Daerah baru untuk sejenak mungkin.....
>> Monday, August 15, 2011
Alhamdulillah, itulah lafaz syukur kehadrat Ilahi bila surat pertukaran telah sampai ke tangan tempohari. Perutusan dari Cyberjaya ini mengesahkan pertukaran tempat kerja dari IPGKTAA ke IPGK Tuanku Bainun, Bukit Mertajam. Lantas terbayang suasana baru yang akan ditempuh untuk suatu jangkawaktu yang belum diketahui. Lumpur dan selut bukanlah asing buat kami sekeluarga. Malahan antara hanyir lumpur itulah saya membesar.
Awal Ramadan bersamaan dengan 1 Ogos, dengan berkereta, saya membelah keheningan pagi. Melepasi tol Juru, hati sedikit risau kerana banyak kereta yang juga menghala ke utara. Namun, bila melepasi tol Kulim - Butterworth, alangkah terpesona hati ini bila melihat kilauan hijau kuning sawah padi yang terhampar luas. Lapang dan mengasyikkan. Sudah lama suasana begini telah ditinggalkan. Terasa akan nostalgia sewaktu zaman kanak-kanak. Membanting tulang di bendang yang sepetak dua bersama ibu , ayah dan adik beradik yang lain.
Kini, saya berpeluang untuk merasai kembali suasana penuh syahdu itu. Waktu tengahari sewaktu pulang ke bilik penginapan, seronok melihat seorang dua kanak-kanak membawa serkap untuk menangkap anak keli dan haruan. Dan dari tengah bendang, asap berkepul-kepul naik ke udara dari longgokan jerami yang dibakar. Bau asapnya juga sungguh mengasyikkan.
Terima kasih Ya Allah atas pertukaran ini.
0 comments:
Post a Comment