Perjalanan.......

>> Wednesday, July 11, 2012

Zaman budak-budak sudah pergi dan tak akan kembali lagi. Zaman sekarang sajalah yang ada. Dan zaman sekarang adalah zaman yang sibuk dengan benda dan harta, sibuk dengan kerja-kerja untuk memenuhi permintaan lahiriah yang tak pernah kenyang pun. Dalam hal-hal seumpama inilah kita ingin kembali ke zaman lampau melalui kenangan yang sedikit sebanyak berdaya meluputkan kerinduan yang sangat-sangat. Aku kadang-kadang secara tak sedar menangis seorang diri pada tengah-tengah malam memikirkan perjalanan hidupku dari dulu hingga sekarang ini. Perjalanan itu begitu manis pada awalnya tetapi semakin jauh semakin payau dan semakin pahit pula rasanya. Kemanisan, kepayauan dan kepahitan hidup inilah yang sebenarnya mematang dan memperteguhkan semangat untuk meneruskan perjalanan.

Shahnon Ahmad; 100-101,Detik-detik diri diDaerah Daif, DBP, 2005 

Read more...

Gaji kami....

>> Thursday, June 21, 2012

USD 50 adalah gaji para guru agama yang mengajar di madrasah-madrasah yang terdapat di kampung-kampung orang Islam di Kemboja. Gaji sejumlah itu jika ditukar ke matawang Malaysia hanyalah sekitar RM150.00 sahaja. Dengan gaji sejumlah itulah mereka bertungkus lumus mendidik generasi baru umat Islam Kemboja. Gaji ini pun dibayar oleh kerajaan Kemboja tetapi daripada pejabat Mufti yang berusaha keras mengumpul dana daripada seluruh masyarakat Islam daripada luar Kemboja.

Alhamdulillah, menurut kata Mufti Kemboja , kini terdapat 30 buah sekolah atau madrasah yang dinaungi oleh pihaknya. Semua guru dibayar gaji dengan kadar yang sedemikian dan para guru terpaksa melakukan kerja-kerja yang lain seperti bertani atau berniaga kecil-kecilan untuk menampung kos kehidupan. Bagi guru yang berasal dari kampung yang berdekatan tentulah ada sedikit advantage kerana boleh menjimatkan kos minyak.

Terdapat keluhan para guru sewaktu ditemubual. Dengan gaji sedemikian mereka merasa kurang bermotivasi tetapi masalah gaji tidak boleh dirujuk kepada kerajaan Kemboja. Perdana Menteri Hun Sen membuka pintu seluas-luasnya kepada penderma asing tetapi pihaknya tidak bersedia menyalurkan dana kepada sekolah-sekolah yang dibina oleh masyarakat Islam. Difahamkan, umat Islam daripada Malaysia adalah penderma utama kepada pembangunan masyarakat Islam Kemboja. Kemurahan hati umat Islam Malaysia ini mungkin didorong oleh faktor bangsa, adat resam, bahasa Melayu Champa dan tentunya kerana landasan tauhid yang sama.

Read more...

Saya dah potong ayam.....

Malam tu dah masuk hari ketiga kami bermalam di masjid kampung tersebut. Kalu dikira bab makan minum memang tak termakan lagi dah sebab daging lembu yang disembelih siang tadi masih banyak. Apatah lagi dengan kerja makan tidur sahaja tentulah perut masih terasa kenyang.

Namun begitu, atas desakan abang Zakaria, salah seorang penduduk kampung tu, saya paksakan diri ini untuk memenuhi jemputannya untuk makan malam di rumahnya. Abang Zakaria ini diperkenalkan kepada saya oleh seorang ustaz di kampung tersebut kerana saya agak berbeza sewaktu solat. Duduk di atas kerusi sedangkan orang lain solat seperti biasa. Kebetulan pula abang Zakaria ini pandai mengurut dan apa lagi kaki kanan saya sering menjadi sasarannya setiap kali selepas solat. Selapas solat subuh sering disusuli dengan tazkirah oleh anggota rombongan. Jadi, kesempatan tersebut digunakan oleh beliau untuk memicit--micit labu betis dan peha saya untuk membetulkan urat-urat. Uhhhh, segar sekali selepas kena urutan.

Rumah abang Zakaria ini tidak jauh dari masjid. Saya dan rakan--rakan serombongan sering menyerahkan baju kotor untuk dibasuh olehnya. Setiap kali permintaan dibuat, kami menyelitkan sejumlah wang sebagai upah. Dia cuba menolak tapi kami tetap memaksanya untuk menerima wang tersebut. Selama tinggal di situ, saya terasa yang dia sangat mesra apatah lagi saya sering memanjangkan rezekinya dengan memberitahu rakan-rakan yang lain untuk khidmat cuciannya atau urutannya. Kerana itu, rezekinya agak" mewah" kerana huluran--huluan yang diterimanya.

