Bukankah kompang juga yang menyambut penghijrahan Rasulullah saw ke bumi Yathrib lalu bertukar menjadi Madinaltul Munawwarah? Adakah amalan berkompang tidak punya pertalian amalan Sunnah walaupun bukan satu Sunnah yang besar? Bukankah melalui berkompang , generasi muda didedahkan perasaan kebertanggungjawaban kepada masyarakat dan membina kesejahteraan ummah? Ternyata, segulung ijazah yang bergelar PhD pun belum tentu mampu menelusuri budaya Melayu Islam yang tidak bercanggah dengan norma-norma kehidupan malahan patut kekal sepanjang zaman!!!!

Itulah dua amanah yang aku pulangkan kepada jemaah surau pada pagi tadi. Gunakanlah ilmu psikologi dan pengalaman menjadi muda suatu ketika dahulu , agar amanah ini terus bercambah dan menghijaukankan kembali kotak fikiran dan gaya berfikir warga taman. Tinggalkan amalan rutin yang sepatutnya menjadi "turning point" untuk berubah dan bukannya untuk berebah!!!!

Syukur pada Ilahi, "nota terakhir" pada pagi itu mengundangan dakapan yang penuh mesra dan penuh syahdu sambil aku terus memohon agar mereka sudi mendoakan kesejahteraan diri ini walaupun sering mengharap agar akan ada insan yang sudi menghulurkan kerusi untuk aku menununaikan solat bersama mereka. Budi kalian serta hasil "pembacaan" di taman ini tambah mengukuhkan pustaka ilmu yang sering dahagakannya.

Renungkanlah.....

Read more...

Menangani ujian...

>> Monday, December 20, 2010

Sengaja saya menuliskan entri ini untuk memberikan peringatan buat diri yang kerdil ini dalam melakukan sebanyak mungkin kerja-kerja amal agar mensejahterakan masyarakat. Dengan kekuatan yang didasari keyakinan dengan janji-janji Allah swt yang sentiasa bersama hambaNya yang berjuang di jalanNya, kita harus melihat segala cabaran dan ganjaran adalah ujian sebenarnya.

Kesempatan untuk menggarapakan segala pengalaman dan pengetahuan untuk menjalankan fungsi sebagai penggerak kepada pengurusan modal insan di kalangan kanak-kanak dan remaja dalam komuniti di tepian bandar ini sering menuntut kebijaksanaan dan kebolehan mengatur strategi. Merapatkan barisan ke arah menjana komuniti yang menjadikan surau dan masjid sebagai pusat tarbiah menjadikan keyakinan bahawa Allah swt sentiasa bersamaku.

Komuniti yang terbina sejak awal 1980an dulu ini bukanlah dihuni oleh golongan terpelajar sahaja . Tetapi komuniti ini menghimpunkan berbagai kekuatan untuk diolah agar menjadi sebuah masyarakat Islam contoh di pinggir sebuah bandar yang dikenali sebagai pintu masuk ke hutan khazanah negara.

Sungguhpun komuniti taman perumahan ini telah wujud sejak puluhan tahun yang lalu, namun terdapat bebberapa sisi kehidupan yang masih boleh diberi penambahbaikan. Maka, di saat orang lain merasakan semua sisi telah siap, saya merasakan komuniti ini perlu digerakkan semula supaya zon selesa mereka dilepaskan buat sementara waktu.

Lantas, pendidikan adalah asas utama yang perlu diberi penumpuan semula. Dengan sedikit kekuatan dan keyakian , perkara ini telah saya utarakan dalam beberapa sesi "kuliah" pagi subuh yang lebih menumpukan para jemaah untuk berfikir kembali situasi ahli kariah taman ini. Dengan niat hanya untuk "menjentik minda", dan bukannya untuk mengajar "itik berenang", sudah tersirna unsur-unsur ke arah mengisi ruang waktu dengan aktiviti-aktiviti tazkirah daripada kalangan ahli kariah yang berilmu.

Sesungguhnya, perkara ini sepatutnya diberikan perhatian kerana manusia ini sering perlu di beri peringatan sejajar dengan ingatan dan ajaran Islam yang suci itu. Seharusnya tidak timbul soal siapa yang lebih hebat dalam menyampaikan kuliah, sebaliknya, kenapa selama ini kita kurang terlibat?. Adakah ilmu yang kita miliki belum mantap sedangkan Rasullulah saw sendiri menggalakkan umatnya untuk berdakwah walaupun dengan sepotong ayat!!!

