Ole-ole buat PLPS KEMAS 2006 (3)

>> Saturday, December 12, 2009

Kalau ada jarum yang patah,
jangan disimpan dalam peti,
kalau ada silap dan salah,
jangan disimpan dalam hati.

Pisang emas bawa belayar,
masak sebiji di atas peti,
hutang emas boleh dibayar,
hutang budi dibawa mati.

Kalau ada sumur di ladang,
boleh hamba tumpang mandi,
kalau ada umur panjang,
boleh kita jumpa lagi.

tuai padi antara masak,
esok jangan layu-layuan,
intai kami antara nampak,
esok jangan rindu-rinduan....


Sekianlah adanya......

Read more...

Ole-ole buat PLPS KEMAS 2006 (2)

Apabila terpelihara mata,
sedikit cita-cita.

apabila terpelihara kuping,
khabar yang jahat tidaklah damping.

apabila terpelihara lidah,
nescaya dapat daripadanya faedah.

bersungguh-sungguh engkau memelihara tangan,
daripada segala berat dan ringan.

Hati itu kerajaan dalam tubuh,
jikalau zalim segala anggota akan roboh.

apbila dengki sudah bernanah,
datanglah daripadanya beberapa anak panah.

mengumpat dan memuji hendaklah fikir,
disitulah banyak orang tergelincir.

pekerjaan marah jangan dibela,
nanti hilang akal di kepala.

jika sedikitpun berbuat bohong,
boleh diumpamakan mulutnya iku pekung.

Gurindam oleh:
Almarhum Raja Ali Haji

Read more...

Ole-ole buat PLPS KEMAS 2006

Penakik pisau raut,
Ambil galah sebatang lintabung,
seludang dijadikan nyiru,
setitik dijadikan laut,
sekepal dijadikan gunung,
alam terbentang dijadikan guru.

Sultan Muda dari Lampung,
memikul cangkul dengan bajak
singgah minum di lepau nasi,
sudah sekah tempat bergantung,
telah patah tempat berpijak,
kemana hendak digapai lagi.

Korek perigi di parit seberang,
tepi parit tumbuh mengkudu,
berselang dengan pohon puding,
hidup subur kanan dan kiri,
tuan pergi dagang seorang,
tiada saudara tempat mengadu,
tiada saudara tempat berunding,
pandai-pandailah membawa diri...


Sekianlah adanya.......

Read more...

Rendang Kerang Pedas

>> Friday, December 11, 2009

Sekali lagi saya ingin menulis pasal resepi atau menu yang menjadi hidangan zaman saya kecil-kecil dulu. Maknanya zaman sekolah rendah , sekolah menengah dan musim-musim masih mempunyai ibu kandung. Kalau minggu lepas, saya menulis tentang ikan kedera dan gulai lemak pisang muda, kali ini saya ceritakan resepi yang amat saya minati sejak dulu hingga kini.

Rendang kerang pedas adalah menu yang sering juga menghiasi hidangan kami sekeluarga. Agaknya kenapa begitu ? Selain sedapnya masakan ibu, menu ini didorong oleh keadaan sosio ekonomi keluarga kami. Harga kerang yang murah adalah faktor utama kenapa kerang sering menjadi menu utama kami sekeluarga. Harga sekati kerang pada masa itu sekitar 50 sen sahaja. Jadi untuk menampung keluarga besar seperti ini, kami memerlukan sekitar dua hingga tiga kati kerang mentah. Jadi kalau sekati 50 sen, tiga kati baru sekitar 1.50 sen. Berbaloilah buat kami sekeluarga.

Arwah emak akan mengambil daun kunyit untuk dihiris halus-halus. Kerang direbus terlebih dahulu dan diambil isinya. Kalau tiga kati kerang , kini tak tahulah tinggal berapa kati isinya. Tak kisahlah, tapi gatal juga tangan bila terkena air rebusan kerang yang agak gatal. Selain daun kunyit, emak akan racik batang serai nipis-nipis, cili padi ditumbuk dan kerisik kelapa. Selebihnya, emak akan masukkan pati santan bila waktu memasak nanti. Memang enak bila makan selepas solat zohor nanti.