Kerana itulah gamaknya, selepas magrib, dia menjemput saya untuk makan malam di rumahnya. Tetapi saya menolaknya kerana lebih selesa makan ramai-ramai di bawah rumah yang menjadi tempat makan rombongan. Jadi setelah selesai solat jamak Magrib Isya, kami pun makan di tempat biasa. Rupa-rupanyanya, sedang kami mula bersiap untuk tidur dengan membentangkan tikar masing-masing, abang Zakaria datang berjumpa saya sambil berkata dia dah sembelih dua ekor ayam kampung untuk meraikan saya dan rakan-rakan. Memandangkan kesungguhannya, saya pun mengajak empat lima orang untuk memenuhi jemputannnya.

Saya tak dapat menolaknya lagi. Kami bertujuh pun meredah gelap malam menuju ke rumahnya. Tiang rumahnya sekitar 15 kaki tinggi dengan hampir 20 mata anak tangga. Rumahnya hanyalah diterangi dengan sebatang lampu kalimantan sepanjang 12 inci yang disangkutkan pada tiang seri rumahnya. Hanya bahagian yang menghadap ke arah kami sahaja yang terang sedangkan bahagian belakang tiangnya agak gelap. Ruangan dapurnya diterangi dengan sebuah pelita ayan. Kipas angin jangan haraplah apatah lagi sofa atau kusyen. Semuanya di atas lantai.

Satu demi satu hidangan dikeluarkan. Bermula kuih bahulu dan wafer, diikuti dengan nasi berlaukkan ayam kampung masak sup Kemboja, diikuti dengan buah laici, buah longan, biji buah teratai yang direbus dicicah dengan gula dan secawan kopi tiga dalam satu. Terasa mewahnya makanan malam itu. Begitulah tingginya semangat meraikan tetamu dari masyarakat Kemboja. Anak bininya menyediakan makanan dalam keadaan samar-samar cahaya, sedangkan kami berada dalam keadaan selesa. Walaupun miskin harta benda, tetapi mereka kaya dengan budi bahasa. Masing-masing tidak percaya dengan hidangan malam itu. Itulah, agaknya yang dikatakan , orang berbudi, kita berbahasa. Ada yang pertama kali makan biji teratai yang direbus. Sungguh enak dan berlemak. Ada ummmphhhh laaa... 

Read more...

Muzium Kampung....

Kampung macam ini dah kira macam taraf muzium!!!!.Itulah antara komen awal salah seorang anggota rombongan kami. Komen beliau itu tersasul keluar bila kami berjalan-jalan sekitar kampung tempat kami bermukim selama tiga malam. Suasana infrastrukturnya masih ketinggalan jauh di belakang. Jalan kampung masih bertanah merah, air dipam dengan telaga pam, malam masih diterangi pelita ayan dan bekalan kuasa elektrik hanya ada di masjid yang dijana oleh generator.

Kehidupan malamnya macam Malaysia diawal tahun 60an atau 70an. Generasi hari ini tidak merasa kegelapan malam, sunyinya bermula setelah selesai solat Isya. Masing-masing pulang ke rumah meredah kegelapan malam dengan bantuan lampu picit. Tiada lampu jalan menerangi kegelapan suasana. Kelihatan kerlipan lampu pelita ayan meliuk lintuk ditiup angin malam.

Indahnya suasana kampung dapat dirasai di sini. Kedudukan rumah yang berdekatan antara satu sama lain mmembayangkan suasana kekeluargaan yang semangat gotong royong yang kuat. Kampung-kampung dinaungi pokok--pokok kelapa yang menghijau, pohon mempelam, cermai , dan pokok-pokok buah gajus yang tumbuh dengan subur. Sewaktu kunjungan ini, Kemboja masih dalam musim basah.

Terdapat hujan yang turun di sana sini dan penduduk baru selesai mengerjakan tanaman padi. Anak-anak padi tumbuh menghijau dengan bekalan air yang banyak. Sememangnya, bumi Kemboja bertanah  pamah dan sesuai dijadikan sawah bendang saujana mata memandang. Keluasan sawah sukar diukur kerana boleh dikatakan sepanjang jalan adalah sawah bendang. Setiap rumah, memiliki beberapa ekor lembu atau kerbau. Haiwan tersebut adalah aset yang digunakan dalam berbagai hal. Membajak sawah, mengangkut hasil pertanian, dan juga bekalan daging. Kereta lembu masih luas digunakan dikampung-kampung, di pekan-pekan kecil dan mudah ditemui disepanjang perjalanan dari  Phnom Pehn ke Seam Reab.  

Kunjungan kami ke rumah-rumah penduduk kampung juga mempelihatkan timbunan padi yang berguni-guni. Padi disimpan untuk dimakan sepanjang tahun. Mereka tidak menjual padi kerana itu makanan utama dan sawah bendang tidak boleh diusahakan semasa musim basah. Justeru, padi tidak menjadi komoditi untuk dijual beli. Ramai rakan-rakan menyatakan kesedapan nasi sewaktu berkenduri kampung di sana, apatah lagi, nasi dimasak dengan menggunakan dapur kayu. Nasinya macam berpulut sedikit dan makin sedap jika dimakan dengan daging lembu yang dimasak secara gulai Kemboja.