Apakah kita tidak yakin dengan ilmu yang ada pada kita? Adakah ilmu itu hanya berfungsi jika didasari dengan motif kewangan? Berfungsi bila ada ganjaran di akhir sesi ceramah? Berapa RMnya yang bakal diterima selepas selesai mengupas sesuatu isu? Adakah begitu penilaian kita terhadap ilmu? Adakah ilmu harus berindikatorkan jumlah bayaran yang diterima setelah menyampaikan sesuatu kupasan yang padanya cukup hebat?

Bukanlah suatu yang salah jika ilmuan sebegitu meletakkkan nilaian yang melampaui ribuan ringgit. Kerana mereka juga manusiawi. Mereka juga mahukan mobil besar dan selesa, pakaian yang hebat dan bergaya, memiliki tempat tinggal sesuai dengan status penjawat tugasan bidang keagamaan. Mereka tidak harus dihalang untuk memilikinya.

Cumanya, dalam konteks membina dan membaiki masyarakat yang parah ini, kita harus mengoreksi diri, adakah gejala tersebut juga berlaku akibat kecuaian kita mendidik generasi muda dahulu dengan nilai-nilai yang kekal abadi!! Kita terkesima dengan hujah bahawa subjek akademik perlu diutamakan. Penguasaan subjek akademik menentukan masa depan generasi pada masa hadapan!!!Itulah pegangan kukuh para pendidik, masyarakat dan negara dan aspek agama hanyalah tempelan bukan perlu perhatian serius. Sisi agama kononnya, boleh dikemudiankan!!

Peperiksaan UPSR, PMR, SPM, STPM dan sebagainya, lebih diutamakan itu kononnya kehendak SKT jabatan, PPD, zon, dan sekolah sendiri hatta ibubapa . Pemantauan oleh pihak atasan sering menggantikan pemantauan oleh Allah swt hingga generasi muda dialpakan dengan kepentingan mengisi dada dengan ilmu agama yang mendalam dan mendasar.

Sedangkan para agamawan, melihat suasana ini dengan logik akal sahaja tanpa memikirkan bahawa kekuatan agamalah yang mensejahteraan sesbuah komuniti untuk sepanjang zaman hingga kiamat. Bukankah itu kesilapan yang harus dibaiki oleh semua pihak? Dan sewajarnya, sikap menunding jari ke sana ke sini harus dikudungkan...Fikirkanlah!!!!!

Read more...

Gurindam 12 Fasal 4

>> Sunday, December 19, 2010

Gurindam 12 "buah tangan" Raja Ali Haji (RAH) bukan sahaja menumpukan kepada sesuatu bidang kehidupan manusia malahan menyentuh hampir semua aspek kehidupan. Walaupun gurindam ini tidak meletakkan hadis dan Al Quran sebagai latar luaran, tetapi patah-patah perkataan menunjukkan unsur-unsur ajaran dan petikan daripada kedua-dua sumber tersebut dicerna dengan halus dan mendalam.

Kali ini, saya ingin menguji pemerhatian saya terhadap Fasal 4 daripada kumpulan dalam Gurindam 12 yang antaranya berbunyi;

Bakhil jangan diberi singgah,
Itulah perompak yang amat gagah

Umum mengetahui, bahawa bakhil membawa maksud kedekut, kikir dan apa-apa situasi yang boleh memberi makna betapa berkiranya seseorang jika wang ringgitnya, hartanya, masanya, ilmunya , buah fikirannya dan sebagainya yang dimilikinya diminta oleh orang lain.
Jika diminta menyumbang atau menderma sedikit sebanyak hartanya, dia /seseorang mengambil waktu yang lama dan berkali-kali memikirkannya, sama ada hendak memberinya atau tidak.

Persoalan bakhil yang diumpamakan oleh RAH sebagai perompak yang paling gagah harus diberi penelitian. Bagaimana sikap bakhil boleh menjadi perompak yang gagah? Gagah yang bagaimana dimaksudkan oleh RAH? Sejauhmana benarnya sifat mazmumah ini boleh dikategorikan sebagai gagah? Itulah persolan yang boleh dijadikan asas pemikiran kita. Analisa yang mendalam serta penakulan berdasarkan realiti masyarakat haruslah diberi ruang yang segar untuk dibahaskan.

