Permata di persimpangan....

>> Wednesday, November 11, 2015

Lokasi ; Jalan Masjid,
Kampung Kuchai, Ipoh, Perak
Tarikh : 10 Nov 2015...cuti umum Deepavali

Dah lama saya mencari di mana ia berada. Dah lama saya membaca kisahnya. Dah banyak kali saya bertanya di manakah ia berada. Ia sering menjadi 'benda' yang menjadi perkara yang ingin saya ketahui secara saksi mata.

Dah banyak kita tahu tentang beliau. Dalam dunia pendidikan nama beliau sangat sinonim sebagai 'Arkitek Pendidikan Negara". Aminuddin Baki, bukanlah nama yang asing kepada dunia pendidikan. Lahirkan di Chemor dan kemuncak kerjaya beliau adalah sebagai Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia. Antara nasihat beliau dalam menyusun kurikulum pendidikan adalah dengan mewajibkan mata pelajaran Sejarah dalam sistem pendidikan negara.

Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) telah mengambil inisiatif dengan membina Galeri Aminuddin Baki di bekas tapak Sekolah Kebangsaan Kg Kuchai beberapa tahun yang lalu.Usaha GPMS ini adalah untuk memertabatkan sumbangan tokoh ini kepada negara. Apatah lagi Aminuddin Baki adalah anak jati negeri Perak. Beliau juga aktif dalam gabungan tersebut pada usia remajanya.

Namun ironisnya, kunjungan saya ke "galeri" tersebut sangat menyedihkan. Sudahlah tiada sebarang papan tanda di laluan utama dalam bandar Ipoh yang menunjukkan arah ke sana, lokasinya juga agak tersorok!!! Tambah memilukan, ia seakan-akan terbiar walaupun masih kelihatan bangunannya dari jauh. Kawasan 'galeri' pula dikelilingi oleh pohon ketapang berdaun lebar menjadikan suasana lebih suram walaupun beraura dingin. 



Tinjauan juga mendapati, 'galeri' ini dikelilingi oleh bengkel membaiki kereta disamping infrastruktur sekeliling yang kelihatan daif. Melihat suasana ini, begitukah nasib "permata" negara dalam dunia pendidikan dimertabatkan??




Sesuatu perlu dilakukan sejajar dengan sumbangan beliau terhadap negara tercinta ini. Sanggupkah kita melihat "kehilangan" permata ini di tanahairnya yang sudah sedia 'hilang'???

Fikir-fikirkanlah.....

Read more...

Hujan yang turun.....

>> Sunday, November 8, 2015

Antara senikata yang dinyanyikan oleh Allahyarham Sudirman Hj Arshad lewat tahun 1980an dulu. Lagu itu sering kunyanyi secara diam-diam kerana meminati bait-bait yang tersusun rapi. Selebihnya, disebalik lagu syahdu itu terakam berbagai peristiwa kenangan lalu. Kebetulan, kini musim hujan, monson timur laut...

Sewaktu lagu tersebut sedang popular, ketika itu usia sedang remaja. Mula mengenal erti kemesraan dan keperluan. Teringat seorang rakan yang sangat obses dengan lagu tersebut sewaktu duduk di rumah sewa di pinggir pekan Batu Kurau.

Rakan baik yang kini sudah bertuas dengan persatuan bola sepak itu sedang dilamun cinta remaja dengan gadis yang setahun lebih muda daripadanya. Si gadis tersebut sering menunggang basikal ke sekolah menengah yang terletak hampir 1.5km daripada rumahnya. Yang bestnya...gadis tersebut akan melalui di hadapan rumah sewa kami. Semua akan berkumpul di tangga hadapan rumah sewa menunggunya akan melintas sekejap lagi. Dah tentulah, rakan kami yang sorang itu akan resah kerana hajatnyanya biarlah dia seorang saja yang dapat mengusik pujaan hatinya!!!. Huhhh...hangpa ni kacau daun betui laaaa....gitulah dia meluahkan perasaannya. Kami pun gelak beramai-ramai.

Namun musim hujan ni juga akan meresahkan orang kampungku juga. pokok getah basah, Tak dapatlah menoreh. Belanja dapur akan slow sikit tak macam kalau musim durian!!! Walaupun hujan brek-brek, sepanjang ingatan ku tiada yang mati kerana tak makan. Masih banyak yang boleh dicari untuk dijadikan lauk pauk. 