Rendang pedas kerang ni tidak memerlukan kuah yang banyak. Kalau kuahnya banyak, kurang enak rasanya. Yang sedap adalah rempah ratusnya tadi yang telah bergaul rapat bersama isi kerang tadi. Rempah ratus tadilah yang digaul bersama dengan nasi panas tadi. Teramatlah sedapnya zaman tu....Menu nilah yang makin terasa lebih sedapnya bila bulan puasa menjelang. Hampir setiap hari, resepi menjadi hidangan kami. Tengoknya saja dah pecah air liur. Menu yang dah bertukar kehijau-hijauan ni dah tak sabar untuk diratah. Kalau boleh masa tu, semua ana yang punyalah!!!!!

Seperti yang saya kata tadi, bukan sahaja sedap, bahkan bahannya murah sesuai dengan pendapatan bapa masa itu. Harga getah sekerap sekitar 40 sen hingga 60 sen sekati pada masa tu. Jadi kata orang hasil orang kampung hanya padan dengan harga kerang dan garam jer. garam sekati sekitar 20 sen hingga 30 sen, gula 65 sen, tepung 45 sen. Tapi saya tak tahu harga beras, sebab kami usahakan bendang. jadi tak perlulah kami beli beras.

Tentu lebih sedap jika makan nasi ada ulam kan!!. Boleh dikatakan kami sekeluarga makan ulam jering, petai, kerdas dan ulam -ulam daun serta tumbuhan di hutan. Antaranya pucuk ubi, pucuk paku, dan arwah bapa sangat suka makan umbut batang tepus gajah. Berselera sekali kalau dia dapat ulam umbut batang tepus gajah. Bak kata orang sekarang, menjilat jari uuu!!!.

Hingga kini menu tinggalan arwah emak saya masih saya minati. Cuma harga kerang dah mencecah 2.50 sen sekilo dan saiz kerangnya pun dah agak kecil. Tak macam dulu, besar-besar saiznya. Tapi begitulah, anak-anak kurang suka, itu menu abah, katanya. Jadi kami laki bini jugalah tukang masak dan tukang menghabiskannya. Bebudak macam biasa juga, dok cari ayam masak merah juga.....adalah dicuit sikit-sikit menu abahnya tuuu...

Sekianlah adanya.......

Read more...

Penyayang dalam pendidikan

>> Monday, December 7, 2009

Demikian tajuk buku yang sedang saya hadamkan kini. Buku ni tidaklah tebal sangat, hanya mengandungi dua tajuk besar. Secara peribadi saya sangat mengenali penulis (Hj Mahyuddin Hj Shaari) buku ini yang juga bekas ustaz saya sewaktu di sekolah menengah dulu. Lagipun dia sepupu saya dan saya kini lebih biasa memanggilnya sebagai abang sahaja.

Kunjungannya ke Jerantut pada 5 Dis 2009 yang lalu telah menemukan saya dengannnya. Terakhir saya berjumpa beliau sewaktu kunjungannya terhadap saya di HUKM lapan bulan yang lalu. Sebagai cenderahati, buku tersebut dihadiahkan untuk bacaan dan menambah koleksi bahan bacaan saya.

Setakat hari ini, saya telahpun menghabiskan bab pertama buku ini. Kupasan yang bersahaja dengan memulakannya dengan mengaitkan perasaan kasih dan sayang berpunca daripada sifat Allah swt melalui Asmaul Husna; Ar Rahman dan Ar Rahim. Dari situ, beliau mengajak kita menekuni kembali sejauh mana rasa sayang kita dalam melaksanakan naluri kasih sayang dalam pendidikan. Persoalan dikupas dengan teliti dengan mengambil pengalamandan pendapat daripada sarjana pendidikan Timur, Barat dan Islam.

Buku ini juga menggariskan beberapa pendekatan bersepadu dalam memberi inspirasi kepada para guru khasnya guru pra sekolah dan guru tahap satu dalam pelaksanaan P&P. Golongan guru ini penting kerana mereka barisan depan yang memperkenalkan murid-murid mengenai institusi persekolahan..

