Usahawan Top Up......

>> Tuesday, April 17, 2012

Menjadi keperluan yang amat sangat bagi setiap jemaah yang mengerjakan Haji atau Umrah atau sesiapa saja yang bermusafir ke luar negara untuk mengetahui keadaan keluarga yang ditinggalkan. Ada kalangan jemaah yang menggunakan khidmat "roaming" dengan pembekal khidmat seperti Celcom, Maxis dan sebagainya. Namun, kaedah "roaming" dikatakan agak mahal kerana kedua-dua pihak akan dicaj, baik pemanggil atau yang menerima panggilan. Justeru adalah lebih mudah dan murah dengan membeli simcard di Madinah atau di Mekkah sahaja.

Untuk kunjungan kali ini, saya dan jemaah yang lain membeli simcard Mobily; salah satu pembekal khidmat telefon yang agak besar di Arab Saudi. Selain Mobily, terdapat juga syarikat telekomunikasi yang besar seperti Zein, Sawa dan sebagainya. Biasanya untuk pakej awal, selain simcard, turut dibekalkan beberapa rial lagi untuk membuat panggilan. Biasanya untuk dua atau tiga kali panggilan yang ringkas-ringkas.

Setelah memiliki, simcard baru, problem lain pula timbul. Masalah untuk mengisi semula atau disebut "top up" bila baki kredit sudah habis. Ahli jemaah terpaksa bertanya kepada pekedai-pekedai atau kakitangan hotel untuk mendapatkan kad pra bayar tambahan. Biasanya SR10, SR20 dan selebihnya bergantung kepada keperluan jemaah.

Menyedari kesukaran untuk mendapatkan kad top up tersebut khasnya sewaktu di Mekkah, timbul idea untuk mewujudkan bisnes kecil tersebut khasnya untuk kumpulan jemaah yang tinggal di hotel yang sama. Untuk menguruskan sendiri, tentulah agak sukar kerana pembekal kad tersebut berada agak jauh dan bisnes bukan niat untuk ke Mekkah pun!!! Jadi, saya mencadangkan agar seorang TKI (Tenaga Kerja Indonesia) yang berkhidmat dengan pihak catering menjualnya tapi "nggak ada modal pak!!!", gitu jawapan Mohd Rayyan (nama pemuda tersebut). Ohhh,, itu mudah saja, mulakan dengan SR100. Saya terus menghulurkan wang SR100. Alhamdulillah, pada malamnya, bermulalah bisnes kecil kami. Sengaja saya menanyakannya dengan suara yang tinggi pada tersebut sama ada, top up dah ada ke belum?? Ramai yang mendengar pertanyaan saya kepada Mohd Rayyan. Apa lagi, ramai yang nak beli kad tersebut dan begitulah strategi awal perniagaan kami. Untuk lebih jelas, ditampal juga secebis nota di dinding Bilik Makan memaklumkan kewujudan kemudahan kad tambah nilai terrsebut.

Alhamdulillah, Mohd Rayyyan telah berjaya menjadi usahwan kecil dan menambah sumber pendapatannya. Sewaktu meninggalkan kota Mekkah, saya hanya mengambil wang modal awal SR100 sahaja walaupun pada asalnya kami berjanji untuk membahagi dua hasil keuntungan. Memang ada untungnya sebab, Rayyan akan mengenakan caj SR1 bagi setiap kad yang berharga SR10. Dia ada memaklumkan jumlah keuntungan di akhir tempoh saya menginap di hotel tersebut. Kepadanya, saya katakan agar sekiranya masih ada keuntungan dan berpanjangan bisnes tersebut, tolong buatkan amal jariah bagi pihak saya.

Alhamdulillah, dalam tempoh beribadat, dapat juga saya mengusahakan kelahiran seorang usahawan kecil. Harapan saya biar bermula dengan kecil dan menjadi besar kemudiannya dan bukan sebaliknya. Yang penting, peluang yang terbuka di hadapan mata tidak boleh dilepaskan begitu sahaja. jangan fikirkan untung yang besar dalam perniagaan tapi berdikit-dikit akhiirnya jadi bukit!!!! Semoga Rayyan masih berterusan dengan usajha kecilku itu..

Read more...
Blog Widget by LinkWithin