Hujan yang turun.....

>> Sunday, November 8, 2015

Antara senikata yang dinyanyikan oleh Allahyarham Sudirman Hj Arshad lewat tahun 1980an dulu. Lagu itu sering kunyanyi secara diam-diam kerana meminati bait-bait yang tersusun rapi. Selebihnya, disebalik lagu syahdu itu terakam berbagai peristiwa kenangan lalu. Kebetulan, kini musim hujan, monson timur laut...

Sewaktu lagu tersebut sedang popular, ketika itu usia sedang remaja. Mula mengenal erti kemesraan dan keperluan. Teringat seorang rakan yang sangat obses dengan lagu tersebut sewaktu duduk di rumah sewa di pinggir pekan Batu Kurau.

Rakan baik yang kini sudah bertuas dengan persatuan bola sepak itu sedang dilamun cinta remaja dengan gadis yang setahun lebih muda daripadanya. Si gadis tersebut sering menunggang basikal ke sekolah menengah yang terletak hampir 1.5km daripada rumahnya. Yang bestnya...gadis tersebut akan melalui di hadapan rumah sewa kami. Semua akan berkumpul di tangga hadapan rumah sewa menunggunya akan melintas sekejap lagi. Dah tentulah, rakan kami yang sorang itu akan resah kerana hajatnyanya biarlah dia seorang saja yang dapat mengusik pujaan hatinya!!!. Huhhh...hangpa ni kacau daun betui laaaa....gitulah dia meluahkan perasaannya. Kami pun gelak beramai-ramai.

Namun musim hujan ni juga akan meresahkan orang kampungku juga. pokok getah basah, Tak dapatlah menoreh. Belanja dapur akan slow sikit tak macam kalau musim durian!!! Walaupun hujan brek-brek, sepanjang ingatan ku tiada yang mati kerana tak makan. Masih banyak yang boleh dicari untuk dijadikan lauk pauk. 

Sering kali, setiap kali musim hujan, air sungai akan jadi lebih dalam. Air sungai yang turun dari bukit bukau disekitar kampung akan mengalir ke hilir. Selalunya, Kampung Pondok Tanjung akan jadi tumpuan penduduk kampung ku dan kampung sekitar menangkap ikan sungai. Ikan pucuk pisang, lampan, terbul, seluang, tengas, haruan dan berbagai jenis ikan sungai yang lain akan menjadi habuan mereka. Setiap orang akan membawa pukat, jala, jaring dan berbagai jenis alat tangkapan untuk menangkap ikan. 





Seingat saya, arwah bapa akan membawa pukat dan sebuah bakul empat segi yang dibuat dengan bilah-bilah buluh yang dijalin kemas. Bapa akan pulang sekitar waktu Isya' bersama kawan-kawannya. Mereka hanya berbasikal ke sana selepas selesai solat subuh. Jaraknya sekitar 15km jugaklah.!! Arwah emak akan menanak nasi lebih awal berlauk ikan kering ala kadar dan sebotol air kopi O cap lesung. Kami anak beranak akan membantu emak menyiang ikan-ikan tersebut untuk dibuat pekasam. Dapatlah tiga empat balang ikan pekasam yang akan dijeruk selama lebih sebulan. Orang kampungku memanggilnya ikan budu!!!! pekasam tu bahasa buku laaa...


0 comments:

Blog Widget by LinkWithin