Fikir-fikirkanlah

>> Sunday, November 8, 2009

"Waktu kita menerima kegembiraan, adakah kita pernah menangis ketika orang lain menerima dugaan," begitulah lebih kurang isi ucapan Dato Pengarah sewaktu majlis "hi tea" anjuran Kelab Staf Akademik petang Jumaat lalu.

Bunyi tutur katanya memang nampak mudah namun jauh falsafahnya jika direnung lebih mendalam. Sememangnya semua orang mengharapkan agar dirinya serta keluarganya sentiasa dilimpahi kesenangan dan kegembiraan. Wang ringgit, intan berlian, emas perak tentu sentiasa menjadi impian semua orang. Jika semua kekayaan dunia ini tertumpah kepadanya, tentulah tersenyum panjang seumur hidup.

Namun apa kata, kalau yang dihajati, tidak runtuh ke pangkuannya. Apakah dia mampu tersenyum dan yang lebih penting adakah dia redha dengan ketentuan Ilahi. Inilah yang sering kita temui sama ada secara terang atau bersoksek-soksek. Kita sering mempersoalkan kenapa orang itu dapat dan kita tak dapat. Apa kelebihannya, apa itunya dan apa ininya dan entah apa-apanya lagilah yang dipersoalkannya.

Bukanlah suatu yang mudah kita hendak menerima dugaan yang pada logiknya tidak sepatutnya kita terima. Sebagai seorang senior kitalah kononnya yang patut dapat anugerah itunya dan ininya, bukan orang junior yang patut dapatnya. Jadi sekali lagi, kita mempersoalkan ketentuan Ilahi. Inilah antara dugaan yang jika boleh ingin kita jauhkan. Jika boleh, biarlah dugaan dan ujian tersebut berada sejauh-jauhnya daripada kita!!!

Tulisan ini bukan bermaksud untuk menghalang kita untuk mempersoalkan keadaan, namun biarlah bersesuaian. Memang banyak perkara boleh dipersoalkan tetapi biarlah ia dalam skop yang menjadi hak dan keperluan kita. Mempersoalkan soal kebajikan kita sebagai kakitangan kerajaan tidaklah menjadi kesalahan. Contohnya soal gaji, bonus, cuti sakit dan lain-lain keistemewaan yang termaktub dalam skop tugas adalah dibolehkan. Justeru, fikir-fikirlah......

Jumpa lagi....

0 comments:

Blog Widget by LinkWithin