Kampung macam ini dah kira macam taraf muzium!!!!.Itulah antara komen awal salah seorang anggota rombongan kami. Komen beliau itu tersasul keluar bila kami berjalan-jalan sekitar kampung tempat kami bermukim selama tiga malam. Suasana infrastrukturnya masih ketinggalan jauh di belakang. Jalan kampung masih bertanah merah, air dipam dengan telaga pam, malam masih diterangi pelita ayan dan bekalan kuasa elektrik hanya ada di masjid yang dijana oleh generator.
Kehidupan malamnya macam Malaysia diawal tahun 60an atau 70an. Generasi hari ini tidak merasa kegelapan malam, sunyinya bermula setelah selesai solat Isya. Masing-masing pulang ke rumah meredah kegelapan malam dengan bantuan lampu picit. Tiada lampu jalan menerangi kegelapan suasana. Kelihatan kerlipan lampu pelita ayan meliuk lintuk ditiup angin malam.
Indahnya suasana kampung dapat dirasai di sini. Kedudukan rumah yang berdekatan antara satu sama lain mmembayangkan suasana kekeluargaan yang semangat gotong royong yang kuat. Kampung-kampung dinaungi pokok--pokok kelapa yang menghijau, pohon mempelam, cermai , dan pokok-pokok buah gajus yang tumbuh dengan subur. Sewaktu kunjungan ini, Kemboja masih dalam musim basah.
Terdapat hujan yang turun di sana sini dan penduduk baru selesai mengerjakan tanaman padi. Anak-anak padi tumbuh menghijau dengan bekalan air yang banyak. Sememangnya, bumi Kemboja bertanah pamah dan sesuai dijadikan sawah bendang saujana mata memandang. Keluasan sawah sukar diukur kerana boleh dikatakan sepanjang jalan adalah sawah bendang. Setiap rumah, memiliki beberapa ekor lembu atau kerbau. Haiwan tersebut adalah aset yang digunakan dalam berbagai hal. Membajak sawah, mengangkut hasil pertanian, dan juga bekalan daging. Kereta lembu masih luas digunakan dikampung-kampung, di pekan-pekan kecil dan mudah ditemui disepanjang perjalanan dari Phnom Pehn ke Seam Reab.
Kunjungan kami ke rumah-rumah penduduk kampung juga mempelihatkan timbunan padi yang berguni-guni. Padi disimpan untuk dimakan sepanjang tahun. Mereka tidak menjual padi kerana itu makanan utama dan sawah bendang tidak boleh diusahakan semasa musim basah. Justeru, padi tidak menjadi komoditi untuk dijual beli. Ramai rakan-rakan menyatakan kesedapan nasi sewaktu berkenduri kampung di sana, apatah lagi, nasi dimasak dengan menggunakan dapur kayu. Nasinya macam berpulut sedikit dan makin sedap jika dimakan dengan daging lembu yang dimasak secara gulai Kemboja.
Gulai Kemboja tidak menggunakan rempah ratus seperti masakan Melayu atau mamak di sini. Mereka menggunakan bahan lain untuk memasak gulai daging. Kacang tanah, cili kering, bawang putih adalah rencah utama dalam masakan gulai mereka dan diakhiri dengan jumlah santan yang sedikit cair. Baik untuk mengurangkan kolestrol barangkali. Jumlah bawang putih dan kacang tanah sangat banyak digunakan sewaktu memasak. Tentunya garam turut dimasukkan untuk menambah rasa sedapnya. Orang Kemboja nampak selesa makan dengan sudu. Setiap pinggan nasi disediakan sebatang sudu tapi saya lebih senang dengan menggunakan sudu.
Kerana keadaan-keadaan begitulah, rakan saya tadi mengistilahkan kampung-kampung di Kemboja adalah seperti " muzium" buat kita sewwaktu melalui zaman awal kemerdekaan negara kita dahulu. Tentulah rakan-rakan serombongan yang lahir lewat 80an atau 90an akan merasa bertuah dapat melalui zaman tersebut dengan mengunjungi bumi Kemboja..
Read more...