Kami belum merdeka cik.....

>> Thursday, October 8, 2009

Itulah antara kata-kata yang diluahkan sewaktu saya berkesempatan berbual-bual dengan pengusaha-pengusaha bot (boatman) pelancungan di Kuala Tahan, Jerantut, atau dengan kata lain di jeti Taman Negara. Kunjungan saya ke kawasan hulu Pahang ni bukan sekadar melihat kehijauan hutan hujan khatulistiwa yang berusia hampir jutaan tahun tetapi dalam misi tugasan memantau praktikum di Sekolah Kebangsaan Kuala Sat, Hulu Tembeling.

Selepas meninggalkan kereta dalam kawasan Sekolah Kebangsaan Kuala Tahan, saya memikul beg yang mengandungi sehelai dua baju dan fail praktikum menuju ke jeti. Di sana nanti saya akan bertemu dengan beberapa orang guru yang juga dalam halatuju yang sama. Sama ada ke SK Kg Bantal, SK Mat Daling, SK Kg Pagi, semuanya berkumpul di jeti Taman Negara untuk menaiki bot ke hulu sungai Tembeling.

Sewaktu menunggu, bilangan penumpang bot sampai atau boatman minum, saya sempat bertanya khabar cerita orang di hulu sungai ni. Itulah sampai terkeluar luahan daripada seorang boatman mengatakan kami di hulu Tembeling ini masih belum merdeka. Bila disorot lagi perbualannnya yang diiringi rasa geram, persoalan kemudahan jalanraya sangat menjadi idaman penduduk di hulu Tembeling ini.

Menurut mereka, jika dihitung wang ringgit yang dibelanjakan untuk menghulu atau menghilir menggunakan bot, mereka sudah mampu membeli sebuah Proton Saga secara tunai, tanpa hutang-hutang.Itulah gambaran yang menunjukkan betapa mereka sudah menghabiskan wang yang banyak untuk menghilir apabila menguruskan sesuatu di hilir. Kebanyakan urusan mereka di bandar Jerantut yang juga berfungsi sebagai pusat pentadbiran daerah ini. Bagi penduduk yang tinggal paling hulu, iaitu Kg Mat Daling atau Kg Bantal, mereka perlu menghilir ke jeti Taman Negara seawal pagi untk sampai ke jeti Kuala Tahan. Perjalanan mereka mengambil masa kira-kira enam jam, itupun jika paras air berada dalam keadaan baik. Jika air surut, masa perjalanan akan jadi bertambah panjang kerana mereka terpaksa menarikatau menolak perahu melalui jeram-jeram yang cetek.

Selepas mengharungi perjalanan yang memenatkan, setiba mereka di jeti Kuala Tahan, mereka perlu mengambil teksi (jika ada) atau bas untuk ke pekan Jerantut yang terletak kira-kira 65 km lagi. Ringkasnya bila tiba di Jerantut, pejabat kerajaan dah tutup. Penduduk hulu Tembeling ini terpaksa menumpang di rumah saudara mara jika ada atau menghuni hotel-hotel murah di sekitar pekan Jerantut. Keesokannya, mereka perlu menguruskan segera sebarang urusan kerana perlu mengejar "trip" bot yang menghulu pula di Kuala Tahan. Begitulah peritnya orang hulu Tembeling untuk berurusan dengan pejabat-pejabat kerajaan dan sebagainya.

Ternyata perasaan geram bercampur kesal 'boatman' tadi belum berakhir sekadar isu jalan raya tetapi turut menyentuh hasil hutan yang semakin pupus. Menurutnya, suatu ketika dulu, hutan yang menghijau mengandungi batang-batang kayu balak berharga jutaan ringgit telah 'selamat' diratah oleh towkey-towkey balak. Yang tinggal hanya batang pokok leban dan pokok 'balik angin' yang tiada nilai di pasaran. Menurut boatman tu lagi, jika setiap towkey balak tu menyumbang satu kilometer jalan setelah mengerjakan hutan balak, hulu tembeling kini sudah memiliki jalan sepanjang 52 kilometer!!! tapi hingga sekarang, usahkan satu kilometer, habuk pun tarak. Pilihanraya dah 12 kali, tapi harapan penduduk di Hulu Tembeling ibarat pungguk merindui bulan.

Panas hati boatman tu rupanya tak dapat dihilangkan dengan segelas teh o ais. Katanya paras air yang cetek ini juga berkaitan dengan penebangan hutan-hutan. Betul juga kata saya. Waktu belajar geografi dulu, hutan adalah kawasan tadahan dan simpanan air. Akar-akar pokok yang menunjangi pokok-pokok tersebut turut memegang tanah dan seterusnya air yang terdapat dalam tanah tersebut. Jadi jika hutan-hutan besar sudah menyembah bumi, kemana lagi air tersebut akan disimpan!!! Sebab itulah sejak akhir-akhir ini kami pengusaha bot mengalami kesulitan sewaktu menghulu atau menghilir, air sungai cetek, perahu terpaksa ditarik atau ditolak. Lebih menakutkan jika terlanggar saki baki kayu balak yang dihanyutkan ke sungai sewaktu musim hujan. Silap haribulan, karam dan 'qalu'....

Sebenarnya, banyak lagi cerita yang boleh dikongsikan bersama. Bukan setakat isu jalanraya, hutan balak, air sungai cetek, begitu juga soal kemudahan kesihatan, kemudahan telefon dan keperluan guru di hulu Tembeling. Kata orang, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul...

Sekadar itu dulu.....

0 comments:

Blog Widget by LinkWithin