Bagi membuktikan resolusi RAH adalah suatu yang sukar disangkal, saya ingin menawarkan sebuah realiti buat tamsil kita bersama. Sewaktu menganjurkan agar dibentuk sebuah pasukan kompang di kalangan para remaja yang tinggal di sebuah taman di sebuah bandar kecil beberapa musim yang lalu, ramai penduduk dewasa bersetuju untuk mengumpul dana bagi membeli beberapa kompang untuk digunakan dalam kumpulan tersebut. Saya telah menuliskan kertas kerja dan menerangkan akan rasional penubuhan kumpulan tersebut. Saya terangkan betapa perlunya golongan remaja ini "diuruskan" dengan aktiviti tertentu. Semua penduduk yang ditemui menyatakan kebenaran dan perlunya kumpulan tersebut diwujudkan. Persoalannya, di manakah dana tersebut perlu diperolehi. Lantas mereka menunding harapan tersebut kepada para YB, Kontraktor tertentu, Individu tertentu malahan diambil saja wang yang ada pada pihak-pihak tertentu. Masa terus berjalan hingga idea murni menubuhkan kumpulan tersebut hilang dari ingatan penduduk.Mereka hanya nampak wang ringgit orang lain sahaja yang patut diminta untuk membeli alat tersebut. Akhirnya idea menubuhkan kumpulan kompang berkubur begitu sahaja. Peliknya, setiap kali majlis kenduri kahwin diadakan, mereka menjemput kumpulan kompang dari luar taman untuk membuat persembahan dengan membayar sejumlah dana dan diiringi pula berbagai cenderamata.

Keadaan ini terus berjalan hampir tiga tahun hinggalah saya mengambil keputusan untuk membuat langkah drastik dengan mengeluarkan sedikit simpanan dan meminjam alat kompang daripada sebuah sekolah berhampiran taman. Dengan sedikit langkah agresif serta terus menimbulkan rasional di sebalik perlunya badan tersebut dibiayai, akhirnya, apa yang diimpikan telah menjadi kenyataan. Alhamdulillah, wang derma terus diterima untuk melengkapkan bilangan kompang yang ingin dimiliki. Lantas, saya menetapkan bahawa, janganlah kita mengharapakan orang lain akan menderma selagi kita sendiri tidak mahu mengeluarkan sedikit ongkos yang kita miliki. Ternyata kini, benih yang ditanam mula menampakkan pucuk-pucuk muda yang bakal menghijaukan taman yang terus gah di tepi bandar yang semakin berkembang.

Justeru , benarkah bakhil adalah perompak yang paling gagah? Memang benarlah jawapannya. Jika semua mengharapkan orang lain sahaja yang menyumbang, kita yang punya pendapatan yang lumayan tidak harus bersifat kikir terhadap rezeki yang Allah swt berikan. Sedikit harta yang kita sumbangkan boleh membunuh sifat bakhil yang sedia bersarang di hati kita. Kenapa untuk kebaikan bersama kita selalu bersifat kikir? Kenapa perlu memikirkan orang lain sahaja yang patut menderma? Kenapa kita sanggup membayar kepada perkara yang membazir seperti merokok sedangkan untuk melabur dalam usaha membina modal insan , kita terlalu berkira? Kenapa wang atau harta kita menjadi sangat peribadi hingga masyarakat tidak langsung berhak atasnya? Benarkan wang /harta tersebut benar-benarkan akan menjadi milik kita? Atau itukan saja pinjaman dari Yang Maha Kuasa dan ianya harta bersifat sementara?

Ternyata jua , sifat bakhil tersebut telah berjaya merompak sifat insaniah kita. Naluri manusia sentiasa ingin melakukan sesuatu kebajikan tetapi sering terhalang oleh sifat BAKHIL!!!. Sifat itu seperti mendindingi kita agar berwaspada terhadap semboyan yang menuntut sedikit pengorbanan. Benarlah kata RAH, bahawa bakhil dalam semua aspek masa, harta benda, wang ringgit, pangkat dan kuasa, hatta jika boleh ilmu yang dimiliki juga tidak ingin dikongsi dengan orang lain. Dia lebih rela ilmu yang dimilikinya terus kekal dalam dirinya dan tak mampu untuk dikongsi dengan orang ramai. Jiwanya terasa tertekan jika ada orang lain yang lebih mengetahui daripadanya jika ilmu itu dikongsi secara luas!!!! Dia merasakan ijazah yang berjela-jela itu tanda orang berilmu dan berpengetahuan tetapi mata hati jelas menampakkan bahawa beliau hanyalah hamba kepada sifat BAKHIL yang durjana itu!!!!Nauzubillah.....

