Yala- Pattani
Ahad, pagi. Badan terasa segar selepas mendapat rehat yang cukup malam tadi ditambah hujan lebat yang menjadikan malam lebih dingin. Menyedut udara pagi di perkampungan Kubang Putat, pinggir pekan Yala di awal pagi sangat mengujakan. Bunyi lembu melenguh, kambing mengembek di awal pagi sambil ayam mengais-kais di bawah pohon-pohon getah mengembalikan nostalgia masa kecilku. Oh, begitulah kampungku di Batu Kurau. Lembu kambing dilepas berkeliaran, dan najisnya bertaburan di jalan-jalan.
Sementara kedua-dua anakku masih melayan dingin pagi, aku mengajak Ustaz mengelilingi kampungnya sambil memerhati suasana aktiviti pagi penduduk kampung bergerak ke sana kemari. Memang tanahnya subur, buktinya pkok getah tumbuh dengan subur dan semak-samun juga hijau merimbun. Turut ditunjukki adalah pondok Kubang Putat yang sudah lama kematian tuan gurunya. Kini pondok tersebut hanya dihuni oleh warga tua.
Jam sepuluh pagi, setelah selesai bersarapan pagi dengan pulut kelapa, perjalanan hari ini adalah menuju ke Wilayah Pattani. Jaraknya sekitar 40km dan mungkin mengambil masa satu jam sahaja. Namun cubaan untuk sampai awal tergendala bila tayar kereta terkena paku sewaktu melintasi pos tentera. Hari Ahad pulak. Banyak kedai tutup. Namun begitu, berkat kesabaran, terdapat sebuah kedai bengkel kereta dibuka walaupun hari cuti. Selesai masalah dengan bayaran 50 Bath (RM5).
Masih ada separuh lagi perjalanan ke bandar Pattani bila kami berhenti rehat di Maahad Tahfiz yang baru beroperasi hampir setahun yang lalu. Mudirnya, Ustaz Ahmad adalah bapa mertua kepada Ustaz Zahari. Jemaah surau taman kami pernah mengirimkan sejumlah wang bagi usaha menambah bangunan baru bagi memenuhi pertambahan bilangan pelajar. Lebih mengerunkan, bila ditunjukkan tempat bom meletup pada tiga hari lepas (11/9/2013) yang menyebabkan beberapa kematian di pihak tentera Thailand. Lokasinya pulak hanya sekitar 500 meter dari maahad tersebut..perghhhh!!..
Kami meneruskan baki perjalanan ke bandar Pattani sebelum singgah di masjid bersejarah; Masjid Krue Sae atau Krisek. Memang terpegun dan terasa aura kehebatannnya. Struktur binaan masjid yang ringkas tetapi ternyata kukuh telah memahat sejarah yang mendalam di hati umat Islam di wilayah ini. Banyak nyawa syuhada telah melayang di sini dalam siri perjuangan rakyat Pattani menentang penjajahan pihak Siam. Banyak artikel ditulis mengenai masjid ini. Ia juga menjadi salah satu objek visata jika berkunjung ke wilayah Pattani Darus Salam.
Akhirnya menjelang Zohor (12.15 tghari waktu Thailand) kami pun sampai ke bandar Pattani. Masjid Raya Pattani yang sering ku lihat dalam blog-blog terdahulu menjadi tumpuan utama kami. Lega dapat bersolat dan beriktikaf di masjid yang indah dan bertuah ini. Masjidnya cantik dan berada di tengah-tengah bandaraya Pattani. Warna kuning keemasan dipilis pula dengan warna-warna kehijauan yang menggamit rasa kedamaian.
Wah, kunjungan ke Pattani ni semakin indah bila dijemput ke majlis jamuan kenduri kahwin salah seorang ahli jemaah masjid tersebut. Majlisnya sederhana tetapi layanannya sangat memuaskan. Namun kepenatan menghalang diri untuk makan dengan banyak. Air dan buah rambutan sahaja menjadi tumpuan hidanganku.
Sementara menanti cuaca panas redup, terpaksalah berbaring dulu di Masjid Raya Pattani.
Dalam pada itu, terkenang kematian Imam Yaakub yang juga salah seorang imam Masjid Raya di akhir Ramadan yang lalu. Beliau ditembak "penjahat" sewaktu berbelanja di bandar Pattani. Begitulah, kisah bom, tembak, mati, cedera, siapa tembak adalah perkara biasa di kalangan rakyat Pattani. Namun begitu, ia sikit pun tidak menghalang rutin harian penduduk Pattani meneruskan kehidupan mereka.
Read more...