Keghairahannya semakin menurun.......

>> Tuesday, September 1, 2009

Hari ni dah 11 hari kita menunaikan ibadah puasa. Ibadah puasa yang kita mulakan sejak 22 Ogos lalu telah mengubat rindu kita pada keberkatan Ramadhan yang mulia ini. Suasana Ramadhan yang disambut serentak dengan cuti pertengahan semester ini mungkin tidak terlalu memenatkan kerana kita tidak perlu ke sekolah atau bilik kuliah. Sebaliknya dapat menyambung tidur setelah solat subuh. Atau mungkin menyambung bacaan Al Quran, atau zikir-zikir yang sesuai. Itu cerita sepuluh hari yang dah berlalu...

Malam tadi, seperti malam-malam yang lalu saya masih dikurniakan Allah kesihatan untuk bersama menunaikan solat taraweh di surau taman ini. Apa yang sedikit meralatkan hati ini bila melihat bilangan jemaah yang semakin berkurang. Sebenarnya surau kami telah menjemput seorang hafiz untuk mengimami solat taraweh sepanjang Ramadhan ini. Pihak JK surau berazam menyempurnakan solat teraweh sebanyak 20 rakaat dan diikuti 3 rakaat solat witir. Pada ingatan, pada minggu lepas bilangan jemaah yang menyempurnakan 20 rakaat taraweh masih bersisa dua saf selepas sebahagian jemaah beransur pulang selepas menunaikan lapan rakaat. Jadi pada akhir solat yang biasa selesai sekitar jam 10.40 malam, masih ada sekitar 40 orang jemaah lelaki. Namun keadaan begini, tidak berlaku pada malam tadi, hanya tinggal sekitar 20 jemaah lelaki menamatkan ibadah taraweh dan witir secara berjamaah.

Luahan ini bukan berniat untuk mempolimikkan soal solat lapan atau 20 rakaat, atau solat berjamaah atau sendirian. Cuma bila mengingatkan usaha JK surau berusaha mendapatkan seorang hafiz yang cukup terkenal di daerah Jerantut ini, hati saya terasa sedikit terkilan. Lebih meralatkan bilamana saya melihat golongan POP (Persatuan Orang Pencen) berjaya menamatkan bilangan 20 rakaat berbanding dengan mereka yang belum pencen yang dah cabut mencecah lapan rakaat. Entahlah, kemana hilangnya tenaga yang telah diperbaharui waktu berbuka puasa tadi.

Adakalanya, terfikir juga pada benak fikiran saya di mana letaknya keberkatan bulan Ramadhan ini jika kita berusaha mencapainya. Solat sunat taraweh tidak dilakukan dalam bulan-bulan yang lain. Tidak dalam bulan Syaaban, tidak dalam Rejab, hanya bulan Ramadhan. Bacaan Al Quran ke, zikir ke, solat witir ke, tahajud ke, semua tu boleh dibuat dalam bulan-bulan lain.Kerana itu, kita harus merasa menyesal kalau tidak mengambil kesempatan bersolat taraweh sebanyak-banyaknya..

Semoga catatan ini meruntun hati ini untuk terus mengejar fadhilat Ramadhan sebanyak-banyaknya.....AMINNNN.

0 comments:

Blog Widget by LinkWithin