Aidil Fitri semakin berlalu

>> Wednesday, October 7, 2009

sms 1.
T.kasih dgn berita yg disampaikan. Hang lah kawan IPTAA yg masih ingat kat aku.Hang la satunya pensyarah IPTAA yg htr sms skmt hari raya kat aku.
sms 2.
Bukan puji nak bagitau hal sebenarnya bila kita dah bersara. Makin hilang dlm ingatan. Member kat Jab ....... lgsung tak ingat kita.

Itulah antara sms-sms yang saya terima sejak menyambut aidil fitri hingga berita kemalangan yang membawa kematian suami Kak Rohani Edris yang berlaku minggu sudah. Sms 2 dijawab begitu kerana saya menyatakan itulah yang mampu saya lakukan. Lagipun saya juga sedang belajar mengerti erti perkataan "kawan". Moral sms ini terlalu luas dan mendalam untuk dibicarakan. Saya yang kerdil ini bukan ikon yang sesuai untuk mengulasnya secara holistik. Cuma atas sifat ingat-mengingati, saya teruskan tulisan...

Ceritanya begini,memang hobi saya suka menyampaikan cerita dan berita hal-hal yang berlaku di dewan besar IPTAA. Sewaktu majlis-majlis persaraan atau apa-apa majlis anjuran maktab di dewan, saya sering menghantar sms kepada rakan-rakan yang sudah pencen atau bertukar ke IPG lain. Orang tu pencen, orang ni pindah dan lain-lain yang saya anggap bukan kategori mengumpatlah. Begitu juga kalau ada berita musibah saya juga sering bersms. Target saya hanya pada mereka yang dah pencen atau berpindah sahaja. Dengan harapan mereka akan terus memiliki "sense of belonging" terhadap IPTAA dan warganya.

Atas kondisi demikianlah, sebagai feedback, ada yang sangat berterima kasih atas sumbangan kecil saya tu..bagi orang pencen, rakan komunikasi adalah topok utama bila bergelar pesara. Cuba bayangkan, setelah sekian tahun bergelumang dengan dunia pendidikan, bergaul mesra dengan rakan sejabatan, seunit tetapi sehingga beberapa waktu mereka makin kesunyian. Mereka tak punya rakan borak-borak lagi....ramai rakan-rakan mungkin terlupa member lama yang sering bersama kita waktu "mengeteh" dulu. Lupa dah kat member yang baru setahun dua bergelar pesara sedangkan kelmarin dulu kita sama mengeteh kat kantin Azmi, kafe Aida, kat gerai TNB,kat stesen keretapi. Sebenarnya bagi rakan-rakan pesara kita, hubungan silaturahim tidak sepatutnya putus selepas bersara 56 atau 58. Apa salahnya sms berharga tak sampai 20 sen dihantar buat penyambung bicara pada mereka. Kerana kita percaya, keselesaan yang kecapi hari ini adalah perjuangan orang terdahulu daripada kita...lagipun harga sms tak sampai shebatang rokok pun(kata Tok Batin Betau)...he he he..

Read more...

Masa untuk beruzlah tuan.......

>> Wednesday, September 2, 2009

Catatan ini sudah lama ingin saya utarakan. Cuma adakalanya mood untuk menulis ni turun naik. Jadi, waktu-waktu begini sewaktu idea masih segar walaupun jam dah 12.41 malam, saya ingin meluahkan sedikit tazkirah yang sangat bermakna dalam tempoh saya cuti sakit akibat kemalangan tempohari.

Kisah ini sudah hampir tiga bulan berlaku. Kepada mereka yang pernah menziarahi saya sejak saya pulang dari HUKM, saya sering menceritakan kesukaran saya untuk tidur pada waktu malam. Saya telah dibenarkan keluar (discharge) dari HUKM sejak 16 April 2009 setelah menghuni di Wad Trauma selama 19 hari. Sejak pulang, hampir sebulan selepas itu, saya menghadapi masalah untuk tidur pada waktu malam. Saya ceritakan kesukaran untuk tidur malam ini pada kawan-kawan, student IPTAA, saudara mara serta jiran-jiran setaman. Kerana tidak dapat tidur, saya sering menonton TV hingga awal pagi. Adakalanya, duduk termenung di tepi tingkap, kejap baring lepas tu bangun balik, adakalanya minta isteri saya bangun tengah malam buatkan secawan Quacker Oat, lepas tu baringlah, nasib baik tidur, kalau tidak terus berangan-angan hingga azan subuh.....