Gulai Kemboja tidak menggunakan rempah ratus seperti masakan Melayu atau mamak di sini. Mereka menggunakan bahan lain untuk memasak gulai daging. Kacang tanah, cili kering, bawang putih adalah rencah utama dalam masakan gulai mereka dan diakhiri dengan jumlah santan yang sedikit cair. Baik untuk mengurangkan kolestrol barangkali. Jumlah bawang putih dan kacang tanah sangat banyak digunakan sewaktu memasak. Tentunya garam turut dimasukkan untuk menambah rasa sedapnya. Orang Kemboja nampak selesa makan dengan sudu. Setiap pinggan nasi disediakan sebatang sudu tapi saya lebih senang dengan menggunakan sudu.

Kerana keadaan-keadaan begitulah, rakan saya tadi mengistilahkan kampung-kampung di Kemboja adalah seperti " muzium" buat kita sewwaktu melalui zaman awal kemerdekaan negara kita dahulu. Tentulah rakan-rakan serombongan yang lahir lewat 80an atau 90an akan merasa bertuah dapat melalui zaman tersebut dengan mengunjungi bumi Kemboja..

Read more...

Kembara Kemboja 2012

Pertama kali, saya mendengar perkataan Kemboja ni kira 40 tahun yang lalu bila ada seorang pelarian Kemboja berniaga kain pelikat dan duduk di surau kampung kami selama hampir seminggu. Di surau itulah dia makan minum sambil menunggu penduduk kampung datang membeli barang jualannnya. Akhirnya, saya mendapat tahu bahawa kain-kain dan barangan yang lain itu dibawa dari Kelantan. 

Sewaktu belajar Geografi, makin banyak maklumat berkenaan Kemboja diperolehi. Bentuk muka bumi, cuaca dan perekonomian dipelajari secara "atas kertas sahaja. Tentunya Sungai Mekong menjadi tumpuan sebagai nadi ekonimi pertaniannya. 

Sewaktu bertugas di Terengganu pada awal tahun 199900an dulu, masyarakat Kemboja yang menjadi pelarian suatu ketika dahulu adalah antara penggerak ekonomi yang sangat aktif. Para peniaga pasar minggu dan pasar malam banyak kedapatan para peniaga daripada masyarakat Kemboja. Berbagai barang keperluan dijual termasuklah kain baju, perkakas dapur, peralatan sekolah dan segala macam yang diperlukan. 

Melalui subjek Sejarah pula, kita didedahkan tentang kerajaan Sriwijaya, Angkor, Jayavarman dan sebagainya. Lebih perit lagi, Kemboja sewaktu di zaman Pol Pot.  Begitu juga kisah-kisah Perang Saudara di Indo China yang akan lebih memudahkan kita menelusuri Kerajaan Kemboja hari ini. Itulah antara gambaran awal yang tertanam di benak fikiran saya hampir 49 tahun yang lalu.

Bagi menyahut cabaran untuk meninjau sendiri jurnal kehidupan rakyat Kemboja, pada 7 hingga 13 Jun yang lalu , saya menyertai rombongan IPG Tuanku Bainun seramai 38 orang berkunjung ke negara tersebut.  Syukur pada Ilahi yang memberikan   kesihatan yang baik untuk saya mengikuti program ini dengan penuh keterujaan.

Read more...

DG 48: Antara rezeki, prestasi dan kena maki...

>> Thursday, May 24, 2012

Itulah polimik sikit masa lalu bila kumpulan laluan cepat(fast track) pensyarah untuk" bakul 3" diumumkan. Ada yang bernafas lega kerana tersenarai dalam kelompok terpilih. Namun ramai yang mengeluh kesal kerana tidak tersenarai dalam kumpulan kali ini. Bila hal ini terjadi, maka berbagai tafsiran dihebahkan merata ceruk dengan berbagai medium penyampaian. Dan sudah tentulah tafsiran dan hujahan dari mulut ke mulut menjadi kisah ini menjadi lebih menarik. Ini kerana setiap kali isu ini dibawa atau dihighlightkan, mesti ada info baru, bak kata orang, "improvisas"i. Setiap orang akan menambah dari seinci ke dua inci, ke tiga inci dan akhirnya membengkak di hati bagi kelompok yang belum terpilih untuk masuk gred DG 48.

Bagi kelompok yang mendapat gred tersebut,  mengatakan itu rezeki walaupun baru menjejak kaki di kampus yang bergelar IPG. Dikatakan mereka ini terpilih kerana markah prestasi mereka dikira sejak bertugas di sekolah lagi. Keadaan ini menjengkelkan kalangan mereka yang sudah berakar umbi di IPG tetapi masih belum bergerak ke DG tersebut atas alasan markah prestasi rendah. Maka pihak atasanlah yang kena maki kerana kecenderungan memberi markah yang rendah berbanding pihak sekolah yang memberi markah yang tinggi kepada guru-guru mereka.

Sesungguhnya gred 48 sangat berbaloi berbanding gred 52 atau 54. Ini kerana pada gred ini, mereka yang bergerak dari 44 ke 48, akan menerima kadar elaun yang lebih tinggi untuk  elaun rumah dan elaun keraian. Khabarnya, hingga mencecah RM1250.00 dan tentulah gaji hakiki juga turut bertambah. Dengan elaun-elaun baru tu, dah boleh berangan-angan untuk menjadi Ketua Jabatan dan tentu boleh meninjau mobil-mobil baru!!!!