Secara jujur, saya merasa segar kembali bila membaca buku ini. Selain bermuhasabah terhadap diri yang sudah bergelar guru sejak 20 tahun yang lalu malah menjadi inspirasi buat saya dalam kuliah bersama guru-guru pelatih. Alangkah indahnya, jika nilai kasih sayang beriring pula dengan nawaitu untuk beribadah melalui wadah pendidikan, hidup ini akan lebih bermakna. Setidak-tidaknya kerja buat kita hari ini bukan sekadar makan gaji tetapi sebagai bekalan masa depan di akhirat.

Kepada guru pelatih, korbankanlah harga sepinggan nasi ayam dan segelas teh ais untuk memiliki buku kecil ini. Natijah sangat berkesan ke arah kemenjadian seorang guru.

Sekianlah adanya....

Read more...

Resepi gulai lemak pisang muda....

Sengaja saya menulis kali ini berkenaan dengan gulai lemak pisang muda. Bukan apa, ramai generasi baru tak tahu betapa sukarnya kehidupan suatu ketika dahulu. Kalau generasi lama menyebutkan zaman Jepun makan ubi kayu, mungkin gulai lemak pisang muda lebih baik. Tetapi generasi muda kini, contohnya anak-anak saya pun tak minat nak makan gulai kegemaran saya ini.

Bagi saya sekeluarga pada waktu kecil-kecil dulu, gulai pisang muda nilah yang paling saya sukai. Masakan ibu saya yang simple tapi ummhhnya terasa hingga hari ini. Pisang muda yang digunakan oleh arwah emak untuk di masak gulai lemak ni biasanya orang kampung saya panggil pisang bakar. Saiz buahnya sederhana besar cuma bezanya kalau dah masak kulitnya tetap berwarna hijau, apatah lagi kalau ia masih muda. Dalam setandan biasanya dalah 12 sikat atau sisir. Biasanya untuk keluarga ramai macam keluarga saya, emak akan menyiang hampir dua sikat untuk hidangan tengah hari. Masakan emak cukup mudah, macam orang masak gulai lemak cili padi. Emak akan tumbuk bawangmerah, cabai/cili padi, dan ikan bilis serta kunyit hidup serentak. Kelapa yang siap diparut dengan kukur akan diperah dan akan diambil santan dan patinya. Lebih istemewa, arwah emak akan menggunakan periuk belanga yang agak besar untuk masakan ini. Dia tak guna periuk besi macam sekarang. Dapur kami hanyalah dapur tanah yang dihidupkan dengan kayu api batang getah.

Yang pasti, hidangan kami sekeluarga tentu cukup menyelerakan. Waktu makan tetap selepas solat Zohor . Tak boleh awal dan tak boleh lewat. Seingat saya, jarang kami makan nasi tengahari sebelum solat Zohor. Bapa akan mula ceduk dulu, lepas tu bersimpang siurlah tangan-tangan kami merebut rezeki yang ada. Sudah pasti ikan kedera menjadi peneman kepada gulai pisang tadi. Jika berlebih pun gulai pisang tadi, petang nanti akan ada tangan-tangan yang akan menyeluk kembali belanga emak untu diratah begitu sahaja. Menjilat jari yopppp...

Waktu-waktu cuti begini, saya sering dapat makan tengahari bersama keluarga. Bila diminta agar dimasak gulai pisang, isteri saya akan membeli pisang emas yang muda untuk dimasak seperti masakan ibu saya. Alhamdulillah, isteri saya dapat menemui resepi masakan arwah ibu saya walaupun dia tidak pernah mengenali ibu saya. Tetapi, malangnya, anak-anak saya tidak menggemari gulai pisang tersebut. Mereka lebih tertumpu pada ayam masak merah atau lauk yang lain. Puas juga saya menceritakan inilah menu abah masa kecil-kecil, mereka hanya tersenyum sinis. Alaihai anaklah abah!!!!, dicubitlah sikit...... itu gulai abah, kita orang.......he,he,he.

Sekianlah adanaya.....

Read more...

Kamikan andragogi.....

>> Saturday, December 5, 2009

Untuk entri baru ni, saya suka mencatatkan sedikit luahan guru-guru baru KDC yang sedang berkursus intensif di bumi Afzan. Sewaktu berkuliah bersama mereka, saya lebih banyak menggunakan beberapa helai kertas sebagai bahan p&p. Sebahagian besar kertas-kertas aktiviti ini saya dapat sewaktu menghadiri kursus kreativiti dalam P&P. Secara amnya, saya dapati mereka tidak merasa bosan dengan teknik yang saya gunakan. Mungkin sedikit menyeronokkan, unsur kecindan antara saya dan mereka sering mengiringi P&P saya.

