Saya dah potong ayam.....
>> Thursday, June 21, 2012
Malam tu dah masuk hari ketiga kami bermalam di masjid kampung tersebut. Kalu dikira bab makan minum memang tak termakan lagi dah sebab daging lembu yang disembelih siang tadi masih banyak. Apatah lagi dengan kerja makan tidur sahaja tentulah perut masih terasa kenyang.
Namun begitu, atas desakan abang Zakaria, salah seorang penduduk kampung tu, saya paksakan diri ini untuk memenuhi jemputannya untuk makan malam di rumahnya. Abang Zakaria ini diperkenalkan kepada saya oleh seorang ustaz di kampung tersebut kerana saya agak berbeza sewaktu solat. Duduk di atas kerusi sedangkan orang lain solat seperti biasa. Kebetulan pula abang Zakaria ini pandai mengurut dan apa lagi kaki kanan saya sering menjadi sasarannya setiap kali selepas solat. Selapas solat subuh sering disusuli dengan tazkirah oleh anggota rombongan. Jadi, kesempatan tersebut digunakan oleh beliau untuk memicit--micit labu betis dan peha saya untuk membetulkan urat-urat. Uhhhh, segar sekali selepas kena urutan.
Rumah abang Zakaria ini tidak jauh dari masjid. Saya dan rakan--rakan serombongan sering menyerahkan baju kotor untuk dibasuh olehnya. Setiap kali permintaan dibuat, kami menyelitkan sejumlah wang sebagai upah. Dia cuba menolak tapi kami tetap memaksanya untuk menerima wang tersebut. Selama tinggal di situ, saya terasa yang dia sangat mesra apatah lagi saya sering memanjangkan rezekinya dengan memberitahu rakan-rakan yang lain untuk khidmat cuciannya atau urutannya. Kerana itu, rezekinya agak" mewah" kerana huluran--huluan yang diterimanya.
Kerana itulah gamaknya, selepas magrib, dia menjemput saya untuk makan malam di rumahnya. Tetapi saya menolaknya kerana lebih selesa makan ramai-ramai di bawah rumah yang menjadi tempat makan rombongan. Jadi setelah selesai solat jamak Magrib Isya, kami pun makan di tempat biasa. Rupa-rupanyanya, sedang kami mula bersiap untuk tidur dengan membentangkan tikar masing-masing, abang Zakaria datang berjumpa saya sambil berkata dia dah sembelih dua ekor ayam kampung untuk meraikan saya dan rakan-rakan. Memandangkan kesungguhannya, saya pun mengajak empat lima orang untuk memenuhi jemputannnya.
Saya tak dapat menolaknya lagi. Kami bertujuh pun meredah gelap malam menuju ke rumahnya. Tiang rumahnya sekitar 15 kaki tinggi dengan hampir 20 mata anak tangga. Rumahnya hanyalah diterangi dengan sebatang lampu kalimantan sepanjang 12 inci yang disangkutkan pada tiang seri rumahnya. Hanya bahagian yang menghadap ke arah kami sahaja yang terang sedangkan bahagian belakang tiangnya agak gelap. Ruangan dapurnya diterangi dengan sebuah pelita ayan. Kipas angin jangan haraplah apatah lagi sofa atau kusyen. Semuanya di atas lantai.
Satu demi satu hidangan dikeluarkan. Bermula kuih bahulu dan wafer, diikuti dengan nasi berlaukkan ayam kampung masak sup Kemboja, diikuti dengan buah laici, buah longan, biji buah teratai yang direbus dicicah dengan gula dan secawan kopi tiga dalam satu. Terasa mewahnya makanan malam itu. Begitulah tingginya semangat meraikan tetamu dari masyarakat Kemboja. Anak bininya menyediakan makanan dalam keadaan samar-samar cahaya, sedangkan kami berada dalam keadaan selesa. Walaupun miskin harta benda, tetapi mereka kaya dengan budi bahasa. Masing-masing tidak percaya dengan hidangan malam itu. Itulah, agaknya yang dikatakan , orang berbudi, kita berbahasa. Ada yang pertama kali makan biji teratai yang direbus. Sungguh enak dan berlemak. Ada ummmphhhh laaa...
0 comments:
Post a Comment