Kantin, kafeteria, lobi, bilik jabatan hatta di bilik kuliah pun dibawa isu 48 ni. Ada kalangan rakan akan menyalahkan itu dan ini kerana tidak terpilih ke gred 48. Pantang salah sikit, pihak atasan dicap dengan berbagai nama bagi melepaskan perasaan tak puas hati kerana terlepas rezeki 48.

Bagi yang reda dengan keadaan ini lebih merasakan bahawa jika itu sudah rezeki orang, apa perlu disedihkan sangat. Tak perlu bising-bising kerana rezeki bukan dalam bentuk wang ringgit sahaja. Kesihatan, anak-anak, isteri, ketenangan, keberkatan dan boleh terus bernafas adalah juga rezeki yang diberi Allah swt.

Read more...

Terima kasih atas ingatan dan doa

>> Wednesday, May 16, 2012

16 Mei 2012 dan tahun-tahun yang lepas dan akan datang adalah hari memperingati jasa dan perjuangan kaum guru atau disebut para pendidik. Setiap kali sambutan diadakan baik di peringkat kebangsaan, negeri, daerah, IPG dan sekolah, tema-tema tertentu menjadi intipati ucapan sambutan. Akan disebutlah di sana sini akan sumbangan dan jasa serta pengorbanan kaum guru bersama--sama membangunkan negara. Seringkali juga, tema perayaan hari guru ini mestilah selaras dengan tema kerajaan yang memerintah. Kalau Perdana Menteri mendendangkan transformasi, maka kementerian dan jabatan yang bernaung di bawahnya juga akan membawa irama yang sama. Bak kata pepatah, begitu rentak, begitulah tarinya.

Sajak Allahyarham Usman Awang@Tongkat Warrant tentu menjadi santapan telinga bagi menggambarkan betapa besarnya peranan seorang guru. Dan semestinya pantung berburu ke tanah datar, dapat rusa berbelang kaki akan dipantunkan oleh para pengacara di mana jua sambutan hari guru diadakan. Seterusnya akan dinobatkan beberapa orang tokoh guru yang memberi sumbangan besar dalam tempoh kerjayanya suatu ketika dahulu dengan harapan sumbangannya menjadi motivasi paraguru yang masih berkhidmat. 

Bagi kaum guru, baik secara keseluruhan mahupun individu, hati kecilnya tetap menunggu dengan penuh debar, adakah hari ini bekas murid atau pelajarnya akan menghantar atau mengucapkan jutaan terima kasih serta ucapan selamat hari guru atau terima kasih cikgu!!! Tentu bagi guru-guru di sekolah rendah dan menengah, timbunan hadiah menjadi kayu pengukur penghormatan dan ingatan murid terhadapnya. Biarpun sebatang pen kilometrico, sebuku sabun Lux, sebungkus kertas tisu berharga 50 sen, atau frame gambar dibeli dari Kedai RM2, masih menggambarkan tautan kasih antara murid dan guru.

Syukurlah juga, hari ini, masih ramai bekas pelajar dan rakan sejawatan serta orang awam menghantar kiriman sms mengucapkan hari guru  dan mendoakan kesejahteraan. Macam-macam stail dan gaya ucapan sms diterima dan semuanya saya balas dengan harapan silaturahim akan berterusan.Sememangnya, pada peringkat ini, bukan hadiah atau bunga yang jadi ukuran tetapi ingatan daripada bekas pelajar menjadi ukuran. Semakin matang sesorang itu, semakin terasa akan naluri batinnya perasaan untuk dihormati dan diingati. Mungkin itulah agaknya yang dikatakan oleh Abraham Maslow dalam Teori Keperluan Manusia. Dato Abdullah Hussain juga mengungkapkan perasaan yang sama dalam novel Imam..ingin diingati dan dihormati. Keperluan batiniah lebih beerti bagi insan bergelar guru kerana mereka bukan sekadar menghapuskan buta huruf tetapi membuka akal budi agar menjadi makhluk bernama manusia.

Fikir-fikirkanlah....  

Read more...

Sebuah Perjalanan: Abdullah Hussain

>> Tuesday, May 15, 2012

Hampir dua minggu, saya mengambil masa untuk menghabiskan novel Dato Abdullah Hussain yang bertajuk 'Sebuah Perjalanan". Jumlah mukasuratnya sebanyak 547 sahaja, siap dengan nota kaki lagi. Memang puas membaca catatan beliau sewaktu menjadi Ahli Cipta di USM. Sebenarnya buku tersebut diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1985. Buku itu saya pinjam dan mula membaca bila sesi kuliah dah hampir tamat dan para guru pelatih mula menjalani minggu ulangkaji atau sering di sebut "study week". Ada yang nakal menyebutnya sebagai "study leave" dan terus balik kampung sambil menunggu tarikh peperiksaan yang sebenar!!!

