Rendang Kerang Pedas
>> Friday, December 11, 2009
Sekali lagi saya ingin menulis pasal resepi atau menu yang menjadi hidangan zaman saya kecil-kecil dulu. Maknanya zaman sekolah rendah , sekolah menengah dan musim-musim masih mempunyai ibu kandung. Kalau minggu lepas, saya menulis tentang ikan kedera dan gulai lemak pisang muda, kali ini saya ceritakan resepi yang amat saya minati sejak dulu hingga kini.
Rendang kerang pedas adalah menu yang sering juga menghiasi hidangan kami sekeluarga. Agaknya kenapa begitu ? Selain sedapnya masakan ibu, menu ini didorong oleh keadaan sosio ekonomi keluarga kami. Harga kerang yang murah adalah faktor utama kenapa kerang sering menjadi menu utama kami sekeluarga. Harga sekati kerang pada masa itu sekitar 50 sen sahaja. Jadi untuk menampung keluarga besar seperti ini, kami memerlukan sekitar dua hingga tiga kati kerang mentah. Jadi kalau sekati 50 sen, tiga kati baru sekitar 1.50 sen. Berbaloilah buat kami sekeluarga.
Arwah emak akan mengambil daun kunyit untuk dihiris halus-halus. Kerang direbus terlebih dahulu dan diambil isinya. Kalau tiga kati kerang , kini tak tahulah tinggal berapa kati isinya. Tak kisahlah, tapi gatal juga tangan bila terkena air rebusan kerang yang agak gatal. Selain daun kunyit, emak akan racik batang serai nipis-nipis, cili padi ditumbuk dan kerisik kelapa. Selebihnya, emak akan masukkan pati santan bila waktu memasak nanti. Memang enak bila makan selepas solat zohor nanti.
Rendang pedas kerang ni tidak memerlukan kuah yang banyak. Kalau kuahnya banyak, kurang enak rasanya. Yang sedap adalah rempah ratusnya tadi yang telah bergaul rapat bersama isi kerang tadi. Rempah ratus tadilah yang digaul bersama dengan nasi panas tadi. Teramatlah sedapnya zaman tu....Menu nilah yang makin terasa lebih sedapnya bila bulan puasa menjelang. Hampir setiap hari, resepi menjadi hidangan kami. Tengoknya saja dah pecah air liur. Menu yang dah bertukar kehijau-hijauan ni dah tak sabar untuk diratah. Kalau boleh masa tu, semua ana yang punyalah!!!!!
Seperti yang saya kata tadi, bukan sahaja sedap, bahkan bahannya murah sesuai dengan pendapatan bapa masa itu. Harga getah sekerap sekitar 40 sen hingga 60 sen sekati pada masa tu. Jadi kata orang hasil orang kampung hanya padan dengan harga kerang dan garam jer. garam sekati sekitar 20 sen hingga 30 sen, gula 65 sen, tepung 45 sen. Tapi saya tak tahu harga beras, sebab kami usahakan bendang. jadi tak perlulah kami beli beras.
Tentu lebih sedap jika makan nasi ada ulam kan!!. Boleh dikatakan kami sekeluarga makan ulam jering, petai, kerdas dan ulam -ulam daun serta tumbuhan di hutan. Antaranya pucuk ubi, pucuk paku, dan arwah bapa sangat suka makan umbut batang tepus gajah. Berselera sekali kalau dia dapat ulam umbut batang tepus gajah. Bak kata orang sekarang, menjilat jari uuu!!!.
Hingga kini menu tinggalan arwah emak saya masih saya minati. Cuma harga kerang dah mencecah 2.50 sen sekilo dan saiz kerangnya pun dah agak kecil. Tak macam dulu, besar-besar saiznya. Tapi begitulah, anak-anak kurang suka, itu menu abah, katanya. Jadi kami laki bini jugalah tukang masak dan tukang menghabiskannya. Bebudak macam biasa juga, dok cari ayam masak merah juga.....adalah dicuit sikit-sikit menu abahnya tuuu...
Sekianlah adanya.......
1 comments:
ayam masak merah mmg best
Post a Comment