Read more...

Erti sebuah perubahan

>> Saturday, December 18, 2010

Sering sudah kita diminta untuk berubah dan melakukan perubahan. Perkembangan arus kemerdekaan sejak 1957 lagi telah memperlihatkan berbagai usaha dilakukan untuk menjana budaya baru di negara yang baru mengecap kemerdekaan. Tokoh dan pemimpin negara berulangkali menyarankan agar rakyat berusaha memperbaiki nasib diri, keluarga dan masyarakat.

Semua aspek kehidupan disarankan untuk memajukan diri bagi menyahut idea perubahan. Bidang pendidikan mengalami perubahan dengan berbagai dasar pendidikan yang dilatari oleh berbagai Penyata atau Report. Penyata Razak yang menampakkan sistem pendidikan berdasarkan Malaysia adalah pemangkin utama sistem pendidikan negara ini.

Menyedari hakikat tersebut, pendidkan adalah wahana utama dalam memimpin perubahan. Menjana perubahan mestilah berdasarkan ilmu pengetahuan. Ilmu yang disebarkan seharusnya mampu mengajak ummah untuk berubah. Ummah yang berubah berlandaskan ilmu akan memancarkan sinar baru dalam pembangunan negara.

Justeru itu, dengan mengambilkira pengalaman membina negara, saya merasakan bahawa kita tidak harus meninggalkan kepentingan bidang pendidikan dalam melaksanakan tanggungjawab kita kepada membina modal insan. Percayalah bahawa pendidikanlah sahaja yang menjadi lampu ajaib untuk pembinaan individu, masyarakat dan negara seluruhnya pada sepanjang masa.

Berbanggalah kita sebagai warga pendidik kerana sumbangan besar kita dalam menjana modal insan sejajar dengan keperluan diri, masyarakat, negara dan dunia!!!!







Read more...

Erti secebis Ilmu..

>> Friday, December 17, 2010

Ramai sarjana yang mengkhusus dalam ilmu pendidikan, mentakrifkan bahawa pendidikan adalah proses merangsang ke arah perubahan. Dalam erti kata yang asas, dengan adanya ilmu dan pendidikanlah, manusia melakukan perubahan minda dan tingkah laku. Sebaliknya, sekiranya tiada berlaku perubahan dari segi minda dan tingkahlaku, atau sistem nilai, maka dapat disimpulkan bahawa pendidkan yang dimiliki belum sempurna.

Persoalannya, bagaimanakah sumber ilmu pendidikan diperolehi? Ahli falsafah menyebutkan hal sumber pemerolehan ilmu sebagai epistimologi. Adakah ilmu itu digali daripada firman Allah, hadis Nabi, ilham, atau mimpi? Kepelbagaian ahli falsafah yang menyakini sumber ilmu daripada berbagai sumber menjadikan mereka mampu membentuk mazhab-mazhab tersendiri..

Persoalan berikutnya, apakah erti secebis ilmu? Adakah untuk tujuan berbangga-bangga dan bermegah-megah dengan ijazah yang berjela-jela, menunjuk-nunjuk gelaran Prof, Prof Madya, Dr, Master dan sebagainya. Adakah ijazah pertama (bachelor), ijazah kedua (masters) dan ijazah ketiga (PhD) menjadikan kita semakin lupa diri? Apakah panggilan Prof, Prof Madya, Dr.. dan sebagainya menjadikan kita semakin takbur? Ujub? Bongkak,? Sombong? Hidung Tinggi? tak mahu dengar pandangan orang? Jumud? Elite? High class? Lupa segala sifat mahmudah dan mengambil sifat mazmumah?

Kalau sekadar untuk bermegah-megah sahaja, kita patut rasa malu kerana tanpa ijazah berjela-jela pun Rasulullah berjaya memimpin ummah, berjaya membina asas tamaddun, meninggalkan kita dengan cara hidup yang menjamin kejayaan dunia dan akhirat dan segala aspek yang menjadi asas kehidupan.