Opppss...bukan nak cerita pasal minggu studi tu tetapi pasal buku Dato Sasterawan Negara tu. Saya mula jatuh cinta dengan buku-buku tulisan Dato ni sejak membaca novel "masterpiece" beliau yang bertajuk "IMAM". Buku tersebut yang seterusnya membawa kepada penobatan beliau sebagai Sasterawan Negara. Membaca buku-buku beliau pada saya sangat menarik kerana gaya penulisannya yang tersendiri dan penuh maklumat serta buah fikiran. Begitulah yang terisi dalam buku "Sebuah Perjalanan".

 Banyak info boleh dipelajari khasnya mereka yang berminat dengan pensejarahan masyarakat dan aktiviti sosial. Bagi mereka yang berminat mengenali peristiwa-peristiwa sejarah, memoir Dato Abdullah Hassan ini boleh menjadi sumber rujukan dalam berbagai tajuk kajian. Contohnya, zaman awal persuratkhabaran Melayu, kemunculan percetakan, sosioekonomi masyarakat Acheh, penghijrahan orang Acheh, persekolahan zaman penjajah, perkembangan filem--filem Melayu dari zaman Shaw Brother,, Jalan Ampas dan berbagai-bagai perkara lagi.

Hatta kisah P. Ramli menjadi tokoh kesatuan sekerja pun turut diceritakn oleh Dato Abdullah Hussain dan yang paling menariknya, adalah penglibatan beliau dalam perjuangan menuntut kemerdekaan Indonesia serta pembentukan Acheh Darus salam...untuk mengetahui lebih lanjut, eloklah anda membaca sendiri!!!!!!  

Read more...

Kubur Lama,,,siapa penghuninya??

Telur itik dari Senggora,
Pandan terletak dilangkahi,
Darah titik di Singapura,
Badan terlantar di Langkawi.

Gitulah bunyi pantun lama yang tercatit dalam buku Sejarah Melayu, yang menjadi teks sastera klasik sewaktu belajar di Tingkatan Enam dahulu. Sengaja disebutkan semula pantun tersebut apabila terpandang papan tanda "Makam Lama" di Mukim Ulu Melaka di Pulau Langkawi.
Mengikut sumber-sumber tertentu, pihak pengkaji sejarah masih belum dapat memberikan kata putus siapakah insan yang dikebumikan didalam kubur tersebut.

Terdapat dua pihak yang menyatakan bahawa kubur itu adalah makam Hang Tuah dan ada yang mengatakan kubur itu tempat persemadian Tun Jana Khatib. Sejarah Melayu menyebutkan bahawa Tun Jana Khatib memiliki ilmu terus mata dan beliau tidak disukai oleh raja. Maka beliau dihukum bunuh. Sebab itulah pantun tadi mengiringi ceritera beliau yang dibunuh tetapi mayatnya tiada di Singapura tetapi terlantar di Langkawi.

Pendapat yang kedua pula menyatakan bahawa itu kubur Hang Tuah. Alasannya, selepas Hang Tuah membunuh Hang Jebat yang dituduh menderhaka, dia bertekad untuk menjauhkan diri daripada suasana politik Melaka dan membawa diri ke Ulu Melaka hingga meninggal dunia di sana. Sebab itulah, di Melaka, tiada di temui kubur Hang Tuah walaupun di sana terdapat Perigi Hang Tuah. Hang Tuah juga dikatakan sering ke Ulu Melaka untuk bersunyi-sunyian...dan di Langkawi hari ini memang terdapat Mukim Ulu Melaka!!!!

Fikir-fikirkanlah

Read more...

Power betul Pelanduk Putih tuuuu....

Maka diterajangnya pelanduk putih akan anjing raja waktu mengejarnya. Anjing raja itu pun terjatuh ke dalam sungai. Anjing tu cuba merangkak naik, lalu diterjahnya tebing sungai tersebut hingga terpisah tebing tersebut dengan tanah besar hingga hanyut menjadi Pulau Langkawi!!!!!

Seisi bas rombongan ketawa besar bercampur gelihati bila mendengar celoteh pemandu pelancong yang menamakan dirinya Asri. Keramahannya bermula bila semua orang sudah berada dalam bas berhawa dingin yang akan membawa kami semua untuk mengelilingi(baca meninjau) tempat--tempat menarik di sekitar Pulau Langkawi tersebut.

Kisah anjing tadi diceritakan semula oleh beliau ketika kami melihat tanda nama "Kubur Lama" dalam laluan ke Mukim Ulu Melaka dengan tujuan nak beli kain batik jawa. Dari situlah beliau mengatakan cerita anjing raja yang ditendang oleh pelanduk putih tidak terhenti di situ saja. Raja yang melihat kehebatan pelanduk putih terus menjadikan tempat itu sebagai negerinya yang baharu. Dan di bawah pohon melaka tempat baginda berteduh itulah diistiharkan negeri Melaka. Sampai di situ saja riwayat Pelanduk putih dan anjing perburuan raja tadi seperti yang diceriterakan dalam buku Sejarah Melayu.