Sering kali, setiap kali musim hujan, air sungai akan jadi lebih dalam. Air sungai yang turun dari bukit bukau disekitar kampung akan mengalir ke hilir. Selalunya, Kampung Pondok Tanjung akan jadi tumpuan penduduk kampung ku dan kampung sekitar menangkap ikan sungai. Ikan pucuk pisang, lampan, terbul, seluang, tengas, haruan dan berbagai jenis ikan sungai yang lain akan menjadi habuan mereka. Setiap orang akan membawa pukat, jala, jaring dan berbagai jenis alat tangkapan untuk menangkap ikan. 





Seingat saya, arwah bapa akan membawa pukat dan sebuah bakul empat segi yang dibuat dengan bilah-bilah buluh yang dijalin kemas. Bapa akan pulang sekitar waktu Isya' bersama kawan-kawannya. Mereka hanya berbasikal ke sana selepas selesai solat subuh. Jaraknya sekitar 15km jugaklah.!! Arwah emak akan menanak nasi lebih awal berlauk ikan kering ala kadar dan sebotol air kopi O cap lesung. Kami anak beranak akan membantu emak menyiang ikan-ikan tersebut untuk dibuat pekasam. Dapatlah tiga empat balang ikan pekasam yang akan dijeruk selama lebih sebulan. Orang kampungku memanggilnya ikan budu!!!! pekasam tu bahasa buku laaa...


Read more...

Gena jadi lagu tu...

>> Saturday, November 7, 2015

Tarikh : 5hb November 2015
Lokasi: Masjid Kg Paloh, Ipoh
Jam : Sekitar jam 3 petang; sebelum Asar
Topik : campur-campur


Selepas mengambil beberapa keping gambar di sekitar masjid dan kuburan yang terdapat berdekatan dengan masjid bersejarah itu, saya memlih kawasan tepi kanan masjid tersebut untuk melelapkan mata barang sekejap. Selepas terlelap dengan tidur-tidur ayam, tetiba saya tersedar bila terdengar orang bercakap dengan kuat mengajaknya rakannnya bangun untuk makan kueh. Apam balik dengan sirap rupanya. Saya turut dijemput kerana telah terbangun akibat ajakan yang kuat tadi. Bak kata P. Ramli...rezeki jangan ditolak!!!!

Sebentar kemudian, datang lagi dua orang rakan turut serta menghadapi jamuan kecil. Salah seorangnya duduk berhadapan dengan saya dan mula bertanya khabar. Kami bertukar-tukar cerita hinggalah dia bertanya saya ni berasal dari mana. Bila dia mengetahui bahawa saya ni orang Batu Kurau, dia pun mengatakan bahawa dia pun berasal dari Batu Kurau jugak; Jelai katanya, depan masjid lama Jelai.


Bila mengetahui saya ni orang Batu Kurau, dia mula menukar 'slang Patani" Tukughonya...mung aku dan gena gitu...Banyaklah yang dibualnya dan saya banyak mengiyakan saja sebab menghormati umurnya lebih tua. Cuma bila menyentuh politik, dia mengungkit tentang "kehilangan"tapak rumah asal  Dato Seri Hj Kamaruddin Mat Isa di Kampung Batu 16, berdekatan dengan kilang rotan. Dia meluahkan rasa kesalnya dan bertanya adakah orang Tukugho tidak menyayangi DS Hj Kamaruddin Hj Mat Isa yang pernah menjawat jawatan Menteri Besar Perak (1970-1974) suatu ketika dahulu. Saya membiarkan dia membebel kenapa dan mengapa 'orang' Tukugho tidak berbuat sesuatu sambil menyebut nama tokoh-tokoh politik tertentu!!!!



Tak tahulah apa motif dia bersungut begitu, cuma mungkin boleh disyorkan kepada mereka yang berkenaan. Gena jadi gitu weh!!!

Read more...

Meninjau lokasi : Kampung Kepayang Fair Park

>> Friday, November 6, 2015

Bila menyebut kepayang, teringat lagu yang sering dinyanyikan orang,

Sayang-sayang buah kepayang,
ditelan pahit dibuang sayang.

Justeru kepayang sering  dikaitkan dengan suasana serba salah , kesukaran membuat keputusan, pertentangan yang hampir sama banyak dan seerti dengannnya. Namun begitu, itu hanya pertimbangan biasa buat mereka yang punya pilihan yang banyak. Mungkin mereka punya kebolehan yang 'superb' untuk membuat keputusan yang lebih jitu.

Begitukah agaknya bila Kampung Kepayang hendak dibuka ratusan tahun yang lalu? Apakah para peneroka awal kampung tradisi yang mengambil fikiran yang lama untuk membuat kampung di situ?Apakah pertimbangan mereka memilih tanah pamah di kiri kanan tebing Sungai Kinta itu adalah satu keputusan yang tepat? Benarkah bijih timah juga menjadi pendorong kehadiarn para penghijrah dari Sumatera ini?  