Kita juga sepatutnya merasa malu pada diri kita kerana tanpa ijazah dan gelaran Dr. pun, ibubapa kita mampu mendidik kita hingga menjadi seorang insan. Tanpa ijazah dan diploma hatta sijil pun, ibubapa kita mampu meletakkan asas yang kuat untuk kita menjauhi perkara-perkara yang di larang Allah, mendekati perkara-perkara yang disuruh Allah swt dan Rasullullah saw, mengetahui dosa dan pahala, syurga dan neraka, baik dan buruk, tahu berbudi bahasa dan tahu membawa diri.

Adakah ibubapa kita tidak berilmu jika mereka tiada sijil, diploma, ijazah, sarjana dan PhD? Adakah ketiadaan PhD, Masters, Bachelor, Diploma dan Sijil menjadikan mereka tidak mampu mengajar kita erti sebuah kehidupan? Apakah mereka tidak memiliki ilmu psikologi?Tiada miliki ilmu Pedagogi? Tiada ilmu terapi Kaunseling? Tidak memiliki EQ? Tidak memiliki kemahiran KBKK? Tiada kemahiran Insaniah? Tiada LADAP? Tiada program resensi buku? Tiada SKT? Tiada KPI? Tiada NKRA? Mereka mungkin tak punya istilah bombastik tetapi mampu untuk memahami dan meletakkan asas yang kukuh untuk anak-anak mereka kelak menjadi makhluk yang bernama 'orang'!!!!

Ibubapa kita juga tiada LO (Learning Outcome), tiada RPH ( Rancangan Pengajaran Harian), tiada RAH (rancanagn Aktiviti Harian), tiada juga nota pengajaran waktu mengajar anak-anak tetapi tanyalah diri anda hari ini? Adakah ketiadaan perkara-perkara tersebut membantutkan tanggungjawab mereka mendidik kita?

Renungkanlah kembali siapa kita hari ini? Adakah pendidikan yang kita terima hanya untuk mengkayakan diri dengan harta dunia semata-mata? Apakah harta dunia yang kita miliki dengan kepandaian ilmu itu telah menipu diri kita atau tidak? Adakah harta tersebut telah berjaya menjadikan kita bermazhabkan wang ringgit adalah segalanya? Dan lebih parah daripada itu, adakah harta benda tersebut telah berjaya menggolongkan kita ke dalam golongan yang disebut Allah swt sebagai sayangkan dunia, takutkan mati? "hubbuldunia, wakarihatul maut!!!(nauzubillah)!!!!!!

Fikir-fikirkanlah.....adakah kita orang berilmu dalam erti kata yang sebenarnya!!!

Read more...

Almarhum Raja Ali Haji (RAH)

>> Thursday, December 16, 2010

Tika kecil tidak dilatih,
besar nanti menjadi letih..

Itu adalah sebahagian fasal-fasal yang terdapat dalam Gurindam 12 yang dikarang oleh tokoh budayawan dan ilmuan dari Alam Nusantara Melayu Islam, Raja Ali Haji (RAH). Tokoh ini yang berlatar belakangkan keluarga diraja kerajaan Riau suatu ketika dahulu menjadi pemikir agung yang melontarkan berbagai rumusan bagi menjadikan ketamadunan alam Melayu beradasarkan kefahaman yang mendalam segaladari sumber hadis Nabi dan al Quran.

Patah-patah baris yang tertera dalam Gurindam 12 itu, tercerna hasill pemerhatian dan pemikirannya yang mendalam bagaimana menghasilkan masyarakat yang gemilang dan terbilang adalah melalui pendidikan yang tuntas. Pendidkan tidak formal yang menjadikan ibu dan bapa sebagai sumber pendidikan adalah wadah utama untuk membentuk sahsiah dan jatidiri generasi muda.

Ibu bapa dipertanggungjawabkan untuk mengajar adab susila serta menerapkan sistem nilai dalam masyarakat.Anak-anak didrdahkan mana yang baik, mana yang buruk, mana dosa, mana pahala, mana halal, mana yang haram, mana yang disuruh dan mana yang dilarang. Ibu bapa menjadi role model utama kanak-kanak yang sedang membesar keraan itulah orang yang paling rapat dengan mereka. Dalam ertikata yg lain, sekolah mereka sudah bermula sejak mereka lahir ke dunia dan ibu bapalah yang menjadi guru pertama dan utama dalam hidup dan kehidupan mereka.