Namun begitu, sewaktu memberi "take five", saya memberi peluang untuk sesiapa memberi respon terhadap sebarang masalah yang berlaku setakat hari tersebut. Sorang demi sorang meluahkan isi hati. Ada yang mengadu tentang jadual waktu yang padat, ada yang kata masa kuliahnya panjang dan membosankan, ada yang kata pihak HEP agak slow dalam melayani kebajikan pelajar dan yang paling menarik adalah komen tentang kesantunan bahasa para pensyarah!!!

Saya agak teruja untuk mengetahui kisah sebenar yang dimaksudkan tentang kesantunan berbahasa tersebut. Lalu diceritakan gelagat seorang dua pensyarah yang menganggap mereka sebagai budak belasan tahun. Gunakan bahasa yang kasar dan memberi tugasan yang agak luar biasa banyaknya. Mereka diminta menyiapkan 61 buah lukisan dalam masa 3 hari sedangkan 3 hari tersebut(Jumaat, Sabtu, Ahad) adalah tempoh umat Islam merayakan Hari Raya Haji!!!. Kamikan ada keluarga yang juga perlu dilayan sempena cuti Hari Raya. Mana istilah andragoginya??? Terkedu juga saya dibuatnya!!

Selaku mantan Penyelaras KDC Kemas, saya menjelaskan beberapa perkara. Bagi komen mengenai jumlah jam yang banyak dan padat , saya nyatakan jumlah jam tersebut tertakluk kepada struktur pengajian. Jika tidak cukup jumlah jamnya, diploma kalian tidak diiktiraf!! Keadaan yang membosankan tu, terpulanglah pada teknik dan pendekatan yang digunakan pensyarah dan faktor minat pelajar tu sendiri.

Bagi yang berkaitan dengan kebajikan, saya syorkan mereka menghantar aduan kepada Peti Aduan jika merasa "takut" atau segan untuk menyatakan kepada penyelaras kursus. Pelajar tidak harus takut untuk menyuarakan aduan asalkan mereka tahu had dan batasnya.

Cuma bagi aduan yang berkaitan dengan tentang pensyarah saya suarakan pada KJlah untuk menanganinya. Kalu setakat rakan-rakan dari Jabatan Ilmu Pendidikan, bolehlah saya soksek-soksekkan, tapi kalu pensyarah dari jabatan lain, biarlah ia ditangani oleh KJ pulak.

Seperkara lagi, hanya sabarlah perkataan terbaik yang boleh saya syorkan!!!!!

Sekianlah adanya...

Read more...

Kuat berderak.......

>> Friday, December 4, 2009

Waktu cuti-cuti ni, terasa rindu pada guru-guru pelatih yang pulang bercuti di kampung masing-masing. Kalau dulu waktu cuti, saya sibuk juga nak pergi bercuti sambil ziarah sedara mara. Tapi keadaan waktu ini tidak mengizinkan. Bukan apa, kenderaan kecil dan anak-anak ramailah katakan. Sabau je lah..

Cuma bila Fija PISMP PraBMMuzik hantar sms bunyi, En ni..bertongkat pn kuat berderak jugok..g situ g sini..tabik la pija utk en!hehe,

lantas saya tanya derak gapo? Tabik gapo dio?

Dia jawab; Ada la ore oyak ko saya..walaupn en ni b'tngkat tpi en pegi jugak mlawat arwah en faizal ai 2 kn?tbik la coz org laen yg mampu n segar bugar pn xpegi.

Cuma saya jawab: itupun mujur ada orang nak bawa. Merasalah 3 hari 3 malam pakai baju dan seluar tu ler...

Fija jawab pulak; asal mandi dah ler..hehe.

Hilang rindu pada Fija yang pandai masak-masak tu..

Sekianlah adanya....

Read more...

Resepi Ikan Kedera ikan belanak

Tak pastilah sama ada anda tahu atau tidak spesis ikan kedera atau ikan belanak. Nama ikan pun bukan semua saya tahu tapi bagi saya spesis kedera dan belanak ni bukan setakat tahu tapi sangat mempengaruhi kehidupan dan penghidupan kami sekeluarga. Bagi keluarga besar seperti saya , soal makanan dan apa yang hendak dimakan lebih penting daripada memilih makanan apa yang hendak dimakan.