Namun takdir Allah swt menentukan. Pada suatu petang sekitar jam 5.00 gitu, terlintas hati ini untuk menelefon En Ibrahin Ismail, Urusetia BPG di Sabah. Niat hati hanya nak bagitahu bahawa Pengarah IPTAA, Encik Mazlan Mohamad (kini Datuk) akan menerima kurniaan bintang kebesaran daripada Sultan Pahang. Selepas menyampaikan berita tersebut, beliau bertanyakan keadaan kesihatan saya. "Keadaan tuan macam mana?, begitu Encik Ibrahim berbasa-basi dengan saya, tuan!(sekadar tanda kemesraan). Encik Ibrahim ni saya kenal sewaktu menganjurkan lawatan pensyarah-pensyarah IPTAA ke IPG Sabah tahun lepas. Beliau cukup sporting...Sebagai jawapan, saya pun menceritakan tentang kesukaran untuk tidur pada waktu malam... Anda tahu apa kata Encik Ibrahim?

Fuh!!! saya langsung tak sangka, kata nasihat yang diberikan oleh Encik Ibrahim sangat berkesan dan bermakna dalam waktu menghadapi musibah ini. Katanya, ambillah masa cuti sakit ni untuk BERUZLAH.!!!! Beliau berbicara bagai seorang ustaz dan kata-katanya sangat simple tapi cukup power...Kalau nak dikatakan tazkirahnya bukan perkara baru pada saya, tetapi entah macam mana tidak terfikir oleh saya segala resolusi yang beliau kemukakan untuk mengatasi masalah kesukaran tidur saya. Dia kata, kesukaran untuk tidur itu adalah tanda peringatan dari Allah swt untuk menyuruh kita melakukan amal soleh. Bangun dan kerjakan tahajjud jika terjaga di tengah malam, solat hajjat, solat taubat, zikir. Waktu siang pula, solat dhuha, baca Al Quran dan paling mudah katanya baca 3 kali surah Al Ikhlas dah khatam sebuah Al Quran..Cuba anda fikir, adakah yang dikatakan oleh En Ibrahim itu satu perkara yang baru? Ternyata hidayah yang Allah nak sampaikan diberi melalui seseorang yang bukan pun bergelar ustaz atau maulana. Katanya, kesempatan "berehat" ni adalah kesempatan untuk melakukan amalan-amalan yang mungkin kita tidak sempat lakukan waktu bekerja; kuliah, LDP, KPKI, LPS, Praktikum, mesyuarat dan macam-macam lagi.

Alhamdulillah, Allah swt sajalah yang tahu, betapa leganya hati selepas melakukan saranan yang dikatakan oleh En Ibrahim. Semoga Allah swt jualah yang membalas budi baik beliau itu. Sejak menerima tazkirah beliau, ternyata ia amat berkesan. Saya langsung tidak merasa bosan keseorangan di rumah, kini dah hampir 5 bulan keseorangan di rumah, tidur pun selesa dan fikiran pun tidak terganggu.

Catatan ini dipaparkan bukan niat untuk merasa takjub dengan diri tetapi ingin berkongsi maklumat yang sedikit ini dengan anda yang sudi melayari blog saya ini. Jika ditakdirkan Encik Ibrahim membaca catatan ini, tak tahulah saya perasaan tuan hamba......

Read more...

Keghairahannya semakin menurun.......

>> Tuesday, September 1, 2009

Hari ni dah 11 hari kita menunaikan ibadah puasa. Ibadah puasa yang kita mulakan sejak 22 Ogos lalu telah mengubat rindu kita pada keberkatan Ramadhan yang mulia ini. Suasana Ramadhan yang disambut serentak dengan cuti pertengahan semester ini mungkin tidak terlalu memenatkan kerana kita tidak perlu ke sekolah atau bilik kuliah. Sebaliknya dapat menyambung tidur setelah solat subuh. Atau mungkin menyambung bacaan Al Quran, atau zikir-zikir yang sesuai. Itu cerita sepuluh hari yang dah berlalu...

Malam tadi, seperti malam-malam yang lalu saya masih dikurniakan Allah kesihatan untuk bersama menunaikan solat taraweh di surau taman ini. Apa yang sedikit meralatkan hati ini bila melihat bilangan jemaah yang semakin berkurang. Sebenarnya surau kami telah menjemput seorang hafiz untuk mengimami solat taraweh sepanjang Ramadhan ini. Pihak JK surau berazam menyempurnakan solat teraweh sebanyak 20 rakaat dan diikuti 3 rakaat solat witir. Pada ingatan, pada minggu lepas bilangan jemaah yang menyempurnakan 20 rakaat taraweh masih bersisa dua saf selepas sebahagian jemaah beransur pulang selepas menunaikan lapan rakaat. Jadi pada akhir solat yang biasa selesai sekitar jam 10.40 malam, masih ada sekitar 40 orang jemaah lelaki. Namun keadaan begini, tidak berlaku pada malam tadi, hanya tinggal sekitar 20 jemaah lelaki menamatkan ibadah taraweh dan witir secara berjamaah.

Luahan ini bukan berniat untuk mempolimikkan soal solat lapan atau 20 rakaat, atau solat berjamaah atau sendirian. Cuma bila mengingatkan usaha JK surau berusaha mendapatkan seorang hafiz yang cukup terkenal di daerah Jerantut ini, hati saya terasa sedikit terkilan. Lebih meralatkan bilamana saya melihat golongan POP (Persatuan Orang Pencen) berjaya menamatkan bilangan 20 rakaat berbanding dengan mereka yang belum pencen yang dah cabut mencecah lapan rakaat. Entahlah, kemana hilangnya tenaga yang telah diperbaharui waktu berbuka puasa tadi.

