ZA'BA:Patriot dan Pendeta Melayu.....

>> Saturday, May 1, 2010

Entri kali ini saya ingin merakamkan kembali kehebatan perjuangan Pendeta Zaba yang menyumbang idea dan fikiran yang luas dalam tempoh hayat beliau. Pemikiran beliau yang dikaji oleh Adnan Hj Nawang diterbitkan dalam bentuk buku hasil kajian ilmiah beliau sewaktu menuntut di Universiti Malaya. Buku tersebut saya pinjam di Pusat Sumber IPG KTAA pada Rabu lepas dan mungkin dapat dihabiskan bacaannya sehari dua lagi..



Pada ruangan pendahuluan buku tersebut, penulis mengambil petikan berikut sebagai menggambarkan pandangan golongan atasan terhadap kaum bangsanya..



I do not like the idea of the children of Rajas and Chiefs sitting in school side by side with the children of people who were once our slaves. ( "Memorundum on Malay College, Kuala Kangsar",A. Cadlecott to Chief Sectretary, 21 June 1930)



Keprihatinan Za'ba terhadap nasib bangsanya dalam segala hal kehidupan seperti soal kelemahan pendidikan, politik, kemiskinan, agama Islam serta sikap penjajah British, golongan raja dan pembesar Melayu menjadi bahan untuk beliau menulis. Tulisan beliau banyak mengkritik dasar-dasar penjajah terhadap layanan yang diberikan terhadap kaum Melayu dalam hal-hal yang disebutkan tadi.



Antaranya, pihak British sanggup mengeluarkan wang yang besar jumlahnya untuk membeli kapal perang dan meminjamkan wang kepada kerajaan Siam untuk membina jalan keretapi di Siam, tetapi sangat kedekut untuk membelanjakan wang bagi menaik taraf pendidikan bagi negeri-negeri yang dijajahnya. Sedangkan wang tersebut adalah datang dari kekayaan hasil bumi negara ini.



Kajian oleh Adnan Hj Nawang ini membuka minat saya untuk merenung kembali tugas kita para pendidik. Kemahiran menulis harus digunakan untuk menyuarakan berbagai perkara yang boleh membawa pengajaran dan pengalaman kepada generasi berikut. Banyak perkara yang boleh ditulis sepanjang bergelar guru atau pendidik. Jika berkemampuan , hantarkan tulisan anda ke media massa yang banyak terdapat di pasaran masa kini.



Sesungguhnya, bukan itu sahaja kesimpulan yang boleh dibuat apabila telah membaca buku tersebut, malahan banyak aspek dan pemikiran Za'ba boleh dikaji. Perjuangannnya dalam membina tamadun dan mengajak ummah berubah sangat terkesan di hati saya. Diarinya sebagai seorang pejuang sungguh hebat. Dalam menghadapi kesukaran menulis, beliau juga menghadapi tekanan daripada berbagai pihak termasuklah golongan pembesar dan penjajah British sendiri.

Demikian jiwa seorang pejuang, sanggup menghadapi segala kepayahan dan kesukaran dan hasil perjuangannya kita nikmati bersama pada hari ini. Semoga rohnya ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh . Al Fatihah..

0 comments:

Blog Widget by LinkWithin