Keluarga saya agak besar. Termasuk ibubapa dah jadi 12 orang, atau satu pasukan bola sepak. Anggota keluarga lelaki saja dah 10 orang dan semuanya kuat makan. Justeru belanja makan dan lauk pauk sering menjadi persoalan utama kami. Bapa sekuat mungkin mencari sumber rezeki bagi membesarkan anak. Macam-macam kerja bapa lakukan buat membesarkan kami semua.

Demikianlah kenangan 46 tahun yang lalu di rumah kami di Kampung Simpang 4, Batu Kurau, Perak. Jadi bila musim-musim hujan begini, ingatan saya teringat suasana di kampung sewaktu sedang membesar sebagai budak kampung. Ikan kedera masin adalah resepi yang akan dihidangkan sepanjang waktu, pagi makan nasi sejuk dengan ikan kedera, tengahari pun ada ikan kedera, malam pun ada ikan kedera. Ikan kedera menjadi "ikon" setiap kali makan dan hidangan. Saya kurang pasti harga ikan kedera pada masa itu, maklumlah bukan kita yang mengeluarkan ongkosnya. Cuma saya diminta membelinya di kedai runcit dengan berbekalkan wang seringgit dua. Tak pernah pun disuruh membeli sekati dua. Sekadar untuk sekali dua goreng, kerana masalah kewangan dan juga tiada peti sejuk pulak.

Lebih ummpphh makan ikan kedera gorengnya pada awal pagi, orang kampung saya sebut "berserok", dengan nasi panas yang masih berasap, kami akan mencubit ikan kedera yang digoreng garing dan menggaulkannya dengan nasi yang tengah berasap tadi. Peerrghh, betul-betul "kick" punya. Aroma bau gorengnya cukup menyelerakan . Dari jauh kita boleh mencium baunya. Bak kata orang, mak mertua lalu pun tak sedar!!!!. Lebih sedap jika berulamkan cabai/cabe burung hijau yang dipatah dan dilenyek dalam suapan nasi tadi. Mak oii, Tuhan yang tahu betapa sedapnya "berserok" masa tu. Kalu setakat KFC tu jilat jari, mungkin penangan ikan kedera sampai jilat siku!!!Ada yang lebih "kaw-kaw" bila nasi panas tadi digaul pula dengan minyak yang dibuat menggoreng ikan kedera tu tadi. Maknanya, bertambahlah nikmatnya weh!!! setakat "scot emulsion" tu boleh challengelah.!!

Memang begitulah keadaannya hingga kini. Ramai anak Batu Kurau yang berhijrah ke seluruh Semenanjung Malaysia ni akan menjadi ikan kedera barang sekilo dua sebagai ole-ole bila kembali ke tempat kerja. Musim lepas raya dan cuti sekolah akan menjadikan ikan kedera masin buruan ramai. Ada yang nak bawa balik Ke Pahang, Johor, Kuala Lumpur dan banyak lagilah destinasinya . Ada yang nak bagi jiran rasa, ada nak bagi bos rasa, ada nak bagi anak-anak rasa, anak nak bagi mak mertua rasa dan macam-macam lagilah naknya. Harga ikan kedera sekarang pun boleh tahan juga, mencecah hampir RM20.00 juga weh. Beza ikan kedera dan ikan belanak ni pada bahagian kepalanya saja. Bodi sama jer. Macam ikan patin muncung dengan patin buah, bezanya pada kepalanya saje, bodi serupa jer..

Sebenarnya bukan tiada ikan masin yang lain yang mewarnai hidup saya waktu kecil. Ada ikan gelama, ikan duri, ikan sepat siam, ikan tamban tapi semuanaya tak boleh lawan ikan kedera. Sebab itulah, jika tak dapat balik kampung, sedara mara yang datang berkunjung ke rumah akan mengirimkan ole-ole ikan kedera barang sekor dua.

Terima kasih buat abang Zaaba yang bawa balik Pahang ole-ole istemewa tu....

Sekianlah adanya.....

Read more...
Blog Widget by LinkWithin