Adakalanya, terfikir juga pada benak fikiran saya di mana letaknya keberkatan bulan Ramadhan ini jika kita berusaha mencapainya. Solat sunat taraweh tidak dilakukan dalam bulan-bulan yang lain. Tidak dalam bulan Syaaban, tidak dalam Rejab, hanya bulan Ramadhan. Bacaan Al Quran ke, zikir ke, solat witir ke, tahajud ke, semua tu boleh dibuat dalam bulan-bulan lain.Kerana itu, kita harus merasa menyesal kalau tidak mengambil kesempatan bersolat taraweh sebanyak-banyaknya..

Semoga catatan ini meruntun hati ini untuk terus mengejar fadhilat Ramadhan sebanyak-banyaknya.....AMINNNN.

Read more...

Terubat Rindu Pada IPTAA

>> Thursday, August 20, 2009

Alhamdulillah, dengan bantuan sdra Ismail Hussin, jiran, sahabat dan rakan sejabatan, dapat jua akhirnya, saya mengunjungi kampus IPGMKTAA yang telah "berpisah" sejak petang 25.3.2009 yang lalu. Isnin, 10 Ogos 2009 yang lalu saya menjejak kaki ke kampus yang sangat bertuah ini. Terasa dingin cuaca pagi lembah Lipis yang telah terpisah selama empat bulan lebih. Suasana pagi begini sukar dicari di tempat lain. Setibanya di tempat parkir berdekatan dengan Bilik Diraja beberapa orang pelatih datang menyambut..Aduh, terasa gembira juga di hati kerana ada pelatih datang mengiringi kedatangan saya. Udara yang segar menyebabkan saya tak sabar untuk terus ke Jabatan Ilmu Pendidikan. Sewaktu melintasi taman air terjun yang menghubungkan keempat-empat blok bangun kampus, ramai pelatih tersenyum dan melambai-lambai tangan kepada saya. Terasa di hati bahawa insan kerdil ini masih mereka ingati.

Selepas memberi salam kepada rakan-rakan di jabatan, mereka agak terkejut dengan kehadiran saya. Maklumlah, saya masih dalam cuti sakit, tiba-tiba terpacul di muka pintu jabatan. Itulah ketentuanNya, perasaan rindu pada rakan-rakan di IPTAA melupakan sekejap sedikit kepayahan bertongkat untuk bergerak ke sana ke mari. Namun lebih mengejutkan saya, Cik Tan terus mencadangkan satu jamuan dibuat untuk meraikan kehadiran saya. Saya tak dapatlah menolaknya cuma dengan syarat bukan makan yang berat sebab saya tak nak ke tandas...Alhamdulillah, hasrat untuk bertemu dengan rakan-rakan dimakbulkan Allah swt. Ramai yang dapat saya temui sejak pagi hingga tengahari walaupun Pengarah dan Timbalan tiada di kampus. Mereka ada tugasan luar.

Alhamdulillah juga, ramai pelatih datang bertemu saya di jabatan. Semuanya mendoakan saya cepat sembuh dan tabah menghadapi ujian Allah ini. Sebahagian pelatih ini pernah mengunjungi saya sewaktu terlantar di HUKM mahupun di rumah saya di Jerantut. Pendekata, saya langsung tidak merasa sunyi atau terpinggir sepanjang berada di kampus pada hari tu.

Pada hari yang sama, KJ tiada di kampus kerana meeting di KL tapi saya dah maklumkan padanya hasrat saya untuk ke JIP. Sdra Che Lah telah memberi taklimat pasal konvo KEDAP. Jam 2.30 petang semua pensyarah berkumpul di dewan kuliah untuk taklimat unit peperiksaan. Pn Roslita menemani saya sebelum dia bergegas ke Kota Bharu. Jam 5 petang, sdra Ismail datang jemput makan selepas selesai taklimat. Hati makin gembira kerana dapat jumpa rakan-rakan dari jabatan lain di kantin Azmi. Kerinduan pada kawan-kawan menyebabkan saya sekali lagi terpaksa berhati-hati menuruni tangga. Makanan dan minuman bukan lagi keutamaan saya. Terbayang wajah rakan-rakan yang pernah mengunjungi saya sewaktu terbaring di Hospital Lipis, HUKM dan yang mengunjungi saya di rumah. Saya berharap dengan kunjungan kembali ke IPTAA ni, dapatlah dianggap lawatan balas saya atas kunjungan kalian terhadap saya. Lagipun bulan Ramadan dah hampir tiba, jadi adalah kesempatan untuk saya mohon ampun maaf atas salah silap saya terhadap kalian.

Read more...
Blog Widget by LinkWithin