Rupanya akan si Asri tadi disambung pulak cerita, akan anjing yang kena tendang dek pelanduk putih tu. Anjing yang cuba merangkak naik tebing bagi menerkam pelanduk tu pulak terpisah jauh dari tanjung itu kerana tanah tempatnya merangkak naik tadi  telah terpisah dari tanah besar kerana akibat terjahan si pelanduk putih tadi....maknanya tanah tu sampai terpokah kerana diterjah oleh sang pelanduk putih tadi!!!!!!

Perggghhh,,,power betul pelanduk putih nihhh....itu yang jadi bahan tawa besar kami..ingatkan cerita anjing tu terhenti takat raja istihar negeri, rupanya, tanah yang diterjah pelanduk hanyut ke utara menjadi Pulau Langkawi!!! MasyaAllah..... 

Bagi menguatkan hujah lisannya, nama Mukim Ulu Melaka menjadi sandarannya. Kononnya, Pulau Langkawi berada di bahagian utara Selat Melaka kerana dihanyutkan ke laut akibat terjahan si Pelanduk Putih dan Melaka berada di selatan atau hilirnya..maknanya Pulau Langkawi tu asalnya sebahagian daripada Melakalah katanya,,,boleh tahan juga teori pensejarahan encik Asri kita tuhhhh... 

Read more...

power betul pelanduk tu

Read more...

Usahawan Top Up......

>> Tuesday, April 17, 2012

Menjadi keperluan yang amat sangat bagi setiap jemaah yang mengerjakan Haji atau Umrah atau sesiapa saja yang bermusafir ke luar negara untuk mengetahui keadaan keluarga yang ditinggalkan. Ada kalangan jemaah yang menggunakan khidmat "roaming" dengan pembekal khidmat seperti Celcom, Maxis dan sebagainya. Namun, kaedah "roaming" dikatakan agak mahal kerana kedua-dua pihak akan dicaj, baik pemanggil atau yang menerima panggilan. Justeru adalah lebih mudah dan murah dengan membeli simcard di Madinah atau di Mekkah sahaja.

Untuk kunjungan kali ini, saya dan jemaah yang lain membeli simcard Mobily; salah satu pembekal khidmat telefon yang agak besar di Arab Saudi. Selain Mobily, terdapat juga syarikat telekomunikasi yang besar seperti Zein, Sawa dan sebagainya. Biasanya untuk pakej awal, selain simcard, turut dibekalkan beberapa rial lagi untuk membuat panggilan. Biasanya untuk dua atau tiga kali panggilan yang ringkas-ringkas.

Setelah memiliki, simcard baru, problem lain pula timbul. Masalah untuk mengisi semula atau disebut "top up" bila baki kredit sudah habis. Ahli jemaah terpaksa bertanya kepada pekedai-pekedai atau kakitangan hotel untuk mendapatkan kad pra bayar tambahan. Biasanya SR10, SR20 dan selebihnya bergantung kepada keperluan jemaah.

Menyedari kesukaran untuk mendapatkan kad top up tersebut khasnya sewaktu di Mekkah, timbul idea untuk mewujudkan bisnes kecil tersebut khasnya untuk kumpulan jemaah yang tinggal di hotel yang sama. Untuk menguruskan sendiri, tentulah agak sukar kerana pembekal kad tersebut berada agak jauh dan bisnes bukan niat untuk ke Mekkah pun!!! Jadi, saya mencadangkan agar seorang TKI (Tenaga Kerja Indonesia) yang berkhidmat dengan pihak catering menjualnya tapi "nggak ada modal pak!!!", gitu jawapan Mohd Rayyan (nama pemuda tersebut). Ohhh,, itu mudah saja, mulakan dengan SR100. Saya terus menghulurkan wang SR100. Alhamdulillah, pada malamnya, bermulalah bisnes kecil kami. Sengaja saya menanyakannya dengan suara yang tinggi pada tersebut sama ada, top up dah ada ke belum?? Ramai yang mendengar pertanyaan saya kepada Mohd Rayyan. Apa lagi, ramai yang nak beli kad tersebut dan begitulah strategi awal perniagaan kami. Untuk lebih jelas, ditampal juga secebis nota di dinding Bilik Makan memaklumkan kewujudan kemudahan kad tambah nilai terrsebut.

Alhamdulillah, Mohd Rayyyan telah berjaya menjadi usahwan kecil dan menambah sumber pendapatannya. Sewaktu meninggalkan kota Mekkah, saya hanya mengambil wang modal awal SR100 sahaja walaupun pada asalnya kami berjanji untuk membahagi dua hasil keuntungan. Memang ada untungnya sebab, Rayyan akan mengenakan caj SR1 bagi setiap kad yang berharga SR10. Dia ada memaklumkan jumlah keuntungan di akhir tempoh saya menginap di hotel tersebut. Kepadanya, saya katakan agar sekiranya masih ada keuntungan dan berpanjangan bisnes tersebut, tolong buatkan amal jariah bagi pihak saya.

Alhamdulillah, dalam tempoh beribadat, dapat juga saya mengusahakan kelahiran seorang usahawan kecil. Harapan saya biar bermula dengan kecil dan menjadi besar kemudiannya dan bukan sebaliknya. Yang penting, peluang yang terbuka di hadapan mata tidak boleh dilepaskan begitu sahaja. jangan fikirkan untung yang besar dalam perniagaan tapi berdikit-dikit akhiirnya jadi bukit!!!! Semoga Rayyan masih berterusan dengan usajha kecilku itu..

