Hilangnya sebutir bintang
>> Wednesday, November 4, 2009
Senja dan hampir berbuka puasa hari Isnin 2 November 2009, saya dikejutkan dengan sepotong mesej dari sahabat;Gazali yang tinggal di Seremban 2,.. 'ada dengar berita Hj Azmi meninggal? Terkejut dan hilang rasa lapar untuk berbuka puasa lantas menghubungi rakan saya. Dia pun minta kepastian lalu saya terus menghubungi handpon Hj Azmi. Panggilan dijawab oleh anak keduanya, dan mengesahkan bahawa arwah ayahnya ditimpa pokok yang ditebangnya dan membawa maut..Qalu....Innalillahiwainnahirajiun...hanya separuh kurma yang mampu saya habiskan untuk berbuka puasa sunat hari itu. Selepas itu bertalu-talu mesej masuk dengan yang sama membawa khabar yang serupa..
Banyak kisah pahit manis sepanjang saya mengenali arwah. Elok saja saya kisahkan yang manis sahaja. Beralah bukan bererti kalah, itulah antara falsafah yang beliau pegang dalam menjalin hubungan dengan warga IPTAA. Pengalaman dan daya fikir beliau menyebabkan buah fikirannya sering diutarakan dalam berbagai kursus dan perbincangan.
Pada tengahari Isnin tersebut, sewaktu berwuduk di tandas sebelah jabatan HEP untuk solat zohor, saya tiba-tiba teringatkan beliau. Ingatan ini berpunca daripada dua sms yang saya terima dari beliau. Sebenarnya saya sedang menganjurkan pakej jalan-jalan cari makan ke Jakarta-Puncak -Bandung. Dia suami isteri adalah peserta pakej tersebut. Program ini dirancang untuk dilaksanakan pada akhir tahun nanti. Semua tiket telah dibeli termasuklah untuk arwah dan isterinya. Sms dihantar untuk memaklumkan pungutan wang pakej. Dia membalasnya dengan memaklumkan bahawa ingin pergi bersama tetapi bergerak secara berasingan sewaktu di Indon nanti. Saya selaku koordinator program tidak menghalang kerana dia sudah dewasa dan dia ada kawan yang akan menjaganya di Jakarta nanti.
Namun, hati kecil saya terasa ralat kerana keadaan begitu mungkin kurang seronok sewaktu berpergian. Apatah lagi hajat hati untuk "enjoy" bersama-sama bila jalan-jalan nanti. Maksud saya, makan bersama, jalan sama-sama, hohahoha bersama-sama dan tidur di hotel yang sama. Perasaan itulah yang datang pada tengahari Isnin tersebut. Rupa-rupanya, takdir Allah swt memang diluar pengetahuan kita. Arwah memang "pergi" bersendirian terlebih dahulu.
Arwah Hj Azmi adalah rakan serumah sewaktu beliau bertugas di Afzan. Setahun lebih kami tinggal bersama di rumah "bujang tiga". Seribu satu macam cerita kami serumah dengan pelbagai isu dan gelak ketawa. Makan, minum, cekah buah durian, tembak ayam hutan adalah hobi kami bersama. Senapang dan pisau sentiasa dalam 4X4 Nissan Teranonya. Beliau memang suka outdoor dan memburu. Kijang, kancil, landak, ayam hutan dah banyak tumpas di muncung senapangnya. Dan tentulah kutu di rumah tumpang sekaki melahapnya...
Secara peribadi, sewaktu terlantar di HUKM dulu, arwah adalah antara orang tempat saya meluah isi hati dan dia banyak memberi semangat sepanjang menjadi penghuni HUKM. Dia sering menelefon dan bertanya khabar. Benarlah kata orang, mata berpandangan , budi kedapatan.Selepas bersara pada tahun 2008 dulu, dia adalah "pelanggan" saya yang sering mengucapkan terima kasih kerana selalu menerima info peristiwa yang berlaku di Afzan. Dia suka sekali bila menerima sms dari saya tentang sesuatu peristiwa berlaku di kampus tercinta ini. Dia akan kata "hanglah yang dok ingat kat aku........"
Selasa, jam 8.30 pagi dengan izin Dato Pengarah, saya, sdra. Mazlan Zaharuddin, sdra Zaim dan sdra Gazali (IPRM/bekas pensyarah Afzan) bertolak ke Taiping. Dengan membawa salam takziah dan sedikit pungutan derma kilat, kami sampai di rumahnya di Kg Larut Tin, kira-kira jam 1.00 tengahari. Orangramai sudah beredar kecuali saudara mara terdekat. Kami dijemput masuk oleh anak-anaknya dan isteri arwah menceritakan detik-detik akhir hayat arwah. Suasana pilu bercampur hiba bila mengenang suami tercinta meninggalkan dia dan anak-anaknya buat selama-lamanya....
Namun begitu; dalam hati saya, teringat kata pantun,
Apa tanda batang tebu,
batang tebu halus uratnya,
apa tanda orang berilmu,
orang berilmu, halus budinya...
Kejahilan saya mengakui arwah Hj Azmi adalah seorang yang sangat sesuai dengan maksud pantun itu.....Semoga Allah swt menenpatkan rohnya dicucuri rahmat dan diletakkan dalam kalangan orang yang beriman. Hilanglah sebutir bintang dalam dunia pendidikan. AlFatihah
1 comments:
amattrasa khilangan..
shri sblum pmergian arwh
baru bersmbang2 di facebook..;:'(
Post a Comment