Lebih mengujakan bagaimanakah kampung yang berada dalam persekitaran bandaraya Ipoh ini masih mampu bertahan dengan ciri-ciri tradisinya. Walaupun bersebelahan dengan kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan, keaslian kampung ini masih terpelihara. Masih tersergam rumah-rumah kayu yang dibina puluhan tahun lalu walaupun sudah wujud rumah-rumah moden. Masih kedapatan pohon-pohon kayu seperti durian, rambutan, manggis dan sebagainya melatari lanskap kampung ini.

Namun persoalannya, apakah nasib masa depan kampung tersebut pada masa depan??
Masjid Al Khairiah, Kg Kepayang



Read more...

Mohon beri maklumat tuan....

>> Wednesday, November 4, 2015

Alhamdulillah dan syukur.,ucap hati kecilku disulami rasa riang dihatiku saat menatap email itu.

Itulah email yang ku terima sewaktu membuka kotak inbox dalam yahoo.mail pagi tadi. Teruja dan sungguh meransang motivasiku. Sudah lama tidak menulis dan menghantar artikel kepada mana-mana penerbitan atau suratkhabar.

Namun sejak pulang dari UPSI tempohari, semangat untuk menulis kembali berkobar-kobar. Sejarah sosial dan ekonomi sering menjadi topik penulisanku. Ini juga didorong oleh kejayaan kecilku sewaktu sesi pembentangan penyelidikan anjuran IPG yang lalu.

Sejak dari itu, satu persatu, hasil kerja serta ilham menulis ku datang bertali arus. Sesungguhnya pertemuan secara tidak dirancang dengan editor sebuah agensi pengembangan penulisan sangat bermakna bagi seseorang penulis. Apatah lagi penulis kecil sepertiku ini. Menulis secara picisan dengan perspektif tersendiri. Nnamun syukurlah ada juga kalangan yang meminati tulisan ku yang tak seberapa ini.

Saat membuka emailku pagi tadi sang editor penerbitan tersebut memohon untuk aku menyertakan maklumat diriku yang lebih terperinci tentang biodata diri termasuk nombor akun bank dan nama banknya sekali!!!!

Bagi seorang penulis, wang ringgit bukanlah segalanya walaupun ia memberi sedikit kelegaan. Namun yang lebih bermakna bagi seorang penulis adalah bila karyanya diterbitkan di media cetak dan dibaca oleh ribuan pembaca seluruh negara. Terasa sedikit kebanggaan bila tulisannya tersiar dan terpapar dalam pelbagai media massa. 

Ya Allah Ya Tuhanku...kekalkan semangatku ini dalam penulisanku yang berikutnya.......

Read more...

Syuhada di pagi raya

>> Wednesday, October 28, 2015

Catatan sedih ini saya nukilkan selepas hampir sebulan peristiwa itu terjadi. Salam perkenalan yang kami tautkan di awal pagi hari raya korban di bumi Kemboja yang lalu hanya bertahan sekitar 40 jam sahaja. Ikutilah kisah tragis ini...

Sewaktu sambutan hari raya haji yang lalu sebagaimana biasa, saya akan berkunjung ke bumi Kemboja . Di sanalah sejak dua tiga  tahun yang lalu saya menyambut hari raya tersebut. Selain bersilaturahim dengan masyarakat Islam Kemboja yang agak daif, kesempatan begitu juga membolehkan saya berkenalan dengan warga Malaysia yang lain yang juga membawa niat dan maksud yang sama seperti saya.

Kali ini, saya sempat berkenalan dengan seorang ustaz muda. Pada mulanya , saya melihat kelibatnya sewaktu melihatnya memandu Hummer berwarna kuning di dalam perkarangan Masjid Negara Kemboja di Phnom Pehn. Namun, saya tidak berkesempatan mengenainya lebih dekat kerana masing-masing sedang kepenatan selepas datang dari jauh.

Allah swt menemukannya pada waktu selepas subuh di pagi raya. Kami berjalan beriringan balik ke guest house selepas solat subuh berakhir. Dari situlah detik perkenalan kami bermula. Barulah saya tahu bahawa dia mengetuai konvoi lima buah kereta dari Shah Alam menuju ke Kemboja dengan melalui Thailand. Perggghhhh...Subhanallah...inilah peluang baru  yang ingin saya cari. Dalam hati kecil saya sudah menaruh rancangan untuk menyertai konvoinya pada tahun hadapan. Bukan apa, terasa ingin mencari pengalaman baru. Lantas, sebelum berpisah ke bilik guest house masing-masing, saya sempat mengambil nombor telefonnya untuk tujuan perhubungan masa depan.  