Read more...

Bunyi lebah....

>> Friday, March 23, 2012

Terasa seronok untuk merakamkan catatan kecil tentang ibadah umrah kali ini. Posting ini pula mengenai bunyi lebah berdengung pada waktu-waktu solat di Madinah dan juga Mekkah. Memang berbeza sekali bila bersolat di kedua-dua Tanah Suci tersebut.

Kalau kita bersolat di mana-mana masjid atau surau di Malaysia, tentu sekali akan kedengaran para jemaah akan membaca surah Al Fatihah dengan kadar bunyi yang perlahan tapi masih mampu menghasilkan bunyi berdengung ibarat bunyi kumpulan lebah terbang. Baik bilangan jemaah tu ramai atau sikit, bunyi lebah berdengung tetap ada.

Sebaliknya, hairan bin ajaib pula dengan jumlah ribuan jemaah di Masjid Nabi dan Masjidil Haram, bunyi lebah berdengung tidaklah pulak kedengaran. Yang berbunyi adalah batuk di sana sini dan tangisan anak-anak kecil yang turut dibawa solat berjemaah. Kalau ikut logik, dengan bilangan jemaah yang mencecah ribuan orang, tentulah bunyi kumpulan lebah bergengung lebih kuat!!!!

Pasti ada sesuatu yang perlu diperhatikan dalam ibadah kita.....

Read more...

HB di Mekkah....

Sambutan ulangtahun kelahiran kali ini lebih bermakna. Selain ianya diraikan kami berdua di Mekkah, saya dapat melakukan tawaf sunat buat kali pertamanya tanpa memakai tongkat. Alhamdulillah sangat-sangat kerana dalam kunjungan yang lalu, ibadah tawaf terpaksa menggunakan bantuan orang lain. Kali ini dengan tahap kesihatan yang lebih baik, saya berkeliling Kaabah sebanyak tujuh kali dengan diiringi isteri tersayang serta memikul kerusi yang boleh dilipat di bahu kanan. Kerusi tu terpaksa dibawa bersama-sama dan takut-takut berlaku emergency. Maklumlah, belum yakin pulih sepenuhnya.

Cuaca awal di sekitar Kaabah pada jam 9.00 pagi masih sederhana panas tetapi lantai kawasan tawaf yang berbatu marmar menyejukkan kaki serta diiringi bayu pagi yang mendinginkan suasana. Berjalan terhenjut-henjut bersama ribuan jemaah yang datang dari seluruh dunia menjadi ibadah tawaf tidaklah meletihkan sangat. Pusingan tujuh kali tawaf dapat disempurnakan kira-kira dalam masa 30 minit sambil bertasbih berdoa dan berselawat.

Selesai ibadah tawaf sunat, kami bersolat dan berdoa semoga rumahtangga serta keluarga kami sentiasa diberkati Allah swt. Kepada Allah swt juga, saya memohon supaya lebih ramai rakan-rakan akan menjadi tetamu Allah swt pada masa-masa akan datang..

Read more...

Catatan Umrah kali Kedua

Alhamdulillah, bersyukur kehadrat Ilahi kerana untuk kali keduanya, saya dan isteri tersayang diberi kesempatan untuk menjadi tetamuNya sepanjang cuti pertengahan semester yang lalu. Rombongan kami yang berlepas dengan Oman Air pada jam 7.30 pagi, 9 Mac 2012 yang lalu. Penerbangan WY 0828 Oman Air dengan pesawat 747 terbang merentasi lautan Hindi dan benua kecil India menuju Muscat dengan mengambil masa kira-kira tujuh jam.

Selepas transit di Oman sekitar enam jam, penerbangan diteruskan dengan pesawat Boeing kira-kira jam 4.30 petang waktu Oman dan selamat mendarat di Lapangan terbang Antarabangsa King Abdul Aziz Jeddah kira-kira jam 8.00 malam waktu Saudi. Sedikit info tentang matawang Royal Oman Rial; 100 SR hanya bersamaan dengan ROR 10. Perggghhh...tapi sempat laa pekena sepinggan nasi Arab kongsi berdua yang harganya SR23.00. Selepas selesai solat jamak Magrib dan Isya, perjalanan diteruskan dengan bas menuju Madinaltul Munawwarah.

Alhamdulillah, sekitar jam 2.00 pagi kami selamat tiba di bandar tersebut. Cuaca agak sejuk, sekitar 20 Celcius gitu. Hotel Waseel AlReem yang terletak kira-kira 50 meter menjadi kediaman rasmi rombongan umrah Putra Nilai Holidays Services Sdn Bhd untuk tempoh empat malam kami di bandar kedua suci umat Islam. Alhamdulillahhhh....

Read more...

If you plant openness......

>> Tuesday, February 28, 2012

Encik, saya memilih frasa yang berbunyi " if you plant opennes, you will grip unity", begitulah kata salah seorang guru pelatihku sewaktu diminta mencari kata-kata atau frasa-frasa yang banyak tertulis di sepanjang ruang pejalan kaki di kampus Tuanku Bainun ini.

