Kenangan berKEDAP di Tasik Chini
>> Tuesday, October 20, 2009
Bila saya hadir Seminar Pedagogi Peribumi dan Konvo KEDAP pada 13 Okt 2009 yang lalu, saya teringat sewaktu menjalankan tugas memantau pelaksanaan Kelas Dewasa Orang Asli Peribumi(KEDAP) di SK Tasik Chini, Pekan, Pahang pada tahun 2008 yang lalu.
Biarlah saya bagi intro dan info sikit pasal KEDAP ni. Program ni sebagai salah satu usaha pendemokrasian pendidikan yang semakin meluas kepada seluruh rakyat Malaysia. Pada amnya, kadar literasi rakyat Malaysia rupanya baru setaraf dengan beberapa negara Asia Tenggara yang lain. Kadar literasi rakyat kita masih setaraf dengan Myammar rupanya!!!(laporan Unesco tp saya lupa sumbernya). Selain itu, program ini sebagai sokongan (back up) ibu bapa Orang Asli untuk membantu proses pembelajaran anak-anak mereka sewaktu di rumah. Maknanya, bila ibu bapa celik huruf, diharap mereka akan membantu anak-anak untuk memperolehi ilmu walaupun dengan serba kekurangan.Kerja rumah yang diberi cikgu dapatlah disiapkan dengan bantuan ibubapa agaknya.
Program ini sebenarkan menggunakan ongkos yang banyak. Setiap ibu bapa pelajar yang hadir ke kelas tersebut akan dibayar elaun sebanyak RM 19.50. elaun baju RM 50.00, elaun lawatan dan para guru juga diberi elaun khas. Jika tak salah ingatan saya untuk kos sebuah kelas KEDAP(25 orang peserta), setiap sekolah akan mendapat sekitar RM 65,000.00 (RM 10,000 untuk guru yg ngajar, dan selebihnya untuk sekolah dan elauan peserta KEDAP)..Jika 2 orang guru yg ngajar, mereka akan dapat RM 5,000.00 sorang bila tamat ngajar 300 jam bagi subjek BM dan Matematik. Silibus terhad kepada penguasaan 3M.
Jadi balik pada cerita asal tadi, selepas para guru yang bakal mengajar di KEDAP diberi input di IPTAA, maka kami para pensyarah yang terlibat dengan program tersebut diarah memantau pelaksanaan di peringkat sekolah. Sebanyak 23 buah sekolah di seluruh Pahang terlibat. Setiap kelas disertai 25 orang ibubapa Orang Asli.
Untuk tujuan, pemantauan, saya diarahkan untuk pergi ke Sekolah Kebangsaan Lanai, di Hulu Sg Jelai,SK Senderut(Raub), SK Tasik Chini(Pekan) dan SK Denai, (Rompin). dan SK Bukit Rok (Bera). Saya dipasangkan dengan Sdra Che Lah Che Mamat untuk pergi memantau dan setiap sekolah dipantau sebanyak dua kali.
Dari kesemua sekolah yang saya kunjungi dan perhatikan dalam pelaksanaan KEDAP, guru serta peserta KEDAP SK Tasik Chini yang paling cemerlang sekali. Maknanya, kalau masa dia orang ada konvo, ramai yang dapat sijil cemerlang kot. Saya cuba merakamkan aktiviti P&P yang dijalankan tetapi kamera handphone 'made in china' tak berapa ok!!!
Paling menarik bila tiba saat saya nak meninggalkan majlis, sebab hari dah petang dan perlu pula mencari tempat pengnapan. Kelas mula pukul 3.00 petang dan berakhir sekitar jam 5.00 petang. Cikgu Semek dan Cikgu Azlinda minta saya cakaplah sikit-sikit, konon bagi motivasi gitu buat mamak-mamak dan amai-amai (panggilan utk pakcik2 dan makcik2) Orang Asli ni. Jadi dengan penuh semangat(agaknyalah/perasan kot) jadi, saya pun pujilah demo2 tu yang sanggup belajar walaupun umur dah senja. Ada peserta yang dah berumur 65 tahun juga datang belajar sebab dia bela cucu.!!!, akhirnya saya pun pantunlah sikit-sikit. Nak tahu pantun apa? Tengoklah kat bawah:
Kalau ada sumur di ladang,
boleh hamba tumpang mandi,
kalau ada umur panjang,
boleh kita jumpa lagi.....
Fuuhhh, rasanya dah hebatlah tu, rupa2nya bila saya hampir nak berhenti berucap, cikgu Semek bagitau mamak Jamil nak jawab pantun saya!!!.(hanya ada 2 peserta lelaki daripada 25 orang) . Aiiiik!!!, kata hati, pantun ni bukan nak dijual, dan tak sangka pula pantun macam tu ada pasangannye!!!.
Jadi saya pun dengan besar hati minta Mamak Jamil perdengarkan pantunnya......Dia pun bangun dan......
Tetak kayat padang peramu,
tetak mari turun mandi,
ada hayat kita bertemu,
biar kurus jangan mati!!!!
Fuyooo!!!, hebat juga pantun mamak ni. Tak sangka saya rupanya Orang Asli Tasik Chini mempunyai sastera lisan yang begitu canggih cuma literasi jer yang kurang. Rasanya inilah kali pertama pantun "sumur diladang" dijawab orang..Syukur saya dapat pengalaman baru di tepi Tasik Chini, walaupun tak jumpa naga tasik Chiini..
Bila dah syok, saya bagitau sdra. Che Lah, untuk pusingan kedua, biar saya je lah yang pergi. Dia kata ok dan saya pun berkesempatan berkunjung lagi ke SK Tasik Chini tu. Kalau nak ditulis, pengalaman yang kedua ni tentu, korang bosan agaknya. Cuma, sebagai menghargai kesungguhan peserta KEDAP yang bermotivasi tinggi tu, saya bawakan sedikit "ole-ole" untuk dimakan bersama-sama..Gitulah...perangai saya, bila saya suka, makananlah yang saya mampu hulurkan, wang ringgit tak delah...sambil makan dapat menyelami berbagai cerita saudara kita yang tinggal jauh di pedalaman. Pun begitu, pantun juga mereka hadiahkan buat saya,,bunyinya begini...
Buah mangga dari pekan,
mari isi dalam raga.
pada tuan saya berpesan,
sebab tuan sahabat saya!!!!
Itulah sedikit cerita saya bila orang cakap pasal KEDAP,banyak lagi cerita bila kita pergi ke tempat/sekolah lain. Bak kata pepatah banyak udang banyak garam, banyak orang banyaklah ragamnya. Lain padang, lain belalangnya!!, Cuma yang ralatnya, kumpulan peserta KEDAP ambilan 2008 tidak dijemput dalam konvo baru-baru ni....namun saya percaya ilmu dan pengetahuan yang mereka perolehi jauh lebih bermakna buat mereka kini.
Selebihnya, bagi mereka yang suka mengkaji bolehlah buat "research" tentang pendidikan dalam masyarakat orang Asli. Ada kes, peserta KEDAP sanggup berkayuh perahu selama 2 jam semata-mata untuk hadir kelas KEDAP, begitu juga kajian tentang literasi sastera lisan dikalangan Orang Asli. Kajian tentang faktor keciciran orang Asli tu dah banyak orang buat jadi buatlah kajian baru pulak.!!!barulah ada "kelas".
Sekian, jumpa lagi....
0 comments:
Post a Comment