Terima kasih atas ingatan dan doa

>> Wednesday, May 16, 2012

16 Mei 2012 dan tahun-tahun yang lepas dan akan datang adalah hari memperingati jasa dan perjuangan kaum guru atau disebut para pendidik. Setiap kali sambutan diadakan baik di peringkat kebangsaan, negeri, daerah, IPG dan sekolah, tema-tema tertentu menjadi intipati ucapan sambutan. Akan disebutlah di sana sini akan sumbangan dan jasa serta pengorbanan kaum guru bersama--sama membangunkan negara. Seringkali juga, tema perayaan hari guru ini mestilah selaras dengan tema kerajaan yang memerintah. Kalau Perdana Menteri mendendangkan transformasi, maka kementerian dan jabatan yang bernaung di bawahnya juga akan membawa irama yang sama. Bak kata pepatah, begitu rentak, begitulah tarinya.

Sajak Allahyarham Usman Awang@Tongkat Warrant tentu menjadi santapan telinga bagi menggambarkan betapa besarnya peranan seorang guru. Dan semestinya pantung berburu ke tanah datar, dapat rusa berbelang kaki akan dipantunkan oleh para pengacara di mana jua sambutan hari guru diadakan. Seterusnya akan dinobatkan beberapa orang tokoh guru yang memberi sumbangan besar dalam tempoh kerjayanya suatu ketika dahulu dengan harapan sumbangannya menjadi motivasi paraguru yang masih berkhidmat. 

Bagi kaum guru, baik secara keseluruhan mahupun individu, hati kecilnya tetap menunggu dengan penuh debar, adakah hari ini bekas murid atau pelajarnya akan menghantar atau mengucapkan jutaan terima kasih serta ucapan selamat hari guru atau terima kasih cikgu!!! Tentu bagi guru-guru di sekolah rendah dan menengah, timbunan hadiah menjadi kayu pengukur penghormatan dan ingatan murid terhadapnya. Biarpun sebatang pen kilometrico, sebuku sabun Lux, sebungkus kertas tisu berharga 50 sen, atau frame gambar dibeli dari Kedai RM2, masih menggambarkan tautan kasih antara murid dan guru.

Syukurlah juga, hari ini, masih ramai bekas pelajar dan rakan sejawatan serta orang awam menghantar kiriman sms mengucapkan hari guru  dan mendoakan kesejahteraan. Macam-macam stail dan gaya ucapan sms diterima dan semuanya saya balas dengan harapan silaturahim akan berterusan.Sememangnya, pada peringkat ini, bukan hadiah atau bunga yang jadi ukuran tetapi ingatan daripada bekas pelajar menjadi ukuran. Semakin matang sesorang itu, semakin terasa akan naluri batinnya perasaan untuk dihormati dan diingati. Mungkin itulah agaknya yang dikatakan oleh Abraham Maslow dalam Teori Keperluan Manusia. Dato Abdullah Hussain juga mengungkapkan perasaan yang sama dalam novel Imam..ingin diingati dan dihormati. Keperluan batiniah lebih beerti bagi insan bergelar guru kerana mereka bukan sekadar menghapuskan buta huruf tetapi membuka akal budi agar menjadi makhluk bernama manusia.

Fikir-fikirkanlah....  

0 comments:

Blog Widget by LinkWithin