Penyayang dalam pendidikan

>> Monday, December 7, 2009

Demikian tajuk buku yang sedang saya hadamkan kini. Buku ni tidaklah tebal sangat, hanya mengandungi dua tajuk besar. Secara peribadi saya sangat mengenali penulis (Hj Mahyuddin Hj Shaari) buku ini yang juga bekas ustaz saya sewaktu di sekolah menengah dulu. Lagipun dia sepupu saya dan saya kini lebih biasa memanggilnya sebagai abang sahaja.

Kunjungannya ke Jerantut pada 5 Dis 2009 yang lalu telah menemukan saya dengannnya. Terakhir saya berjumpa beliau sewaktu kunjungannya terhadap saya di HUKM lapan bulan yang lalu. Sebagai cenderahati, buku tersebut dihadiahkan untuk bacaan dan menambah koleksi bahan bacaan saya.

Setakat hari ini, saya telahpun menghabiskan bab pertama buku ini. Kupasan yang bersahaja dengan memulakannya dengan mengaitkan perasaan kasih dan sayang berpunca daripada sifat Allah swt melalui Asmaul Husna; Ar Rahman dan Ar Rahim. Dari situ, beliau mengajak kita menekuni kembali sejauh mana rasa sayang kita dalam melaksanakan naluri kasih sayang dalam pendidikan. Persoalan dikupas dengan teliti dengan mengambil pengalamandan pendapat daripada sarjana pendidikan Timur, Barat dan Islam.

Buku ini juga menggariskan beberapa pendekatan bersepadu dalam memberi inspirasi kepada para guru khasnya guru pra sekolah dan guru tahap satu dalam pelaksanaan P&P. Golongan guru ini penting kerana mereka barisan depan yang memperkenalkan murid-murid mengenai institusi persekolahan..

Secara jujur, saya merasa segar kembali bila membaca buku ini. Selain bermuhasabah terhadap diri yang sudah bergelar guru sejak 20 tahun yang lalu malah menjadi inspirasi buat saya dalam kuliah bersama guru-guru pelatih. Alangkah indahnya, jika nilai kasih sayang beriring pula dengan nawaitu untuk beribadah melalui wadah pendidikan, hidup ini akan lebih bermakna. Setidak-tidaknya kerja buat kita hari ini bukan sekadar makan gaji tetapi sebagai bekalan masa depan di akhirat.

Kepada guru pelatih, korbankanlah harga sepinggan nasi ayam dan segelas teh ais untuk memiliki buku kecil ini. Natijah sangat berkesan ke arah kemenjadian seorang guru.

Sekianlah adanya....

0 comments:

Blog Widget by LinkWithin