Akhirnya, selepas solat raya dan makan di Restoran Tasnem yang berdekatan, pasukan kami menuju ke arah yang yang berbeza untuk melaksanakan ibadah korban. Grup saya bersama NGO HALUAN menuju ke Kg Chnnang dan kumpulannya menuju ke perkampungan isterinya. Isterinya orang Kemboja rupanya.

Rupanya, itulah pertemuan terakhir buat saya. Keesokan harinya, sewaktu bersarapan di restoran yang sama, ahli rombongannyamemaklumkan bahawa Ustaz telah terlibat dengan kemalangan dan membawa maut!!!!. Allahuakhbar...terkedu saya mendengar berita sedih itu. Lantas berita tersebut saya kahabarkan kepada anggota NGO saya yang turut merasai kehilangan ustaz muda tersebut. Semoga Allah swt menganugaerahkan "SYUHADA" buat ustaz tersebut. AL FATHIHAH...




Read more...

Lahirlah seorang jurutera

>> Monday, October 26, 2015









Tarikh 25 Oktober 2015, di bumi Seri Iskandar yang terletaknya Kampus Universiti Teknologi Petronas, lahirlah seorang lagi jurutera petrolium bergelar Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian. Itulah anak sulung kami yang bergraduat pada majlis konvokesyen di UTP semalam.

Terkabullah sudah sebuah niat abah dan mama melihat anaknya bergelar seorang yang berijazah selepas mengorbankan seluruh penat lelahmu selama hampir lima tahun di kampus nan indah itu. Abah dan mama juga berbangga, Along akan jadi ikutan dan idola adik-adik yang lain dalam mengejar cita-cita dan impian. Bukan itu saja, rupanya, Along juga akan diperhatikan oleh cucu atok yang lain . Mereka menjadikan Along sebagai 'benchmark"kerana  Along kan cucu sulung atok!!!

Abah tidak berkecil hati kerana Along tidak berada dalam First Class Homour tapi sudah cukup berbangga bila nama Along tersenarai dalam Second Class Upper dalam buku konvo tersebut. Rupanya , Along adalah batch yang ke 15 keluaran UTP.

Harapan abah dan mama, ijazah yang Along perolehi tidak sekadar pada kelululasn tapi harus terpancar pada budi pekerti dan terus menjadi anak yang solleh

Tahniah dan semoga Along terus berjaya dunia akhirat!!!!


Read more...

Like dan comments....

>> Friday, October 23, 2015

dah berapa yang like?
dah berapa komen masuk? 
dah berapa ramai seen??

ha ha ha , gitulah gamaknya yang bermain di fikiran setiap kali sesuatu post dihantar ke laman muka buku@ facebook. Waima bila tukar gambar profail pun, itulah juga yang mendesak-desak jiwa pemilik muka buku membukanya selepas beberapa ketika. Jika ramai yang 'like' dan ditambah pula dengan komen yang bernada positif...huhhhh Subhanallah...seronok bagai nak rak gayanya. jalannya pun sambil tersenyum-senyum sorang diri..al maklumlahhh..ramai peminatlah katakan...

Itulah lumrah kehidupan. Semua orang mahu dirinya dipuji dan jangan sekali-kali dikeji. Eloklah begitu.,untuk apa kita mengeji mereka dikhalayak ramai. Jika betul ikhlas, kita boleh 'pm' kepada pemilik post tersebut. Bagitau elok-elok apa yang tak kena dengan post hang tu!!!

Elok juga diucapkan terima kasih jika post yang kita terima membawa makna dan kebaikan kepada kehidupan kita. Maklumlah, dalam dunia tanpa sempadan atau global village, semua yang terjadi di serata dunia boleh dicapai dalam sekelip mata. Tak perlu terbang jauh untuk mengetahui perkembangan dunia, cukup hanya sekadar sebuah gajet pintar yang berharga Rm 500 ke atas!!!

Cuma kecanggihan dunia komunikasi kini perlu diawasi dengan benteng ilmu dan iman. Itulah benteng yang boleh menahan seribu satu macam info yang tersebar tanpa kawalan. Jika mengharapkan pemerintah sahaja menapis itu dan ini, rasanya hancurlah citra negara. Kerana itu, iman dengan ganjaran dosa dan pahala sahajalah yang menjadi 'filter' kepada segala macam halimunan ini..

Fikir-fikirkanlahhhhhh..

Read more...

REUNION SDK SPM 80

Meriah !!!!
Terbaik!!!
Awesome!!!
Nanti buat lagi bro....!!!!

