DG 48: Antara rezeki, prestasi dan kena maki...
>> Thursday, May 24, 2012
Itulah polimik sikit masa lalu bila kumpulan laluan cepat(fast track) pensyarah untuk" bakul 3" diumumkan. Ada yang bernafas lega kerana tersenarai dalam kelompok terpilih. Namun ramai yang mengeluh kesal kerana tidak tersenarai dalam kumpulan kali ini. Bila hal ini terjadi, maka berbagai tafsiran dihebahkan merata ceruk dengan berbagai medium penyampaian. Dan sudah tentulah tafsiran dan hujahan dari mulut ke mulut menjadi kisah ini menjadi lebih menarik. Ini kerana setiap kali isu ini dibawa atau dihighlightkan, mesti ada info baru, bak kata orang, "improvisas"i. Setiap orang akan menambah dari seinci ke dua inci, ke tiga inci dan akhirnya membengkak di hati bagi kelompok yang belum terpilih untuk masuk gred DG 48.
Bagi kelompok yang mendapat gred tersebut, mengatakan itu rezeki walaupun baru menjejak kaki di kampus yang bergelar IPG. Dikatakan mereka ini terpilih kerana markah prestasi mereka dikira sejak bertugas di sekolah lagi. Keadaan ini menjengkelkan kalangan mereka yang sudah berakar umbi di IPG tetapi masih belum bergerak ke DG tersebut atas alasan markah prestasi rendah. Maka pihak atasanlah yang kena maki kerana kecenderungan memberi markah yang rendah berbanding pihak sekolah yang memberi markah yang tinggi kepada guru-guru mereka.
Sesungguhnya gred 48 sangat berbaloi berbanding gred 52 atau 54. Ini kerana pada gred ini, mereka yang bergerak dari 44 ke 48, akan menerima kadar elaun yang lebih tinggi untuk elaun rumah dan elaun keraian. Khabarnya, hingga mencecah RM1250.00 dan tentulah gaji hakiki juga turut bertambah. Dengan elaun-elaun baru tu, dah boleh berangan-angan untuk menjadi Ketua Jabatan dan tentu boleh meninjau mobil-mobil baru!!!!
Kantin, kafeteria, lobi, bilik jabatan hatta di bilik kuliah pun dibawa isu 48 ni. Ada kalangan rakan akan menyalahkan itu dan ini kerana tidak terpilih ke gred 48. Pantang salah sikit, pihak atasan dicap dengan berbagai nama bagi melepaskan perasaan tak puas hati kerana terlepas rezeki 48.
Bagi yang reda dengan keadaan ini lebih merasakan bahawa jika itu sudah rezeki orang, apa perlu disedihkan sangat. Tak perlu bising-bising kerana rezeki bukan dalam bentuk wang ringgit sahaja. Kesihatan, anak-anak, isteri, ketenangan, keberkatan dan boleh terus bernafas adalah juga rezeki yang diberi Allah swt.
Read more...