Peristiwa ini berlaku selepas percutian selama seminggu sempena sambutan Tahun Baru Cina yang bertemakan naga air sebagai ikon perayaan. Kebetulan pula, topik kuliah pada mingggu itu berkisar sekitar persoalan falsafah pendidikan timur dan Islam dalam Kursus EDU 3101; Falsafah dan Pendidikan di Malaysia.

Encik, saya nak ceritakan sesuatu kenapa saya memilih frasa tersebut!! terang pelatih berbangsa Cina tersebut kepada kami sekelas. Kebetulan kelas tersebut adalah pelatih-pelatih yang major Pengajian Cina (PC).

Oklah, kata saya dan meminta beliau menceritakan apakah alasannya memilih frasa tersebut daripada berbagai frasa yang terdapat di kampus ini.

Begini, katanya memulakan cerita. Salah seorang ahli keluarga saya telah memeluk Islam sebelum sambutan Tahun Baru Cina baru-baru ini. Kami sekeluarga merasa serba salah bagaimana untuk menyambut kepulangan berhariraya di rumah kami sebab dia akan membawa isterinya yang beragama Islam sedangkan kami masih kekal dengan agama asalnya. Seluruh keluarga merasa serba salah kerana bagaimana keadaan sambutan Tahun Baru Cina dengan kehadiran ahli keluargga yang beragama Islam.

Terasa sekali betapa seriusnya kerisauan mereka sekeluarga akan situasi begitu.

Namun, perasaan risau dan haru biru keluarga saya kembali ceria dan menyeronokkan kerana segala tanggapan dan persepsi mereka terhadap Isslam terurai satu persatu apabila ahli keluarganya yang telah memeluk Islam telah memperlihatkan sifat dan sikap tolak ansur yang penuh dengan hikmah. Menurut kata guru pelatih tadi, saudaranya hanya makan sayur dan ikan sewaktu jamuan keluarga dan menjadi pemerhati sahaja apabila mereka bermain "poker". Ahli keluarganya yang telah memeluk Islam tidak pula menegah itu dan ini dan lebih bersikap terbuka demi menjaga keIslamannya.

Ternyata, budaya sambutan tahun baru yang menghimpunkan semua ahli keluarga untuk Makan Besar terlaksana jua walaupun hanya mengambil menu ikan dan sayur. Yang penting, kehadiran semua ahli keluarga dalam malam sambutan tahun baru adalah perkara wajib yang menjadi prasyarat dalam budaya sambutan perayaan tersebut.

Saya sempat memberi komen terhadap ceritanya tadi dengan menyebutkan tentang hubungan keluarga setelah memeluk Islam serta etika sosial yang seharusnya berlaku. Pertukaran agama bukanlah lesen untuk kita memutuskan hubungan kekeluargaan yang sedia wujud. Islam tidak menegah ummatnya mengunjungi ibubapa atau ahli keluarganya yang masih belum Islam dan harus mentaati mereka selagi tidak melakukan perkara mungkar. Penghormatan kepada ibubapa adalah dituntut kerana dari merekalah kita berasal.

Syukur rasanya bila mendengar kisah begini secara first hand. Selalunya kisah begini sering diceritakan oleh tokoh-tokoh pendakwah yang sering muncul di TV menceritakan bagaimana saat-saat awal pemelukan agama Islam mereka. Nampaknya, sedikit pengalaman mengaji, berusrah dan membaca membantu diri ini membuat sedikit penjelasan tentang agama Islam kepada para penuntut yang belum Islam.

Semoga diberkati Allah swt keluarga tersebut....Aminnnnn

Read more...

Esok abah ada tak?

>> Tuesday, February 14, 2012

Iffah Nabila, anak ku yang kelima sering menanyakan soalan begitu pada setiap hari Jumaat malam Sabtu. Persolan tentang ada ke tidak abahnya sssering menjadi pokok persolannnya bila tidur berbaring bersamanya sementara menunggu mata terlelap. Dengan cepat saya akan menjawab "Ada"...terggambar kegembiraan ddi wajahnya bila menerima jawapan positif dari ku.


Begitulah rutinnya, sejak akhir-akhir ini kerana sejak kakak-kakaknya tinggal di asrama, Iffah merasa sedikit kesunyian. Kakaknya yang sering diajak berbual, bermain, mandi hujan dan bertengkar berebut barang mainan juga telah berminggu-minggu tinggal di asrama. Isteriku sajalah menjadi tempatnya mengadu itu dan ini, sedangkan abahnya bertugas jauh di utara.

Justeru, persoalan sama ada abahnya masih bersama pada esok hari terasa sangat mustahak untuk diketahui jawapan. Sekurang-kurang, Iffah dapat bercerita peristiwa di Tadika Addinnya, tentang perangai kawan-kawannya di tadika dan semuanya nak diceritakan pada abahnya yang hanya ada disisinya pada hari Sabtu dan Ahad....
Ceritalah Iffah, abah pun rindu pada mu...cerita dunia kanak-kanakmu sering menghiburkan abah....

Read more...
Blog Widget by LinkWithin