Gitulah lebih kurang luahan perasaan kawan-kawan bekas  pelajar Sekolah Menengah Dato Kamaruddin (SDK) yang pernah mengambil peperiksaan SPM tahun 1980. Sudah hampir 30 tahun berlalu selepas masing-masing membawa haluan. 30 tahun, satu jangka masa yang telah mengukir seribu satu peristiwa dengan berbagai nada, sedih, gembira, suka, duka, pahit, kelat,payau,jerih, perit. Masing-masing berkongsi cerita sambil disulami gelak tawa sepanjang berkampung di Sempeneh River Front sempena cuti Hari Kebangsaan yang lalu.

Namun untuk menyusun rancangan agar menjadi kenyataan bukan satu perkara yang mudah walaupun tidak mustahil. Kerjasama serta perhatian semua bekas pelajar sangatlah perlu diberi perhatian utama. Ternyata, program yang disusun dengan melalui dua perubahan tarikh dan tempat akhirnya berjaya menghimpun seramai lebih 60 orang peserta bersama ahli keluarga masing-masing.

Dengan diberi mandat sebagai koordinator, beberapa kali mesyuarat AJK telah dijalankan bagi menyusun, menyelaras dan membuat pembahagian kerja. Walaupun ini merupakan reunion yang ketiga, tapi inilah kali pertama ia diadakan di kampung tanah kelahiran para peserta. 

Sumbangan seekor lembu bagi menjadi menu utama pertemuan kami telah dimanfaatkan sebaik mungkin dengan berbagai cara masakan kampung yang cukup ummmmppphhhh!!!! Chef Ramli Dombak dan krewnya telah dapat memenuhi citarasa para peserta dengan sup gearboxnya hingga menjilat jari.

Memori terindah terakam lagi bila kehadiran beberapa orang bekas guru yang pernah mengajar kami sungguh mengujakan. Mereka tidak menyangka akan dijemput untuk bersua muka kembali dengan sebahagian bekas murid yang kini sudah bergelar dengan pelbagai pangkat dan kedudukan...bak kata orang, budimu cikgu, tetap kami kenang !!!!.

Hingga tulisan ini dinukilkan, dunia whatsapp grup SDK masih riuh dengan peristiwa RU di Sempeneh walupun sudah tiga bulan berlalu..!!!!

Terima kasih kepada kawan-kawan yang menyumbang dan yang hadir sehingga terciptanya peristiwa bersejarah itu...sayang muma ketat-ketat (ikut stail Najik Ahmad)

dulu remaja sekarang....hang fikir laa sendiri!!!

antara bekas guru yang hadir

sesi bertukar hadiah

sebahagian daripada rakan-rakan yang sempat bergambar...

Read more...

Proposal : Harapanku Menggunung

Jam 12.00 tengahari tadi terhantarlah sudah proposal ku bersama dua rakan yang lain untuk mendapatkan geran penyelidikan yang pertama kali dianjurkan oleh pihak IPGM Induk. Jika di universiti, geran penyelidikan adalah penggalak utama kepada usaha para ahli akademik untuk menghasilkan penyelidikan dan inovasi.

Niat untuk menjalankan penyelidikan adalah hasil motivasi yang terbina daripada seminar penyelidikan yang dianjurkan oleh IPG Kampus Ipoh sebulan yang lalu. Masih segar dalam ingatanku, kehadiran dua orang cicit Tok Lembang, Timbalan Pengarah IPGK Ipoh serta beberapa pensyarah yang bergelar PhD selain peserta-peserta seminar yang lain amat memberi makna yang besar dalam jiwaku. Mulanya gementar juga kerana itulah kali pertama saya membentangkan hasil kajian awal mengenai Tok Lembang yang menjadi pengasas kepada pekan Tambun. Selesai pembentangan tersebut, ramai yang hadir memberi respon yang sangat positif kepada corak pembentanganku. Mungkin agaknya, paper sayalah satu-satunya berunsur sejarah berbanding dengan kertas-kertas pembentangan yang lain.

Syukur pada Ilahi kerana pada minggu lepas, seorang rakan pensyarah  yang kabarnya bertanggungjawab memilih proposal-proposal yang dikemukakan kepada JK Pemilihan peringkat IPGK Ipoh memberi ucapan tahniah kerana kertas proposal saya telah terpilih. Kabarnya juga terdapat 12 proposal dikemukakan oleh kalangan pensyarah-pensyarah yang bertugas di IPGK Ipoh. Syukur sangat, daripada sejumlah itu, sebanyak lima proposal telah dipilih dan kertas saya telah termasuk dalam bilangan yang lima itu. Namun begitu, saya dan team diminta memperkemaskan lagi kertas tersebut dengan menambah bilangan anggota penyelidik serta beberapa aspek yang lain.