Justeru, ibu bapa mestilah memahami maksud hadis yang berbunyi : Setiap anak Adam itu ibarat kain putih, ibu bapanyalah yang mencorakkannnya, nak meYahudikannya, atau meNasranikan, atau mengIslamkannya....Tepuk dada tanya iman....janganlah kita tergolong dalam golongan orang yang letih suatu hari nanti seperti yang diberi amaran oleh Almarhum Raja Ali Haji itu..begitulah RAH mengambil hadis Rasulullah dan mentafsirkannya dalam bentuk "hadis" Alam Melayu Islam...fikir-fikirkan lah.....

Read more...

HAMKA : Perjuangan dan Pemikirannya

>> Monday, December 13, 2010

Idola saya sejak mengenal dunia harakah dan tokoh ini menjadi santapan minda saya dalam minggu ini. Buku yang menghimpunkan beberapa kertas kerja mengenai tokoh ini memberi berbagai ilham untuk mereka yang berusaha membawa perubahan dalam ruang lingkup kehidupannya. Seorang pemikir yang hebat sering menjadikan alam sekelilingnya khasnya penduduk atau warga tetangganya sebagai asas membina perjuangan. Dalam konteks HAMKA, alam Melayu Islam Minangkabau di Sumetera Barat adalah medan pertama untuk dia berbakti.

Menelusuri buku ini yang menggabungkan kajian daripada beberapa orang tokoh harakah, maka akan timbul aura untuk menyumbang sesuatu kepada ruang lingkup masyarakat yang suatu masa dahulu membesarkannya.

Bagi pendokong harakah yang menjadikan alam nusantara ini sebagai medan dakwah, tokoh ini mesti diteliti bagi menumbuhkan idea dan menambil iktibar perjuangannya....

Read more...

Taman Inderapura...

>> Sunday, December 12, 2010

Akhir tahun 2007, aku menjadi salah seorang warga taman yang terletak kira-kira 3 minit ke pusat bandar Jerantut. Keahliaku di taman apabila membeli sebuah rumah kembar dengan nombor K 343 di Lorong Inderapura 13, aku tinggal bersama isteri tersayang serta enam anak yang sedang membesar. Rumah kembar 4 bilik dengan 2 bilik air ini menghimpun seribu satu kisah yang sangat mempesonakan.

Kekuatan taman yang penduduknya terdiri daripada berbagai latar belakang terserlah melalui berbagai aspek atau segi kehidupan. Institusi masyarakat yang amat menonjol adalah surau taman ini. Kedudukan surau ini yang berada di kawasan tengah taman seolah-olah menjadi nadi utama pembangunan modal insan kami semua.
Solat lima waktu dapat dihidupkan dengan menghadirkan bilangan jemaah yang sangat memuaskan. malahan boleh dikatakan , surau ini yang hanya dibarisi oleh para Imam dan bilal secara sukarela boleh menghidupkan solat lima waktu tanpa sebarang gaji atau elaun. Aku cukup yakin bahawa kemampuan surau ini menghidupkan solat lima waktu adalah antara kekuatan utama dan boleh dibanggakan jika dibandingkan dengan surau-surau lain yang juga berada di daerah yang menjadi pintu masuk ke Taman Negara ini; disebut juga sebagai "Town of National Park". Aku cukup yakin surau taman ini boleh berbangga dengan ahli kariahnya yang berkunjung untuk mengimarahkan surau ini.

Dengan beberapa penambahbaikan, aku percaya surau ini akan mampu pergi lebih jauh dan mungkin boleh menandingi masjid daerah jika beberapa langkah boleh diambil. Antaranya, pihak AJK perlu menyusun program untuk generasi muda. Susun program untuk melatih generasi muda untuk berlatih menjadi bilal muda, imam muda, siak muda dan sebagainya.

Beri mereka peluang dan ruang untuk membina keyakinan dan jati diri. Pilih anak-anak taman kita yang ada didikan agama sama ada dari SMKA Tahap ke, Basariah K. Tembeling ke, SMKA Pulau Tawar ke, ataupun yg belajar di Tahfiz Sg Salan , Sg Badak, atau Batu Balai. Beri mereka peluang untuk jadi imam. Mulakan dengan solat yang Fatihahnya dibaca secara senyap.