Semoga kertas proposal tersebut yang menjanjikan geran penyelidikan berjumlah jutaan rupiah dalam kiraan matawang Indonesia akan memberi peluang kepada pasukan saya menyumbang sesuatu kepada dunia akademik khasnya dalam vakum sejarah sosial negara.

Ya Allah, Ya Tuhanku, kabulkan hajat dan niat kami..... Aamiiin.

Read more...

Pembetulan Ejaan dan Info Patani: Patani bukan Pattani

Sudah sekian lama saya mengeja Patani dengan Pattani dengan ejaan dua 't''.  Terasa ghalatnya hati kerana ejaan Patani yang mempunyai dua 't' adalah berunsur Siam@ Thailand. Sedangkan hakikatnya, perkataan Patani berasal daripada loghat Melayu Patani yang berbunyi "Pantai ini" yang disebut dengan lidah Patani sebagai "Pata ni". Dari itu terbentuklah "PATANI". 

Kisah bagaimana terhasilnya nama negeri tersebut diriwayatkan dalam buku Sejarah Melayu atau disebut juga Sulalatul Salatin. Ia mengisahkan raja Phaya Tu Kerup Mahayana berburu seekor kijang putih dan hilang di pantai Kerisek yang kemudiannya di Kampung Kerisek itu dibina sebuah istana. Jika kita berkunjung ke bumi Patani, Kampung Kerisek ini ditandai dengan Masjid Krue Sek. Masjid tersebut menyimpan seribu peristiwa sepanjang sejarah kewujudannya.  

Selain itu, Syeikh Daud bin Abdullah Al Fathoni memberikan aura yang lebih segar dalam menamakan negeri Patani. Beliau mengejakan  'FATHONI' yang membawa maksud cerdik ,,biaksana dan dipercayai. Selain membawa  begitu,, ia juga membawa konotasi salah satu sifat para rasul..Siddiq, Amanah,, Tabligh dan Fathonah.

Wilayah Patani yang sekarang berada dibawah pentadbiran Siam mencakupi 12 daerah/amphor. Daerah-daerah tersebut ialah Muang Patani, Kok por, Nongchik, Penarek, Mayor, Kuwing Merah, Teluban (Saiburi), Maiken, ambu (Yaring) Benjar Lima ( Yarang) Maelan dan Kelubi. Keseluruhannya Wilayah Patani ini mempunyai 115 mukim/tambon dan 642 kampung/muban.

Syukur juga akhirnya.... 

Read more...

Al Fathoni...Kembara menjejaki leluhur

>> Thursday, October 22, 2015

Sejak mengenali dunia kembara beberapa tahun yang lalu, naluri untuk menjejaki tanah leluhur sering menjadi cita-citaku. Walaupun sudah ratusan tahun dan beberapa generasi telah berlalu, jauh di sudut hatiku niat untuk menjejaki kaki ke sana tak pernah dilupakan. Selain membaca artikel-artikel yang menceritakan khabar berita berkaiatan Patani dan kawasan sekitar, orang-orang yang berasal dari Wilayah Selatan Thai adalah menjadi sumber maklumatku.

Sewaktu meniti zaman kanak-kanak, ada seorang lelaki tua yang sering datang ke kampungku. Beliau berasal dari Selatan Thai dan kami memanggilnya Tok Chennak kerana dia berasal dari daerah Chennak @ Chan na. Kedatangannya seringkali menarik perhatianku kerana tujuan kehadirannya adalah untuk membeli anak-anak beruk yang ditangkap oleh orang-orang kampung di bukit bukau di belakang kampung. Tok Chennak akan tinggal beberapa hari di rumah Paksu Brahim dan Maksu Bedah. Disitulah dia makan minum bersama keluarga tersebut. 

Sementalahan pula, jarak ruamh paksu Brahim hanya di belakang belesah  kampung kami. Halaman rumah paksu Brahim yang berpasir dan luas sering menjadi tempat kami bermain guli atau lastik gelang getah. Sambil bermain, dapatlah kami memerhati Tok Chenak yang selalu berkain pelikat dan membalut kepala dengan kain semutar. Saya tak pernah bercakap-cakap dengan Tok Chenak selain sekadar memerhatinya sahaja. Maklumlah, budak-budak tak boleh campur hal orang tua!!! Biasanya selepas beberapa hari, Tok Chenak akan balik ke kampungnya di Selatan Thai dengan membawa beberapa ekor beruk yang dibawa dalam bekas macam bubu yang diperbuat daripada besi berjaring. Mungkin pada tahun-tahun tersebut perdagangan haiwan tersebut tidak menjadi kesalahan seperti hari ini. Saya pun tidak mengetahui baerapakah arga bagi seekor beruk yang dijual kepada Tok Chenak. 