Begitu juga untuk kelas pengajian. Budaya ilmu perlu disebarluaskan. Ramai ustaz ada dalam taman kita. Baik yang dah bergelar pesara( POP) ataupun yang masih bertugas di sekolah berhampiran taman kita. Sumbangkan sikit masa untuk mentelaah kitab bersama para jemaah kita. cari waktu dan masa yang sesuai. Pilih kitab yang sesuai. Jangan kira kitab apa pun asalkan orang faham dah laa....

Banyak yang boleh dilakukan jika kita semua boleh berfikir cara mana kita boleh memajukan taman kita..tanya diri kita apa sumbangan kita untuk masyarakat taman kita, jangan tanya apa sumbangan masyarakat taman kita untuk kita!!!!!! Fikir-fikirkanlahhhhhhhhh

Read more...

Menjana Transformasi Kampungku......3

>> Saturday, December 11, 2010

Menyediakan barisan pelapis untuk jawatan Imam-iman, bilal, siak dan sebagainya adalah fokus utama program tranformasi ini. Pembinaan modal insan untuk mewarisi jawatan-jawatan penting dalam institusi surau dan masjid mesti diberi keutamaan.

Dewasa ini, peranan Imam hanya dimainkan oleh Hj Moktar, Hj Awang dan Hj Khadri. Sedangkan usia mereka sudah meningkat. Kenapa kita tidak menyediakan para Imam muda? Apakah tiada calon yang boleh kita tonjolkan. Apakah tiada anak kg kita yang boleh dipupuk untuk menjadi Imam? Jawapannnya tentu boleh. Sebabnya, ramai anak muda kg kita memiliki sahsiah dan kelayakan yang sangat baik untuk menjadi imam-imam. Apa kata sekali sekala, anak muda kg kita diberikan peluang untuk menjadi Imam di balisah kg kita. Saya yakin mereka pasti teruja bila dipelawa menjadi imam solat.

Bukan jawatan imam saja yang perlukan pelapis. Bilal surau kg kita juga perlukan suara-suara baru untuk memperdengarkan seruan azan. Suatu ketika dahulu kita sangat teruja mendengar azan yang diazankan oleh Awang Pakngah Sarif. Namun suara azan tersebut sudah sepi dari kampung kita. Kenapa jadi begitu?

Sewaktu zaman kecil saya dulu, ada seorang pemimpin politik pernah mencadangkan Awang Pakngah Sarif menjadi bilal di masjid negeri kerana azannya bermutu tinggi. Sebutannya jelas, nafasnya panjang, lagunya indah....pakej suara yang sangat baik..namun kini nama Awang tak dipedulikan orang. Yang tinggal dok menjalankan tugas bilal sukarela ni termasuklah Hj Pak Lah, Mail Hj Ahmad, dan Yi abg Saleh..dimanakah anak-anak kg kita yang pada petang tadi bersekolah arab...takkanlah untuk menyeru seruan azan pun tak boleh!!!!!kalu tak boleh azan, itu tandanya sekolah arab kita gagal mentarbiah generasi muda walaupun hanya untuk melafazkan beberapa baris ayat..(lafaz azan)

Kesimpulannya, persiapan menyediakan modal insan sebagai barisan pelapis tidak boleh dipandang sepi lagi. Suatu program ala program IMAM MUDA TV9 perlu dilakukan untuk tujuan itu. Tak perlu risau untuk meminjam idea TV9 kerana itu juga adalah budaya ilmu yangsering digunapakai .

Read more...

Menjana Transformasi Kampungku......2

Aspek keilmuan akan menjadi fokus utama dalam perancangan jangka panjang. Ia akan dimulai dengan meneruskan aktiviti masa kini yang sedia ada. Pembudayaan budaya ilmu adalah inti utama program tranformasi ini. Ini sejajar dengan motto : Budaya Ilmu Menjana Tranformasi.

Umum mengetahui dengan ilmulah manusia berubah. Dengan ilmulah manusia menjana peradaban dan tamadun. Malahan Allah swt sendiri menyebutkan tentang pentingnya budaya ilmu disebarluaskan di kalangan ummat. Iqra adalah surah pertama diturunkan kepada Rasullulah saw. Baginda diminta oleh Jibrail membaca surah tersebut. Realiti surah Iqra menjadi surah pertama diturunkan , sudah cukup membuktikan betapa ilmu mesti menjadi tonggak pembinaan sesebuah kehidupan.