Akhirnya, saya percaya bahawa Tok Chenak dah meninggal dunia kerana saya kini pun sudah berusia lebih setengah abad. Sedangkan, saya mengenali tokoh tersebut sewaktu saya berusia kanak-kanak sekolah rendah pada tahun 1970an!!! . Apa pun, saya merasa sedikit 'bangga' kerana  sudah sampai dan dapat menjejak kaki ke Chennak sebagai membalas kunjungan Tok Chenak ke kampungku puluhan tahun yang lalu!!!!.

Read more...

Sepetang di UPSI Tanjung Malim

>> Wednesday, October 21, 2015

Tanjung Malim sudah sinonim dengan Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) atau lebih dikenali juga dengan SITC; Sultan Idris Training College. Ya..begitulah kehebatan nama pekan Tanjung Malim tercipta. Kedudukannya yang paling ke selatan negeri Perak Darul Ridzuan ini merupakan bandar ilmu yang menghimpun cerdik pandai Melayu suatu ketika dahulu. Di sanalah lahirnya para pendidik tersohor dan yang berjiwa nasionalis. Namun begitu, era tersebut sudah berlalu sekian lama dan memori tersebut telah banyak kali diulas oleh khalayak penulis yang terdahulu.

Pada petang 21 Oktober 2015 ini dalam suasana jerebu  yang berada pada indeks IPU 120, saya sempat menghadiri Seminar Pengkisahan Pembukaan Bandar Raya Ipoh oleh lima orang pengkaji, Mereka termasuklah En Mohd Zamberi Abdul Malik, Dr Hj Zabidin Hj Ismail, Dr Mohd Nazri Zainudin, Cikgu Ibrahim Said @Alang Alias dan Sdra Norhisyam Zulkifli.

Namun begitu, perkara yang ingin saya tonjolkan lewat post kali ini adalah kesempatan menemui tokoh-tokoh penulis yang mewarnai dunia pengkaryaan negeri Perak. Sudah sekian lama , saya ingin menyertai Karyawan yang merupakan badan yang menghimpun para penulis negeri Perak. Sejak sekian lama. saya tercari-cari siapakah peneraju Karyawan Perak. Di manakah pejabatnya? Bagaimanakah syarat hendak menjadi ahli? dan berapakah yuran keahliannnya? Justeru, pertemuan dengan orang kuat badan ini lewat peristiwa seminar ini sangat bermakna bagi saya. Terasa sedikit lega kerana sudah ditemui tempat untuk mengasah bakat penulisan dengan lebih tuntas.


Terlebih untung juga pada petang ini adalah pertemuan secara fizikal dengan Prof Madya Abd Talib Samat, Nama tersebut sudah lama saya kenali lewat beberapa hasil karya beliau. Saya mengenali beliau dengan novelnya yang saya dah lupa tajuknya tapi bertemakan kehidupan masyarakat penoroka Felda. Kini saya sudah memiliki sebuah dua buku hasil karya beliau disamping mengkagumi semangat dan disiplinnya menulis!!!! 

Alhamdulillah...petang yang sangat bermakna.....

Read more...

Jejak waris 2 : Chennak

>> Wednesday, March 4, 2015

Tarikh 19 Febuari 2015, perjalanan kami ke Chennak bermula dari Arau, Perlis. Kedatangan kami sekeluarga ke Perlis adalah pada hari Rabu dan menginap di homestay terlebih dahulu. Selain menginap di Arau terlebih dahulu, sempat juga kami bertemu rakan semaktab dahulu, Sdra Saad Darus yang menetap di Kuala Perlis. Dialah akan menjadi rakan pemanduan kami ke Chennak kerana dia dah biasa dengan kawasan Selatan Thai dan jjuga boleh speaking Siam...he he he

Kami memilih pintu masuk ke Thai melalui Imegresen Padang Besar @ Sadoa. Uhhhh...ramainya orang nak ke sseberang wehhh...beratur panjang dan bersesak-sesak di kaunter imegresen Siam. Walaupun ramai, dengan cuaca yang redup, berangin dan di bawah bumbung yang besar dan lapang, tidaklah terasa sangat kepenatannya. Diam tak diam, dua jam juga kami berurusan di pintu imegresen.

Perut dah mula lapar bila urusan di pintu sempadan selesai. Saya mengajak Saad agar memandu sambil mencari kedai makan kerana anak-anak pun dah mula menyebut mee celup dan sebagainya. Jujurnya, kami sekeluarga memang menggemari masakan ala Siam atau Selatan Thai. Akhirnya, kami singgah menjamu selera di sebuah gerai di tepi jalan. Apa lagi, semua sibuk memesan makanan mengikut selera masing-masing.  Meleleh hingus cair bila terasa kepedasan dalam menikmati sup sekitar jam 2 petang. Yang lucunya, bila nak bayar, tokey kedai tak mahu terrima duit Malaysia!!!!
Terpaksalah Saad speaking Siam, buat kira darab bahagi untuk jelaskan kadar tukaran wang Malaysia dengan Thai Bath. Akhirnya, selepas krung krang krung krang, RM50.00 dihulurkan...diterimalah juga wang kita. Memang dari awal pun tak berniat nak tukar wang sewaktu masuk tadi sebab Saad kata tak payah. Lagipun bukan nak pergi ke Hatyai atau Songkla pun . Sekadar Chennak jer!!!! Lain kali, sikit banyak kena tukar juga, maklumlah...masuk negara orang.

Sebelum tiba di Chennak, kami singgah di sebuah pekan kecil; Klonggei. Persinggahan kami di situ kerana mengunjungi rumah Qadafi; anak kepada Hj Mohd Noor. Dia seorang peniaga pakaian dan berniaga di pekan atau "nat". Dia menjual pakaian, perhiasan dan barang permainan. Dialah yang akan mengiringi kami ke Kg Tok Perak;kampung di mana ayahnya Hj Mohd Noor tinggal.

Jam 4 petang, sampailah kami ke Kg Tok Perak. Suasana kampung yang tenang dan angin bertiup sepoi-sepoi bahasa. Hj Mohd Noor@ Pak Ngah tersenyum riang menyambut kehadiran kami sambil berpeluk-pelukan. Rupanya, dia peniaga kedai kopi di kampung ini. Kedudukan kedainya di tepi laluan utama kampung berdekatan pula dengan jambatan dan masjid menjadikannya kedainya pusat perkumpulan orang-orang kampung bersantai beramai-ramai. Gerainya sangat simpel dan dia memanggilnya bangsal jer. Air panas dimasak dengan dapur kayu dan minuman dijual dengan harga 80 sen secawan tapi boleh tambah air panas!!!! Sempat juga saya bersalam-salaman dengan mereka dan bertanya kabar dalam lenggok loghat Pattani!!!!

Walaupun singkat, sempat juga saya mengenali Pekan Chennak sepintas lalu. Namun butirannya, saya tidak dapat kabarkan lagi kerana perlu lebih menerokanya lagi pada masa depan.

Read more...

Jejak Waris: Chennak @ Chan na, Selatan Thai 1

"Gi mana be"
"Singgora"
"Kita nak gi Songkla"
"Seghupa la tu"
"Ooooo...gitu"

Itulah antara butir-butir percakapan antara saya dengan Hj Mohd Nor yang akhirnya membawa saya ke bumi Chennak pada cuti tahun baru Cina yang lalu. Pertemuan secara tidak sengaja itu berlaku pada hari Jumaat 9 Januari 2015 sewaktu singgah solat Jumaat di sebuah masjid dalam perjalanan ke Songkla awal tahun ini. 

"Amba rasa segha@mesra sekali bila jumpa demo" gitulah ngomel Hj Mohd Nor atau lebih mesra di panggil Pak Ngah. Dari situ jugak saya baru tergelak dengan kekurangan ilmu bahawa Singgora yang dipelajari dalam Sejarah itulah Songkla pada masa ini. Itulah yang jadi bahan ketawa antara saya dengan Pakngah. Ketawa kami tak habis-habis bila sorang sebut Singgora dan sorang sebut Songkla.

                         

Kunjungan saya sekeluarga ke Chennak atau lebih tepat ke Kg Tok Perak yang letaknya kira-kira dua jam dari pintu sempadan Padang Besar@ Sadoa menimbulkan rasa terkejut kepada Pakngah. Dia tak menyangka bahawa perkenalan singkat kami di masjid tempohari akan berlanjutan ke rumahnya. Alangkah seronoknya saya bila dapat sampai ke kampung halamannya yang terletak di tepi sungai dan ditengah laluan kampung. Rupa-rupanya, Pakngah ni punya pengaruh yang agak besar di kampungnya. Kalau pun bukan Penghulu atau Ketua kampung, tapi PROnya sangat meluas. Sepanjang berada di kampungnya, semua orang yang lalu lalang akan ditegur atau menegurnya dan diikuti dengan aksi kelakar. Hati kecil saya bersyukur, Allah swt temukan insan sepertinya dalam kembara menjejaki waris di bumi Pattani yang penuh nostalgia.

Read more...
Blog Widget by LinkWithin