Bagi merealisasikan budaya ilmu tersebut, saya telah meluaakan syor ini kepada beberapa orang anak kampung kita supaya bersedia untuk membuka kitab/memulakan kuliah di balaisah kita. Siri pengajian tidak boleh dipertanggungjawabkan kepada Haji Awang semata-mata. Apalah erti ilmu yang korang bawa balik dari Mesir, Madinah, Mekah , Jordan, dan malahan dari IPT dalam negeri jika untuk membaca sepatah dua ayat di kampung kita pun tak berani?? Sedangkan korang dah bergelar guru agama dengan pangkat DG 41, 44, 48 dan berbagai DG yang lain tapi takut untuk membaca kitab bagi faedah orang kg sendiri???

Jangan lagi kita menyalahkan orang kampung yang kononnya tak pelawa kita mengajar, tak jemput kita buka kitab, tak itu dan tak ini..sepatutnya itu kan dah kg kita, perlu apa lagi kita nak segan dan malu!!!! Cuma yang biasanya yang dok jadi kita segan dan malu tu kalu kita "kurang berilmu". Ilmu hanya pada sekeping ijazah tapi tak boleh nak berhujah bila berdepan dengan pendengar. Yang peliknya, kenapa kita perlu "takut" dengan orang kg kita? kan demo tu takde ijazah pun, tak de sijil pun, dan tak de diploma, kok adapun sijil 4 Thanawi zaman Tok Guru Hj Ahmad Yong Syubaniahhh...

Pada kalian saya berpesan, mulalah mentelaah kitab-kitab yang sesuai untuk memulakan kuliah. Pilih hari, waktu yang sesuai. Nak sebulan sekali ke, seminggu sekali ke, hattta dua bulan sekali ke, terpulanglah. Kalu tak nak baca kitab, ceramah bulanan pun ok jer. Bacalah kitab sebelum bawa berhujah atau mengajar di kampung. InsyaAllah, Allah sentiasa merestui kalian jika niat untuk memuliakan ilmu menjadi pegangan. Percayalah, orang kampung kita sentiasa berbesar hati jika anak watan ingin berbakti di tanah kelahiran sendiri.. Ayohlah kita berbakti!!!!!!!!!!!

Read more...

Menjana Tranformasi Kampungku....1

>> Monday, December 6, 2010

Alhamdulilah..............


Sekitar jam 6.15 pagi bertempat di balaisah/surau kampung ku di Batu Kurau pada 5 Disember yang lalu, aku berjaya meluiahkan hasrat dan tekad untuk membawa sedikit perubahan berdasarkan pengalaman bertugas di rantau orang. Keazaman yang sudah terpendam sekian lama telah aku curahkan pada awal pagi tersebut dengan didengari oleh kira-kira 20 orang makmum tegar di balaisah kampung kami. Bilangan pendengar juga semakin membesar kerana pada pagi yang hening itu, aku telah menggunakan pembesar suara untuk menerangkan beberapa perancangan bagi menjana tranformasi demi menjadikan kampung kami lebih berdaya saing.

Pemerhatian, perbualan, penganalisaan dan pembacaan secara tersirat dengan digembeleng pula dengan pengalaman mengasah bakat di rantau orang telah meyakinkan aku untuk kembali menabur bakti di kampung sendiri. Program tersebut telah dihuraikan secara satu persatu meliputi aspek agama, ekonomi, politik, sosial, belia, pendidikan , dan cabaran ICT.

Yang menariknya sewaktu menggauli warga kampung yang bertandang untuk memotong daging di rumah abangku, ramai warga bertanya dengan lebih lanjut program-program yang aku sebutkan pada awal pagi tadi. Yang menjadi tumpuan mereka adalah tawaran aku untuk menaja pakej penerbangan dan penginapan 3 hari 2 malam ke destinasi-destinasi dalam negara kepada anak-anak kampungku yang berjaya mencapai 5 A dalam UPSR 2011 nanti.....

Antara kata semangat yang ku terima termasuklah yang berbunyi:...dah lama kami tunggu orang kampung kita yang sudi kembali menabur bakti di kampung sendiri.!!!!

Semoga Allah swt merestui dan memberkati usaha murni ku ini.....

Read more...
Blog Widget by LinkWithin